SETIAP kali Ramadan, segelintir wanita mengambil peluang menggantikan telekung lama dengan pilihan lebih berkualiti.
Langkah ini membolehkan ibadah dilaksanakan dalam suasana selesa, tenang dan khusyuk.
Bagi memenuhi keperluan kaum hawa, jenama telekung tempatan, Zara Awliya memperkenalkan koleksi terbaharunya, Leona.
Dihasilkan bersama pempengaruh media sosial, Nur Salihah Aimuni Muhammad Azaham atau Sally, koleksi ini menampilkan lima pilihan warna iaitu coklat, merah jambu, kelabu, hitam dan putih.
Pengasasnya, Faridah Hanom Samsudin berkata, telekung Leona direka teliti dengan menekankan ciri-ciri seperti ringan dan sejuk untuk dipakai dalam iklim tropika.
Material yang digunakan ialah armani silk premium dengan kemasan renda Perancis, sekali gus memastikan keselesaan maksimum sepanjang beribadah.
Malah, ia juga bersifat anti-renyuk, sesuai untuk wanita moden yang aktif dan sering bergerak.
“Ciri menarik lain telekung ini ialah rekaan muka fleksibel tanpa getah ketat di bahagian dahi, lantas mengurangkan kesan kemerahan pada kulit selepas bersolat atau tawaf,” katanya baru-baru ini.
Kata Faridah Hanom, pemilihan Sally sebagai wajah kempen bertujuan menyuntik elemen minimalis dan elegan dalam koleksi tersebut.
Apatah lagi, wanita itu merupakan pengguna setia produk Zara Awliya sebelum ini.
Sementara itu, Sally berkata, aspek keselesaan dan reka bentuk menarik telekung tersebut memainkan peranan penting ketika beribadah.
“Saya yakin dengan standard kualiti Zara Awliya dan menyeru para peminat untuk mengenali lebih dekat keunikan jenama ini.
“Tambahan pula dengan sentuhan rekaannya yang moden dan bergaya, sesuai untuk wanita masa kini,” katanya.
Telekung Leona dijual pada harga RM189 lengkap dengan beg berzip dan kotak edisi terhad.










