Rahsia di sebalik lapisan ungu

Rahsia di sebalik lapisan ungu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada satu momen kecil yang selalu berlaku bila kita memotong kubis ungu. Dari luar, ia nampak seperti sayur biasa. Tapi bila pisau mula membelah, tiba-tiba warna unggu itu menarik perhatianmu.

Ungu yang tak sekata, berpusar, hampir seperti lukisan abstrak.

Di situlah bermulanya koleksi ini. Balqis Mohammad Hafez, seorang pereka generasi baharu, mengambil inspirasi daripada dualiti ‘tersembunyi vs terserlah’ dan menterjemahkannya ke dalam rekaan fesyen yang berani tetapi puitis.

Kubis ungu dijadikan metafora bagi sesuatu yang kelihatan sederhana dari luaran, namun menyimpan warna, tekstur dan bentuk yang kompleks di dalamnya. Melalui penggunaan material seperti kanvas kapas, tafeta dan jaring keras, serta teknik kedutan sebagai hiasan, setiap rekaan membentuk lapisan yang bukan sahaja indah, malah sarat dengan cerita.

Ada yang dilindungi, ada yang sengaja didedahkan. Transparensi bertemu struktur, lembut bertemu tegas.

Dan sebab itu ungu sebenarnya sangat menarik untuk digayakan. Ianya tidak flat. Dia memberi ilusi depth tanpa perlu banyak aksesori. Untuk wanita Malaysia yang selalu cautious dengan warna terang, ini cara paling selamat untuk mula. Rona warna unggu ini akan bekerja berat untuk anda.

Jika kulit anda cerah atau mempunyai tona dasar sejuk (cool undertone), warna ungu seperti lilac dan lavender mampu membuatkan wajah kelihatan lebih segar, seakan-akan bercahaya tanpa perlu solekan tebal. Namun, bagi mereka yang berkulit sawo matang atau bertona hangat, usah ragu untuk menggayakannya.

Warna ungu yang mempunyai sentuhan merah atau magenta pula akan kelihatan lebih menyerlah, mewah dan sejujurnya lebih menonjol.

Dari segi bentuk badan, ungu dalam koleksi ini sangat membantu sebab dia tidak memberi siluet yang nampak keras. Untuk badan kecil molek, pilihlah rekaan dengan ungu lebih terang di bahagian atas.

Pandangan orang akan lebih tertumpu pada wajah terlebih dahulu, bukannya bentuk atau ketinggian tubuh. Bagi mereka yang memiliki bentuk badan berisi, rona ungu gelap pada bahagian tengah tubuh mampu mencipta ilusi visual yang lebih langsing tanpa perlu memilih potongan yang terlalu ketat.

Menariknya, warna ini juga bijak ‘melembutkan’ penampilan tubuh, menjadikan keseluruhan gaya tampak lebih seimbang dan elegan.

Gaun yang berpotongan kembang juga tidak akan kelihatan terlalu besar kerana lapisan rona ungu membantu memecahkan bentuk siluet. Ia menjadikan keseluruhan penampilan tampak lebih ringan dan lembut walaupun sebenarnya sarat dengan struktur.

Dari segi penggayaan pula, elakkan daripada “melawan” rona ungu dengan warna lain yang terlalu terang. Biarkan ungu menjadi watak utama dalam keseluruhan penampilan. Kasut hitam yang ringkas dan bersih, atau rona nude yang hampir tidak kelihatan, sudah memadai untuk melengkapkan gaya anda.

Jika ingin menaikkan lagi tahap gaya, anda boleh cuba sentuhan metalik yang lembut seperti perak. Ia memberi efek moden tanpa mengganggu dominasi ungu.

Namun, jika anda lebih berani, boleh juga tampil dengan gaya “head to toe” ungu. Kuncinya bukan pada perbezaan warna, tetapi pada permainan tekstur yang berbeza untuk mencipta dimensi dan karakter dalam keseluruhan penampilan.

Bagi wanita berhijab, warna ungu sangat cantik apabila dimainkan dengan konsep lapisan. Tudung dalam tona yang lebih lembut daripada gaun akan mencipta ilusi efek gradasi yang halus, seolah-olah setiap lapisan mempunyai ceritanya sendiri. Seperti kubis ungu itu juga, tiada satu lapisan yang benar-benar sama dengan yang lain.

Akhirnya, ungu bukan warna untuk sekadar “blend in”. Ia adalah warna untuk momen-momen apabila anda melangkah masuk ke ruang dan orang menjadi ragu, sama ada mahu melihat warna terlebih dahulu atau diri anda. Momen apabila anda sedar, kadang-kadang kita tidak perlu menjadi lebih lantang untuk diperhatikan.

Cukup sekadar memilih sesuatu yang cukup berani untuk berbicara bagi pihak anda.

Dan apabila anda berdiri dalam rona ungu itu, mungkin anda akan sedar, bukan warna itu yang mencuri perhatian, tetapi ia hanya membuka ruang untuk anda akhirnya benar-benar dilihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN