JOHOR BAHRU: Jika dahulu nama Rosiah Parlam disanjung kerana lontaran suara emas genre rock sekitar 90-an, namun nasib bekas vokalis kumpulan Sherox itu kini terabai dan dipandang sepi masyarakat.
Rosiah, 54, atau dikenali Rose Sherox mengakui zaman emas sudah berlalu walaupun dia masih terdaya untuk melontarkan suara sama ada di persembahan konsert atau acara tertentu.
Namun kehidupan penyanyi lagu Sentuhan Luka dan Biarpun Apa Terjadi itu kini ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ setelah menghidap penyakit masalah buah pinggang sejak lapan tahun lalu.
“Kehidupan Kak Rose kini bergantung kepada kerja-kerja mengurut orang dan ibu bersalin, kalau boleh dapat sekitar RM300 sebulan, bergantung kepada permintaan.
“Kalau tiada permintaan, tiada duit dan terpaksa bergantung duit anak-anak. Kak Rose tidak mahu menyusahkan mereka sebab masing-masing sudah berkahwin dan berkeluarga,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, Rosiah menerima kunjungan Pertubuhan Insani Kasih bersempena Program Jalinan Kasih Artis di kediamannya di Bandar Sri Alam, Masai.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia kini menumpang berteduh bersama anak ketiganya di sini memandangkan tidak mampu menyewa rumah atau bilik buat masa ini.
Oleh itu, artis sezaman kumpulan XPDC dan Blackrose itu masih mengharapkan bantuan mana-mana pihak termasuk rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).
“Sehingga kini saya tidak pernah sekali menerima sebarang bayaran royalti walaupun Sherox hanya ada satu album. Lagipun saya tidak tahu bagaimana (pembayaran royalti) dikira dan diuruskan,” katanya.
Dalam pada itu Yang Dipertua Pertubuhan Insani Kasih, Zuraini Tahir berkata, pihaknya akan cuba membantu termasuk sebarang bantuan bagi mengurangkan beban bekas penyanyi itu.
“Insani Kasih terpanggil untuk membantu Kak Rose selepas kita pernah melawatnya sebelum ini.
“Mungkin dia tidak tahu bagaimana hendak mohon bantuan dan kita berusaha untuk melakukan apa yang terbaik meringankan beban Kak Rose,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA










