Jihad dalam bidang fesyen - Utusan Malaysia

Jihad dalam bidang fesyen

Mereka yang terlibat dengan industri fesyen daripada pereka sehinggalah ke penjual perlu berjihad bagi memastikan produknya menepati kehendak syarak dengan meletak tepi keuntungan .– UTUSAN/Razali Awang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bunyi yang janggal dan mungkin ada yang beranggapan ‘poyo’ tetapi ia perkara realiti dalam melawan nafsu atau kehendak fitrah manusia yang ingin nampak cantik dan bergaya tetapi pada masa sama tidak bercanggah dengan kewajipan menutup serta menjaga aurat.

Dalam konteks ini, firman Allah berikut wajib menjadi garis panduan asas supaya pengguna tidak terkeliru perbezaan antara menutup aurat dengan menutup badan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada oreng lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (an-Nur: 31)

Cuma yang menjadi perbahasan tidak berkesudahan adalah perkara cabang khususnya batas aurat, bentuk pakaian, jenis warna, kedudukan dalam kalangan mahram dan had umur.

Juga jangan salah faham apabila bercakap mengenai aurat ia bukan melibatkan kaum hawa semata-mata, lelaki juga tidak terkecuali. Apa yang ingin ditekankan dalam memenuhi tuntutan ini sejauh mana peranan penggiat industri fesyen muslim/muslimat memahami produk yang dihasilkan atau dipasarkan benar-benar memenuhi tuntutan syarak.

Bagi memenuhi antara kehendak nafsu dan tuntutan agama, pematuhan yang ditetapkan oleh al-Quran, hadis, qias dan ijmak ulama yang menjadi neraca.

Fesyen, produk dan kualiti menjadi perang harga di pasaran yang boleh membuatkan pengguna leka tujuan sebenar berbusana muslimah juga muslim.

Ia satu peluang perniagaan yang menguntungkan ketika trend pengguna khususnya kepada mereka yang mula beralih ke busana muslimah, rata-rata mempunyai kecenderungan untuk mengikuti perubahan gaya untuk menyaingi fesyen kontemporari.

Perubahan strategi pemasaran, memberi peluang kepada pengguna untuk memilih apa yang berkenaan di hati melalui pembelian dalam talian atau online.

Platform seperti Facebook, Instagram, Tweeter, WhatsApp dan sebagainya menyediakan lambakan untuk mereka memilih.

PERSAINGAN

Persaingan yang berlaku mendorong mereka yang terlibat dengan industri untuk lebih kreatif dalam menghasilkan pakaian untuk digayakan kerana terdapat permintaan yang tinggi khususnya terhadap fesyen wanita.

Dalam keghairahan itu, demi mengejar nilai komersial, sesetengah yang dihasilkan tidak lagi menepati syarak. Bahkan ia menjadi sesuatu yang dicela sebagaimana dijelaskan Baginda SAW iaitu berpakaian dan telanjang dalam satu masa.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Dua golongan penghuni neraka yang aku tidak pernah melihat kedua-duanya iaitu kaum yang membawa cemeti seperti seekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia dan perempuan yang berpakaian, tetapi telanjang berjalan berlenggang-lenggok dan menggoda, kepala mereka seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya. (Riwayat Muslim).

‘Kasiyatun ‘ariyat’ dalam matan hadis berkenaan bermakna perempuan berpakaian, tetapi bertelanjang iaitu mengenakan pakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh atau menampakkan warna kulit. Sekalipun tertutup dengan lapisan kain, tetapi apa yang ada di sebalik lapisan kain itu masih boleh dilihat.

Di sinilah mereka yang terlibat dengan industri fesyen daripada pereka sehinggalah ke penjual perlu berjihad bagi memastikan produknya menepati kehendak syarak dengan meletak tepi keuntungan duniawi.

Dalam masa yang sama mendidik masyarakat supaya apa yang disarung di badan menjadi amalan bukannya perbuatan yang mengundang kemurkaan Tuhan.

Dalam Islam, tiada lebih bermakna selain barakah dan pahala kerana ia menjadi deposit di ‘alam sana’.

  • Razali Awang adalah Perunding Media Syria dan pernah bertugas sebagai wartawan majalah Massa.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN