Bergelar anak kepada seorang pendakwah popular, pastinya itu satu tanggjawab berat untuk dipikul. Apatah lagi, dunia seni ini penuh dengan cabaran. Silap percaturan, besar akibatnya.
Namun bukan itu kerisauan utama Syafie Tee. Walaupun ayahnya, Dr. Ridhwan Tee cukup dikenali ramai tetapi itu bukan satu tiket ekspres untuk popular. Dia perlu mengatur sendiri langkah.
Baginya, kerisauan utama adalah bagaimana dia mahu membuktikan bakat dan kemampuan di kala industri dibanjiri oleh pelakon lelaki lain. Namun, dia percaya kepada konsep rezeki.
“Memang tanggungjawab saya untuk menjaga nama baik keluarga khususnya ayah. Namun, saya harus berpegang kepada jati diri dan bekalan ilmu yang telah diberi. Insya-Allah, saya tak hanyut.
“Malah sebelum ini pun saya kurang selesa kalau ingin berbicara tentang keluarga. Nanti orang kata saya tumpang atau gunakan populariti ayah. Saya hendak berdiri atas bakat dan kemampuan sendiri,” katanya.
Memilih untuk meninggalkan dunia kejuruteraan yang menanti untuk bergelar anak seni, Syafi bagaimanapun punya syarat sendiri. Tidak mahu berpegangan tangan dan bersentuhan dengan pelakon wanita.
Malah, sebelum menceburi bidang seni, dia terlebih dahulu perlu menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan teknologi pembuatan. Itu adalah syarat oleh ayahnya sendiri.
“Ayah tidak pernah halang saya untuk jadi pelakon cuma dia bagi syarat untuk habiskan pengajian dahulu. Malah, saya juga buat keputusan untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita.
“Tidak semestinya ayah seorang pendakwah, saya perlu pilih kerjaya sama. Namun ayah sering beri nasihat dan teguran sementelah dia sudah lama bergelumang dalam dunia seni.
“Saya juga bermula lewat kerana perlu menamat pengajian. Tetapi tidak mengapa, rezeki itu ada di mana-mana. Sekarang pun, tawaran diterima cukup memberangsangkan,” kata pelakon Hadiah Dari Tuhan ini.
MAHU JADI INSPIRASI
Bergelar pelakon adalah bonus namun sebenarnya dia mahu menjadi inspirasi kepada anak muda. Malah kini, dia bersama sepupunya yang juga seorang pelakon, Jabir Meftah menubuhkan Youth Care Malaysia.
“Saya dan Jabir menubuhkan Youth Care Malaysia ini untuk membantu anak muda menyumbang sesuatu kepada mereka yang memerlukan. Kami juga sudah jalankan beberapa inisiatif untuk membantu mangsa banjir contohnya.
“Malah, platform sebagai anak seni ini sebenarnya cukup baik untuk kita gunakan bagi membantu mereka yang dalam kesusahan. Populairiti itu jika digunakan secara positif akan memberi kebaikan kepada ramai orang,” katanya.
Ketika ini, Syafi sedang menjalani penggambaran drama baharu, Dear Cinta bersama rakan pelakon, Sweet Qismina dan Elfira Loy.











