Adakah ini masa hadapan muzik Malaysia? - Utusan Malaysia

Adakah ini masa hadapan muzik Malaysia?

Persembahan Transitions pada separuh akhir pertama Anugerah Lagu Indie baru-baru ini- MINGGUAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ANIQ AMMAR EKHWAN

EMO adalah satu genre muzik yang mula bertapak pada awal 1990-an. Ia genre yang memberi penekanan kepada luahan emosi dan memberi ekspresi mendalam tentang sesebuah lagu. Luahannya disampaikan dalam bentuk lirik dan muzik yang dimainkan.
Sekitar 2000, kita dihidangkan dengan kugiran-kugiran emo seperti My Chemical Romance, Jimmy Eat World dan Panic! At The Disco.
Spoken word pula genre puisi. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menasihatkan supaya ia diterjemahkan sebagai puisi penglipur lara. Ada persamaannya tetapi ia tidaklah sepenuhnya tepat kerana penglipur lara menyampaikan cerita yang kebiasaannya dalam format cereka. Spoken word lebih ke arah puisi yang disampaikan secara bersahaja dan lari dari gaya deklamasi yang lazim.
Jack Malik, artis spoken word menterjemahkan ia sebagai seni lisan yang mempunyai disiplin dan keunikannya tersendiri berbanding deklamasi puisi lain dan ucapan lisan lain seperti pidato atau debat.
Seorang lagi artis spoken word, Aliff Awan pula melihat ia sebagai sajak persembahan yang mengambil sifat puisi tetapi diksi-diksinya lebih dekat dengan pembaca dan tidak terlalu kompleks.
Itu hal definisi. Penulis ingin membawa tumpuan anda kepada senggama genre muzik dan puisi ini.
Kebelakangan ini, semakin banyak kugiran menggabungkan elemen alternatif emo dengan spoken word. Dalam pemerhatian penulis, genre ini bertapak di Malaysia pada 2015 dengan kehadiran kugiran Transitions. Pada 2017 pula, Servants muncul.
Namun, entah mengapa, kedua-dua kugiran ini masih belum mendapat tempat yang sepatutnya dalam industri muzik tanah air.
Menerusi Transitions dan Servants, penulis mengenali Being As An Ocean. Kugiran Amerika Syarikat ini turut bermain genre sama dan sejujurnya, setiap lagu mereka berjaya memberikan impak emosi yang mendalam.
Mereka menyajikan irama amarah yang diadun petikan puisi bersama vokal bersih yang membentuk sebuah hidangan muzik berkualiti. Melalui penerokaan itu juga penulis menemui kugiran seperti Hotel Books.
Hotel Books pula lebih fokus kepada spoken word dan jika diamati liriknya, ia lebih kepada penceritaan yang tidak pernah habis dan memberi impak yang men­dalam bukan sahaja melalui susunan lagu, malah permainan instrumennya.

Itu kugiran dari luar, Malaysia pula bagaimana?

Pada pandangan penulis, kita masih di takuk lama dan berbangga dengan sejarah. Sudah sampai masanya untuk kita meneroka genre baharu seperti yang dilakukan Transitions dan Servants.
Pada ‘tahun pandemik’ ini, kita disajikan dengan pelbagai lagu pop yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Sekali imbas, kita lihat muzik Malaysia ini seperti bertakung pada bunyi yang lebih kurang sama.
Namun, harus diingat bahawa masih banyak lagi lagu yang kita belum teroka. Kita perlu keluar dari zon selesa.
Melalui Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020, penulis menemui banyak ‘permata’ muzik Malaysia yang hadir dalam pelbagai genre dan gaya, baik pop mahupun yang lebih alternatif.
Kepelbagaian sudah kita temui, cuma pacuan untuk menjadikan kepelbagaian ini sebagai identiti muzik Malaysia yang belum kita jumpa.
Penulis mengharapkan ada bakat baharu yang dapat tampil dan membadai industri muzik dengan satu gelombang baharu. Mungkinkah paduan emo alternatif dan spoken word jawapannya?
Cuba kita lihat ke Indonesia, muzik mereka jauh ke hadapan berbanding kita. Bukan semata-mata kerana populasi mereka yang besar, tetapi kualiti.
Penulis mengenali kugiran Knuckle Bones dari Indonesia baru-baru ini. Sebuah kugiran emo alternatif yang lagunya memberikan kepuasan yang tidak terhingga.
Ini membuktikan muzik emo yang dihembus nafas baharu ada potensi untuk maju. Apa yang diperlukan adalah pendedahan dan sokongan pendengar.
Masanya sudah tiba untuk kita belajar menerima muzik baharu. Buka mata dan pasang telinga, beri peluang kepada kugiran seperti Transitions dan Servants memikat hati anda dengan laungan emosional mereka. Kita juga punya peranan untuk menolak muzik Malaysia ke tahap lebih tinggi agar kita boleh berbangga, muzik kita setanding muzik dari luar. – Mingguan Malaysia

ANIQ AMMAR EKHWAN ialah pelajar UiTM Seremban 3 dan pemuzik. Beliau menulis untuk Music Addicts Malaysia dengan nama pena Ekhwan Fuentes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.