SEKALI lagi berhadapan dengan perceraian, kala ini tiada sebab untuk dia berkongsi secara terperinci apa yang berlaku dalam perkahwinan keduanya.
Sebagai seorang wanita dia juga sentiasa mendambakan kebahagiaan, namun dalam masa yang sama ada keputusan yang perlu dilakukan demi sebuah kehidupan.
Kekal bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini, tambah pengacara dan penyanyi, Mimie Haris tiada sebab untuk dia menyesal dengan apa juga ketentuan yang sudah ditetapkan untuk dirinya.
“Memang benar kami tidak lagi bersama. Perpisahan yang berlaku atas kehendak masing-masing dan semuanya berlangsung dalam keadaan yang baik.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan saat ini saya berada dalam fasa yang cukup bahagia sebagai seorang wanita. Perceraian sudah berlaku, mahu atau tidak saya akan tetap teruskan kehidupan,” katanya.
Dua kali mencari bahagia melalui gelaran seorang isteri, ternyata saat ini perjuangannya itu tewas di tengah jalan. Ditanya sama ada serik untuk kembali ke fasa ini suatu hari nanti, kongsi Mimie atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris dia cukup optimis dengan perkataan jodoh.
“Kalau ditakdirkan kembali berkahwin, saya akan terima. Cuma dalam tempoh ini untuk menerima orang baharu itu mungkin bukan masanya lagi.
“Buat masa ini saya hanya mahu memberi fokus buat kehidupan sendiri dahulu,” katanya.
Berusia 30 tahun, dia tidak pernah melihat kegagalan dalam perkahwinan sebagai penamat buat segalanya. Mencari kekuatan melalui agama dan hubungan dengan ahli keluarga, pesan Mimie lagi, jangan pernah menyimpan rasa sakit itu sendiri.
Malah ketika ini juga dia menyeru kepada wanita di luar sana untuk sentiasa menghargai diri sendiri sebelum mengharapkan orang lain.
“Nasihat saya kalau ada mereka yang turut melalui perkara yang sama kena ingat kita ada Allah. Jangan pernah membelakangkan agama dalam keadaan ini. Selain itu hubungan dengan keluarga terutamanya ibu dan ayah kita sendiri. Insan-insan ini adalah kekuatan kepada kita.
“Nasihat saya tidak ada masalah untuk berkongsi apa yang dialami dengan orang lain, jika memerlukan pakar psikiatri jangan berbelah-bahagi sebab masalah mental bukan sesuatu yang boleh nampak daripada mata kasar.
“Macam saya sendiri mempunyai rakan yang memang seorang pakar psikiatri, walaupun tidak berjumpa secara formal namun saya bertemu orang yang betul dalam meluahkan apa yang terpendam, yang sedikit sebanyak membantu saya,” katanya.
PERTARUH TAPI JIKA
Muncul dengan single baharu tidak lama lagi, Tapi Jika mengisahkan tentang seorang wanita yang berada dalam hubungan yang tidak bahagia. Menolak lagu ini dicipta dalam memberi gambaran kisah hidupnya sendiri, tambah Mimie lagu ini adalah imbasan kisah wanita di luar sana.
“Saya akui lagu ini sangat-sangat istimewa untuk diri sendiri, sebuah lagu balada yang kalau kita hayati liriknya cukup menyedihkan.
“Tetapi lagu ini bukanlah menggambarkan apa yang saya lalui, memang mengisahkan sebuah perhubungan namun bagaimana seorang wanita itu didera. Penderaan bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental.
“Dalam bahasa Inggeris ia adalah What If, lagu untuk wanita yang berada dalam hubungan toksik, tidak diberikan kasih sayang dan layanan yang sepatutnya seterusnya memberi kesan kepada emosi wanita itu sendiri.
“Kalau ada yang mahu kaitkan dengan saya, sebenarnya lagu ini adalah gambaran kepada mana-mana wanita di luar sana yang mengalaminya.
“Jujurnya perkahwinan tidak hadir daripada kerja keras sebelah pihak sahaja tetapi bagaimana kerjasama suami dan isteri itu sendiri dalam mendapatkan sebuah hubungan bahagia,” katanya.
Melihat 2021 sebagai tahun yang baik untuk karier nyanyiannya, akui Mimie lagi, tiada sebab untuk dia takut dengan persaingan. Malah ketika ini juga bukan populariti yang menjadi fokus utamanya.
“Tidak kisah kalau ada yang kata tidak mengenali saya. Jujurnya bukan populariti yang menjadi fokus saya sepanjang bergelar anak seni. Menyanyi adalah sesuatu yang saya suka sejak dari dulu. Saya bersyukur dengan peluang-peluang yang diberikan sepanjang bergelar anak seni.
“Ikutkan Tapi Jika dikeluarkan tahun lepas, tetapi memandangkan rakan-rakan penyanyi lain turut mengeluarkan single tahun lepas, jadi saya tangguhkan dahulu. Namun, kalau tiada aral, lagu dan muzik video lagu ini akan diperdengarkan bulan hadapan,” katanya.

GOLF SUKAN PILIHAN
Jika ramai selebriti kini yang memilih aktiviti berbasikal sebagai sukan pilihan, lain pula dengan wanita genit ini. Memilih golf sebagai aktiviti untuk menenangkan jiwa, katanya, pendedahan sejak dari kecil terhadap sukan ini membuatkan dia cukup serasi.
“Saya memang sejak kecil bermain golf. Malah saya juga pernah menjadi wakil negeri mewakili Kedah. Sehingga hari ini juga saya melihat sukan ini sebagai aktiviti yang boleh membantu memberi ketenangan. Berada di padang golf kita boleh menikmati pemandangan yang hijau, sekali gus memberi terapi buat mata.
“Sebagai selebriti juga saya melihat aktiviti sukan juga mampu membantu menjaga penampilan. Sebab itu saya sehingga kini aktif dalam sukan ini,” katanya.
Melihat suasana pandemik yang semakin teruk, sama seperti mereka di luar sana Mimie juga tidak ketinggalan cukup berhati-hati ketika di luar. Menolak ada perasaan paranoia namun katanya dia sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan dalam menghindarkan keadaan tidak diingini.
“Ketika berada di luar memang saya amalkan penjagaan kebersihan yang ketat. Dalam tempoh sekarang kita tahu bukan sesuatu yang boleh dijangka.
“Mahu kata terkesan dengan keadaan sekarang saya lihat apa yang berlaku ini sebagai dugaan untuk semua orang. Jika rasa susah, saya fikir ada orang sedang menjalani kehidupan yang jauh lebih sukar.
“Jadi, tidak elok kita merungut selain sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki,” katanya.










