KREDIBILITI dan profil Datuk Aznil Nawawi tidak perlu dipertikaikan. Ia lantaran sepanjang lebih 30 tahun berada dalam industri seni, gelaran pengacara tersohor dalam negara umpama tidak pernah terlucut daripadanya.
Satu yang bagus mengenai figura yang senang dipanggil dengan nama Pak Nil ini, meski memiliki kedudukan terhormat dalam bidang pengacaraan, dia tidak pernah kedekut berkongsi ilmu dan pengalamannya.
Malah, cabang itu juga tidak cuma tertumpu pada satu bidang. Dalam bidang nyanyian dan lakonan juga ramai yang menjadikan Pak Nil sebagai individu penting untuk perkongsian ilmu, menjadikan lelaki ini begitu dipandang tinggi dalam industri.
Maka, dengan kapasiti tersebut, jangan pula ada yang berkecil hati atau marah jika Pak Nil tampil menegur sesetengah pengacara baru termasuk golongan influencer kini yang dilihat cetek berpengatahuan meski berani berada di hadapan kamera.
Melihat kepada cara orang sekarang yang menjadikan media sosial sebagai satu daripada platform penting untuk menyampaikan maklumat dan berkomunikasi, Pak Nil terpanggil untuk menegur cara sesetengah pengguna yang dianggap kurang bijak ketika mahu ‘menjual diri’.
“Khususnya buat mereka yang mengangkat diri sebagai seorang influencer, termasuk peniaga-peniaga atas talian. Rata-rata mereka saya puji kerana berani tampil di depan kamera walau cuma menggunakan telefon pintar.
“Tetapi keberanian sahaja tidak cukup. Anda harus ada ilmu dan teknik yang betul meski mempunyai cara dan kreativiti tersendiri ketika bercakap dengan pelayar lain,” katanya.
Kongsi figura berusia 58 tahun ini, dari sudut pandang matanya, ramai dalam kalangan influencer atau peniaga atas talian ini yang berpotensi, tetapi kesanggupan untuk memalukan diri mungkin wajar dijadikan helah terakhir ketika berada di hadapan kamera.
“Saya perhatikan dan tahu, mereka yang gedik dan sanggup melakukan tindakan memalukan diri di hadapan kamera itu adakalanya tentu sudah berfikir dua kali untuk buat perkara macam tu.
“Tetapi dek terpaksa berlawan dengan wajah muda dan tenaga baharu yang lebih segar, maka masing-masing buat gimiklah. Kadang-kadang ada juga yang melampaui batas,” katanya.
PRODUK LEBIH PENTING
Menurut Pak Nil, ketika berniaga atau berjual-beli secara dalam talian, ramai yang mengambil mudah aspek keutamaan sehingga ada yang terlihat berlebih-lebihan.
“Saya pernah terlibat dalam satu program di Astro dan berdasarkan pengalaman, kami sebagai pengacara dilatih tidak boleh berlebih-lebihan selain perlu bijak memanfaatkan masa yang ada dengan meletakkan produk sebagai keutamaan.
“Ingat ya, kalau anda adalah seorang influencer, anda sebenarnya tidak penting. ‘Bintang’utamanya adalah produk yang dipromosikan.
“Anda boleh gunakan kepakaran untuk menjadikan sesuatu produk itu kelihatan menakjubkan. Tetapi batasannya, tidak boleh berlebih-lebihan,” katanya.

‘KEUPAYAAN MENGUNCI’
Merupakan hos program realiti Jual Letop di saluran media sosial Hurr.tv, Pak Nil juga sempat berkongsi tips yang boleh digunapakai oleh mereka yang ingin terjun ke bidang pengacaraan.
Kata pemenang Anugerah Juri bagi kategori Pengacara Hiburan Terbaik tahun 2008 ini, satu daripadanya ialah menerusi teknik mengunci penonton.
“Seseorang itu harus ada kemahiran untuk mengunci audiens jika mahu terlihat bijak di hadapan kamera. Saya bercakap berdasarkan pengalaman kerana elemen itulah yang dicari dahulu.
“Kalau anda tidak mampu untuk mengunci penonton, mereka akan cepat merasa bosan. Kalau anda ada masa lima minit sekali pun, anda bertanggungjawab untuk menjadikan lima minit itu adalah waktu yang paling berharga.
“Saya rasa ramai di luar sana tidak perasan yang mereka ada elemen ini tetapi tidak tahu cara yang betul untuk menggunakannya kerana ia tidak dicungkil dengan baik,” katanya.
Menurut Pak Nil, meski usianya juga sudah hampir menjengah ke angka 60 tahun, itu bukan alasan untuk dia tidak belajar menyesuaikan diri dengan kemudahan dan kecepatan perubahan arus semasa.
Itu juga menjadi sebab mengapa dia sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baharu termasuk mengendalikan sendiri akaun media sosialnya baik Facebook, Instagram atau Twitter,
Dalam pada itu, diusik sama ada dia menerima tawaran untuk menjadi hos sekali gus juri bagi program realiti tersebut, lelaki ini lekas-lekas menjawab begini.
“Tak perlulah berselindung kerana rata-rata tahu dan boleh agak bayaran untuk saya itu berapa. Memang betul, kalau setakat nak berkongsi ilmu, boleh sahaja saya gunakan saluran sendiri dalam media sosial.
“Tetapi fokus saya adalah untuk buat kerja amal dan bantu generasi muda dalam aspek pengacaraan, bukan sebab duit tetapi peluang.
“Selain berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada, saya fikir amal ini juga mungkin dapat membantu saya ‘di sana’ nanti sebagai bekalan. Jadi untuk apa saya lokek ilmu kalau dapat memberi manfaat pada orang lain,” katanya.










