Memberi gambaran dunia lakonan bukan lagi keutamaan buat dirinya, kongsi Elfira ketika ini status sebagai ibu dan isteri memberi lebih kepuasan buat dirinya. Namun alasan ini juga tidak memberi sebab kepadanya untuk meninggalkan terus dunia seni yang sudah diceburi sejak 10 tahun lalu.
“Saya tidak akan berada dalam dunia lakonan sepenuh masa lagi, tidak mungkin. Berada dalam fasa berbeza, kini keluarga adalah keutamaan dan saya sangat selesa dengan keadaan ini. Memang ketika ini juga suami tidak terlalu menyokong untuk saya terus berada dalam dunia lakonan, tetapi dalam masa yang sama dia juga tidak melarang.
“Cuma untuk tinggalkan terus dunia lakonan memang tidak akan berlaku. Dalam tempoh sekarang saya akan pastikan jadual sebagai seorang pelakon ini tidak mengganggu kehidupan sebagai seorang ibu dan isteri,” ujarnya.
Selain waktu antara perkara yang turut dipertimbangkan sebelum menerima apa-apa tawaran adalah watak, ternyata membawa gelaran sebagai seorang isteri dan ibu memberi sebab untuk dia lebih berhati-hati kini.
“Bukanlah saya letakkan syarat, cuma untuk bawakan watak isteri dalam mana-mana karya itu agak berat untuk diterima dalam tempoh sekarang. Melainkan pengarah itu sendiri ada cara pengarahan yang berbeza.
“Tetapi saya tetap bersyukur untuk masih ditawarkan watak yang muda, mungkin status sebagai wanita yang sudah berkahwin tetapi tidak boleh nafikan umur saya juga baru 26 tahun,” katanya.
MAHU TAMBAH ANAK
Jelas terpancar wajah bahagia setiap kali berbicara soal keluarga kecilnya, ketika ini bukan suatu rahsia lagi untuk Elfira sendiri mengidam menambah ahli keluarga. Bagaimanapun kata ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf ini, itu bukanlah perancangan dalam tempoh terdekat.
“Memang ada hasrat mahu tambah anak, tetapi Rayyan baru sahaja berumur setahun lebih. Saya mahu bernafas dahulu. Mungkin bukan dalam tempoh terdekat.
“Cumanya sepanjang tahun 2020 ini apa yang boleh saya katakan, memandangkan banyak perkerjaan yang dibatalkan secara tidak langsung memberi peluang untuk saya menjadi ibu sepenuh masa di rumah,” katanya.
Terdahulu Elfira ditemui dalam majlis pelancaran pelitup muka Himaya. Berkongsi mengenai produk yang turut mendapat sentuhannya ini, katanya sebagai seorang wanita bertudung dia sentiasa menitikberatkan keselamatan dan keselesaan.
“Saya menjalinkan kerjasama dengan Anggun Kirana Sdn. Bhd. Sebenarnya idea timbul bila saya dapat pelbagai komen bagaimana pelitup muka di pasaran memberi kesan kepada kulit wajah.
Selain itu juga banyak pelitup muka di pasaran tidak mesra pengguna yang bertudung.
“Jadi saya lihat Himaya dapat menyelesaikan permasalahan yang timbul,” katanya yang kini turut sibuk menjalankan perniagaan sambal.

KINI LEBIH TEGAS
Jika dahulu dia lebih banyak mendiamkan diri ketika menjadi ‘bahan kecaman’ di laman sosial. Namun sebenarnya, menyimpan perasaan yang akhirnya mampu memberi kesan kepada emosi. Kini Elfira Loy mengambil pendekatan berbeza.
Tidak gentar untuk bersuara dalam mempertahankan diri, kongsi pelakon ini, sudah sampai masanya untuk dia memastikan pendapat yang lahir daripada buah fikirannya adalah keutamaan dalam setiap perkongsian.
“Memang dahulu saya pilih untuk berdiam diri, pada masa itu saya ambil pendekatan tidak mahu campur. Tetapi meningkat dewasa dengan status sebagai ibu dan isteri saya fikir perkara ini tidak seharusnya berterusan begini.
“Sebab itu jika ada komen yang saya anggap tidak sesuai selain hanya mahu menjatuhkan, saya akan ambil masa untuk memberi teguran kepada individu terbabit. Bagi saya ini adalah tindakan yang perlu dalam memastikan mereka di luar sana faham apa yang dilakukan itu adalah salah.
“Bila saya lakukan pendekatan ini baru kita dapat lihat, tidak semua orang dibesarkan dalam kelompok yang sama. Jadi menjadi tanggungjawab saya untuk memberi mereka ilmu dalam menggunakan laman sosial selain menjelaskan tindakan mereka itu mampu memberi kesan kepada orang lain,” katanya.
Menggesa selebriti lain juga berhenti berhadapan dengan perkara yang sama, kata Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, mereka tidak perlu ada perasaan takut dalam menyatakan pendapat.
Jelasnya juga, konsep berhati-hati dalam berkongsi di laman sosial juga sepatutnya dipraktikan mereka yang selama ini bebas memberi komen.
“Laman sosial sepatutnya mematangkan kita, jadi saya percaya ramai selebriti lain juga tidak takut untuk menegur perbuatan seperti ini.
“Saya tidak lihat tanggungjawab untuk berhati-hati dalam berkongsi di laman sosial berlangsung kepada satu pihak sahaja.
“Sukar sebenarnya kalau kita asyik memikirkan pendapat orang lain sahaja, ikutkan pembaca perkongsian itu juga harusnya berhati-hati dalam memahami setiap perkongsian,” katanya lagi.
Sementara itu, menjadi perhatian beberapa bulan lalu apabila muat naik gambar hitam putih di Instagramnya dikaitkan dengan masalah dalam rumah tangga, ketika ini bukan sesuatu yang mengejutkan untuk pelakon ini tahu ada pihak yang sentiasa menunggu saat seperti itu.
“Itulah memang ada yang mungkin menunggu saat itu agaknya. Cuma apa yang berlaku tidak menggambarkan apa yang difikirkan mereka.
“Saya berkongsi gambar hitam putih itu sebab memang tiada gambar lain yang mahu dikongsikan.
“Macam saya cakap tadi kenapa kita sahaja mahu fikir pandangan orang lain. Sila berhati-hati sebelum membuat konklusi,” jelasnya.











