SEPATUTNYA sudah lama wajah penyanyi ini menjadi tatapan semua pembaca Pancaindera. Namun kesibukan tugas sebagai anak seni mengekang hasrat itu. Dia tidak mampu memenuhi undangan sesi fotografi dek kerja yang menimbun.
Namun semuanya berlaku pantas. Pertemuan kami dipermudah. Apatah lagi, tatkala namanya kini sedang pantas meniti di bibir peminat, ini masa sesuai untuk berkongsi cerita dan bicara dengannya.
Peralihan imej Zizi Kirana mendapat liputan luas. Tindakannya memadam setiap satu gambar seksi yang pernah menjadi titik mula serangan netizen dipuji. Dia kini mencipta Zizi Kirana yang ‘berbeza’.
Pujian diterima menggunung. Namun tidak kurang ada yang mempertikai. Untuk apa dia berubah kalau sekadar memadam gambar seksi? Bukankah perubahan itu bermaksud memakai tudung dan jubah labuh?

Itu antara kata-kata sinis yang singgah dalam ruangan komen media sosial penyanyi itu. Tidak berkecil hati atau terasa, Zizi punya jawapan sendiri. Dia tidak mahu turut sama bertikam kata dengan warganet.
“Saya perlu tingkatkan kesabaran bila membaca komen-komen sinis mereka. Saya tidak akan memberitahu bila nak pakai tudung atau berubah. Cepat atau lambat, bergantung kepada jalan cerita hidup saya.
“Soal itu, saya ikut kata hati. Biarlah perubahan itu ada langkahnya. Tak perlu saya terburu-buru atau memaksa diri. Sampai masa nanti, jangan risau. Saya juga mengharapkan yang sama,” katanya yang baru sahaja melancarkan single baharu, Tentu.
Ditanya bagaimana dia menghadapi pujian atau kritikan warganet, Zizi tersenyum sendiri. Dia kini hanya mencari positiviti dalam hidup, tidak mahu bersahabat dengan perkara negatif sama sekali.
Malah, tatkala dia dilabel sebagai penunggang agama hanya kerana sering berkongsi video mengaji dan bertudung, Zizi tidak ambil pusing. Kritikan itu sekadar mahu menjatuhkannya.
Malah, dia juga tidak mahu fikir lanjut andai ada yang berhenti meminatinya hanya kerana perubahannya. Masih ramai yang akan sama berubah dan terus meminatinya kerana lagu serta karya seni.

“Bila saya mencuba untuk berubah, hati ini rasa senang sangat. Komen-komen peminat juga, Alhamdulillah. Sekarang memang susah hendak jumpa komen negatif tetapi masih ada yang mengeji.
“Ada yang suruh saya seksi sampai bila-bila, jangan padam gambar dan sebagainya. Saya tidak guna agama untuk raih populariti. Perubahan ini ikhlas kerana Allah dan nasihat ibu saya.
“Tak apalah, saya ikut sahaja percaturan Tuhan. Saya cuba dekatkan diri dengan agama dan Tuhan. Andai ada yang tersinggung, itu bukan tugas saya untuk ‘memujuk’ hati mereka,” katanya.
Mana jodoh saya? – Zizi Kirana
Menjadi dambaan banyak peminat lelaki, dia sendiri tertanya-tanya di mana jodohnya di saat ini? Apa jodohnya sedang lakukan? Adakah turut mendoakan yang sama, untuk dipertemukan di jenjang pelamin?
Di tangga usia 36 tahun, pastinya impian berumah tangga itu ada. Namun sekali lagi, dia menyerahkan soal jodoh pada ketentuan Tuhan. Bukan tidak mencari namun masih belum ada yang mampu mencuri hati.
Malah, dia sendiri pernah menyerahklan sahaja soal jodoh di tangan ibunya. Andai ada lelaki yang mampu mencuri hati ibunya, itu bermakna dialah jodoh yang ditunggu Zizi.
“Tak tahu lah nak jawab apa kalau ada yang tanya soal jodoh. Saya sendiri tertanya -tanya di mana jodoh saya. Bagaimana rupanya? Perangainya? Itu semua difikirkan saya tau.
“Tetapi saya masih berpegang kepada 14 syarat untuk seseorang lelaki itu menjadi teman hidup saya. Kena pandai mengaji, bukan kaki kelab malam dan pendapatan bulanan perlu RM5,000 ke atas.
“Memang banyak peminat lelaki mencuba tetapi nak suka itu susah. Manusia tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang mereka ada. Begitu juga saya,” katanya.
Tidak pernah merasakan diri popular, Zizi kekal dengan perangai gila-gilanya. Apa yang diraihnya kini adalah rezeki. Usaha kerasnya selama lebih sedekad kini dibayar dengan kegembiraan.
Tidak pernah meletakkan apa-apa impian dalam hidup sebagai anak seni, dia hanya mengikut deras arus perjalanannya. Apa yang dia mahukan sekadar kebahagiaan untuk diri sendiri dan keluarganya.
“Apa nak capai tahun ini? Saya pun tidak tahu. Hanya mengikut aturan Tuhan. Di mana ada rezeki, selagi diperlukan saya akan di sini. Terus berjuang selagi nyawa dikandung badan,” katanya.
Bahagia sukar dicari
Dia sepatutnya beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 awal Februari depan. Kemaraan lagu Eh nyanyiannya dan hasil buah fikir bersama Naviogator dan lirik Mambang membuktikan dia ampuh di kedudukannya.
Namun majlis anugerah yang ditunggu ramai saban tahun itu terpaksa ditangguh kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Adakah dalam sudut hati Zizi, dia juga terkilan seperti mana ramai peminat AJL35?
“Tidak sama sekali. Apabila diberitahu AJL terpaksa ditunda, saya okay sahaja. Tidak ada rasa ralat. Apa yang terjadi ada hikmahnya. Kita tidak boleh paksa sesuatu.
“Walaupun ini kali pertama lagu saya berjaya ke pentas akhir tetapi tidak mengapa. Tak perlu saya bersedih atau mempertikai keputusan itu. Kita sekarang ada lebih masa untuk bersedia.
“Lagipun kita harus menyokong usaha melandaikan lengkuk penularan wabak itu yang semakin teruk. Apa yang harus dilakukan adalah kita sama menjaga diri masing-masing dan mengamalkan SOP yang ditetapkan,” katanya.
Mengimbau dirinya dahulu, Zizi berkata, dia pernah menjadi seorang yang panas baran dan mudah membangkang sesuatu yang salah serta tidak wajar untuk dilakukan. Namun kini api baran itu malap sudah.
“Kalau dahulu memang cepat sahaja saya melatah andai ada yang menyinggung tetapi sekarang malaslah. Saya cuma bertenang dan kekal positif. Saya semakin matang dalam mengendali masalah.
“Saya juga tidak pernah tertekan atau murung dengan dunia seni. Sekarang, saya cuma mahu mencari kebahagian kerana itu yang paling sukar untuk diraih,” kata bekas penyanyi The Fabulous Cats ini. – MINGGUAN MALAYSIA











