Merah jambu, bunga dan drama

Merah jambu, bunga dan drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada hari kita bangun pagi, buka almari, dan rasa macam… eh, aku ni terlalu ‘baik’. Semua baju selamat. Cantik, ya. Tapi jiwa? Sifar drama. Sampailah muncul satu koleksi yang macam tarik tangan kita dan cakap, ‘ingat tak dulu kau pakai apa saja tanpa takut orang judge?’

Di sinilah masuknya nama yang mungkin belum besar, tetapi vibe dia dah kuat. Minggu ini, pereka fesyen muda pilihan saya adalah Nurbadrina Athila Yusof Saini, graduan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam.

Inspirasi dia datang dari sesuatu yang kita semua ada tapi jarang sentuh iaitu album gambar lama. Dari situ, dia jumpa semula versi kecil dirinya. Yang jujur, yang tak fikir ‘sesuai ke tak’.

Dari situ lahir koleksi yang bermain dengan konsep matang versus polos. Bunyi macam berat, tapi hasilnya amat menarik.

Floral vintage yang sengaja ‘dirosakkan’ sedikit, seolah-olah memori yang sudah hampir luntur. Siluet pula dicampurkan dengan struktur macam sofa lama, dengan flowy macam langsir rumah nenek. Sangat biasa, tetapi diolah jadi fashion statement.

Dan crochet atau kait. Oh, crochet dia bukan main-main. Bunga-bunga kecil yang dijahit satu-satu, hasil belajar dengan ibu sendiri. Itu bukan sekadar teknik, crochet adalah memori yang dipakai.

Jujurnya, bila tengok pun dah rasa istimewa.

Tapi jujurnya, berapa ramai antara kita berani pakai benda macam ni? Kita suka tengok. Kita puji. Tapi bila sampai giliran sendiri, terus pilih baju hitam untuk rasa ‘selamat’. Jadi mungkin ini masanya kita curi sikit keberanian dari koleksi Nurbadrina.

Tip pertama saya, bermainlah dengan satu elemen nostalgia. Jika tiada full-on crochet bunga satu badan, mula dengan sedikit demi sedikit. Kardigan besar atau skirt floral yang ‘loud’ sikit.

Padankan dengan pakaian asas.

Biar satu sahaja jadi tumpuan. Itu sudah cukup untuk ubah semuanya.

Tip kedua saya ialah menerima unsur feminin yang sebenarnya mampu menonjolkan kekuatan. Koleksi ini sarat dengan elemen bunga, warna serta tekstur yang lembut, namun tidak langsung kelihatan lemah. Sebaliknya, ia memancarkan keyakinan. Jadi, jika anda sering menghindari warna merah jambu kerana bimbang kelihatan terlalu wanita, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula persepsi tersebut.

Sifat feminin bukanlah satu kelemahan. Yang penting ialah bagaimana kita menampilkannya dengan penuh keyakinan.

Tip ketiga ialah mengenakan pakaian dengan penghayatan emosi, bukan sekadar melihatnya sebagai busana semata-mata. Nurbadrina mereka bukan hanya untuk kelihatan indah, tetapi untuk membangkitkan rasa nostalgia, keselesaan, dan sedikit kekacauan memori yang tersimpan.

Justeru, apabila anda memilih pakaian, tanyakan pada diri sendiri ‘Adakah ini mencerminkan diri aku?’ dan bukan ‘Adakah ini akan disukai oleh orang lain?’

Dan paling penting, berhentilah menunggu ‘acara tertentu’ untuk bergaya. Kehidupan di Malaysia sendiri sudah dipenuhi dengan kenduri, mesyuarat dan kesesakan jalan raya. Jika asyik menunggu acara barulah mahu tampil bergaya, sampai bila pun tidak akan menjadi. Pakai sahaja apa yang anda suka. Keluar bersarapan santai juga boleh menjadi pentas peragaan jika anda cukup berani.

Akhirnya, koleksi ini bukan sekadar crochet bunga atau skirt berlapis yang nampak ‘wow’. Ia tentang jumpa balik diri sendiri yang dulunya berani, yang dulunya tak fikir panjang, yang dulunya pakai apa saja dan tetap rasa paling cantik.

Dan dalam dunia yang sering menuntut kita menjadi sederhana, sekadar cukup baik dan tidak menonjol, mungkin kita perlukan sedikit warna. Sedikit drama. Sedikit keberanian. Sebab kadang-kadang, untuk rasa hidup semula, kita cuma perlu berani menjadi ‘lebih’ sekali lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN