Konsert 20 tahun Inteam - Utusan Malaysia

Konsert 20 tahun Inteam

INTEAM tidak ambil mudah kualiti persembahan walaupun konsert diadakan secara virtual sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK melihat kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini dapat menghalang sambutan 20 tahun mereka dalam industri, kumpulan nasyid popular, Inteam, muncul dengan idea berbeza untuk berkongsi penghargaan mereka.

Bakal mengadakan konsert secara virtual atau dalam talian pada 12 Disember ini sebagi tanda terima kasih mereka atas sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi selama ini.

Dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Mohd. Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman, Inteam bukan nama baharu dalam industri.

Malah populariti yang diraih selama beberapa tahun ini juga turut mendapat tempat di seluruh dunia.

Selaku pengarah konsert, Hazamin memberitahu, konsert ini sudah melalui proses persediaan sejak beberapa bulan lalu. Mendapat bantuan dana melalui Geran Dana Kandungan Digital (DKD) RM300,000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) jelasnya, walaupun hanya akan berlangsung atas talian namun mereka tetap akan memberikan yang terbaik.

“Memang pada perancangan kami konsert ini hanya akan ditonton secara virtual. Namun jika ada pelepasan yang boleh membawa penonton ketika itu kami juga turut membuat persediaan untuk membawa 100 penonton.

“Mereka yang akan menonton secara langsung ini adalah pembeli tiket berharga RM200. Namun semuanya bergantung kepada keadaan semasa. Jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan, maka ada peluang. Namun jika tiada, kami akan tetap teruskan konsert itu.

“Pemilihan lokasi pula kami memilih Warisan Hall Studio yang terletak di Sijangkang. Mengapa kami memilih lokasi ini berdasarkan acara yang pernah berlangsung di sana sebelum ini. Cuma apa yang penting sepanjang konsert itu berlangsung kami akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Tidak meletakkan had untuk mereka yang akan menonton secara atas talian, jelasnya, memandangkan konsert ini akan berlangsung secara maya maka ia terbuka untuk sesiapa sahaja di seluruh dunia.

“Memandangkan masih tidak tahu status 100 penonton yang sudah membeli tiket RM200, kami meletakkan terma yang membolehkan mereka dikembalikan wang jika tidak dapat menonton secara langsung konsert itu kelak. Jujurnya bagi pihak Inteam sendiri memang mahu ada penonton fizikal yang hadir.

“Bila kita membuat persembahan kalau ada penonton itu rasanya berbeza. Lebih seronok jika boleh menyanyikan bersama-sama, namun jika tidak ada penonton kami akan kekal dengan momentum yang sama.

“Apa yang penting konsert ini juga boleh ditonton dari mana-mana lokasi asalkan mempunyai jaringan internet. Kami juga sudah mendapat pertanyaan daripada peminat dari luar negara,” jelasnya.

Mahu memberikan yang terbaik untuk konsert ini kelak, kata Hazamin, selepas melalui proses perbincangan mereka akan menyampaikan 29 lagu sepanjang dua jam 30 minit. Membahagikan konsert itu kepada empat bahagian, apa yang lebih menarik tentunya mengenai kehadiran artis jemputan.

“Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam 30 minit ini akan dibahagikan kepada empat segmen iaitu Cinta Manusia, Cinta Rasul, Cinta Allah dan Cinta Hit Song. Persembahan bersama penyanyi jemputan dibuat pada segmen Cinta Hit Song.

“Antara artis yang akan turut memeriahkan hari konsert itu adalah Hijjaz, Unic, Exist, Khai Bahar, Lah Ahmad dan Zayne. Pemilihan artis ini juga dibuat bersama pihak KKMM untuk menggabungkan artis nasyid dan mainstream.

“Memang pada mulanya kami mahu gabungkan lebih ramai artis nasyid tetapi pada ketika ini sudah ramai yang tidak ada kumpulan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×