MELALUI perkongsian seorang rakan baru-baru ini, Kekda diberitahu Shuib tidak akan muncul lagi dalam program popular Sepahtu Reunion. Menurut khabar ini juga, memang selepas ini penonton sendiri tidak akan dapat melihat kelibat Shuib dalam program tersebut.
Sebab apa Kekda tidak pasti, namun kalau ada spekulasi yang mengatakan Shuib ada masalah dengan ahli kumpulan Sepahtu sendiri memang perkara itu Kekda boleh sah kan tidak sahih.
Cuma buat masa sekarang kalau benar ketiadaan Shuib ini bersifat kekal, pasti penonton sendiri tertanya bagaimana momentum program ini kelak.
Secara jelas, program ini sudah ada pengikut sendiri. Malah Kekda pasti ramai yang sudah serasi dengan lawak-lawak yang disampaikan.
Kalau benar Shuib tidak akan kembali ke program ini nampaknya bukan mudah untuk mencari pengganti. Malah Kekda juga yakin tiada siapa yang dapat menggantikan keserasian lawak-lawak anggota Sepahtu sendiri.
Ketika sesi temu ramah secara maya tempoh hari, ada rakan media yang bertanyakan kepada Shuib mengenai soal ini, namun Shuib sendiri enggan mengulas lanjut.
Apa yang boleh dikongsikan pihak Shuib ketika itu juga dia turut memilih untuk menamatkan perkhidmatan sebagai penyampai radio atas desakan kerja. Jelasnya dengan perniagaan miliknya yang semakin berkembang kini, cukup sukar untuk pihaknya sendiri membahagikan masa dengan baik. Jadi memang ada niat dia untuk berehat sebentar daripada dunia seni.
Tetapi kalau keputusan ini juga melibatkan niatnya untuk tidak lagi bersama Sepahtu Reunion, nampaknya satu kehilangan besar buat program ini. Kekda juga yakin penonton setia program ini juga pasti akan rasa kekurangan menonton program itu tanpa Shuib.
Bagaimanapun buat masa ini program ini diberhentikan buat sementara waktu memandangkan kita sedang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP), siapa tahu ada berita berbeza kelak. Kita tunggu sahaja.
Suka menempel?
Terkejut juga Poklip bila dengar dakwaan seorang pelakon lelaki dikatakan suka menempel rakan artis wanitanya. Selalu dia bertukar pasangan atau berjumpa secara diam-diam.
Kalau kata hendak mengejar populariti, nama pelakon lelaki ini memang sudah glamor. Selain drama lakonannya yang mencetuskan fenomena, kontroversi tentang dirinya juga boleh tahan panas.
Baru-baru ini, ada pihak mendakwa ternampak kelibat pelakon lelaki ini bersama seorang pelakon wanita di lobi hotel. Mereka didakwa kelihatan mesra dan bertepuk tampar dengan manja.
Tetapi bila Poklip selidik Instagram pelakon lelaki dan wanita itu, mereka tidak mengikuti antara satu sama lain. Wow! Bijak sekali. Tetapi kemesrasaan mereka itu mencetuskan tanda tanya.
Poklip bagitahu si polan yang ternampak kelibat individu seperti mereka itu, mungkin pertemuan itu sekadar atas dasar kerja atau berkawan. Jangan fikir lebih-lebih, tak baik.
Walaupun kedua-dua pelakon itu pernah mencetuskan kontroversi masing-masing dengan kisah yang mengaibkan namun itu cerita lama. Tak bolehlah cakap mereka masih buat perangai sama.
Apa-pun kita fikir yang baik-baik okay. Mana tahu mereka sebenarnya menunggu kru produksi kerana terlibat dalam satu penggambaran di bilik hotel. Mana tahu kan.Eh!
Ada terma syarat ke?
Rasanya bukan kali pertama Poklip dengar rintihan rakan media tentang sikap pelakon ini. ‘Kesombongan’ dan lagaknya macam sudah menang anugerah bertaraf antarabangsa tau.
Malah sebenarnya Poklip sendiri pernah ‘ditipu’ hidup-hidup dengan pelakon ini. Tetapi itu kisah lama, Poklip tak ambil hati pun.
Kalau begitu perangainya, nak buat macam mana kan?
Kisahnya, ada seorang rakan media Poklip ini mahu menemu bualnya. Al maklumlah, drama lakonannya sedang ditayangkan. Biasalah, kita nak tanyalah pengalaman berlakon dan macam-macam soalan.
Tetapi sebelum mula sesi temu bual itu, pelakon itu terus memberi terma dan syarat untuk rakan media Poklip. Eh hebatnya kamu? Siap ada pantang larang dan itu ini sebelum menjawab. Okay kita faham, ada segelintir artis tidak mahu ditanya soalan panas berhubung isu peribadi tetapi rasanya ada cara lebih baik dan sopan untuk menolak. Bukan terus bagi syarat.
Malah nadanya ketika memberi terma dan syarat itu sungguh menyakitkan hati. Tak apalah, kalau begitu layannanya terhadap pihak media kita okay sahaja. Tetapi jangan nanti nak lancar produk sibuk merayu minta hadir.
Kadang-kadang ada segelintir artis yang memperlekeh tugas rakan wartawan.Bukan kita hendak berdendam jauh sekali mahu mengajak kebencian tetapi rasanya sudah tiba masa ada tindakan perlu diambil. Gitu!










