Apabila tiba perayaan Krismas maka kita fahami bahawa ia adalah hari sambutan perayaan penganut Kristian meraikan hari kelahiran Jesus Christ. Apa yang menarik adalah individu yang diimani oleh orang Kristian itu adalah individu sama dengan seorang nabi yang diimani oleh orang Islam iaitu Nabi Isa a.s.
Menurut al-Quran, Nabi Isa dilahirkan oleh seorang wanita mulia tanpa bapa. Allah juga menguji Maryam dengan ujian yang besar.
Pada saat beliau terkenal sebagai wanita yang mulia dalam kalangan bangsa Yahudi dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki, akan tetapi Allah telah meniupkan roh ke dalam rahimnya dan akhirnya beliau mengandung seperti disebut dalam surah Maryam.
Setelah Maryam mengandungkan anak suci tersebut yang dinamakan sebagai Isa, beliau pulang kepada kaumnya dan apabila dikhabarkan beliau telah melahirkan seorang anak lelaki, maka beliau ditohmah dan dimarahi oleh bangsanya.
Maryam dituduh bukan wanita yang baik-baik seperti yang disangka mereka. Di dalam al-Quran, Allah merakamkan peristiwa tersebut, tatkala orang ramai mengutuk Maryam.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?” Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. (Maryam: 29-30)
Antara mukjizat awal nabi Isa adalah dapat bercakap ketika masih bayi. Di dalam surah lain Allah menceritakan mukjizat Nabi Isa antaranya boleh menghidupkan burung daripada tanah liat, menyembuhkan orang buta dan sopak serta menghidupkan orang mati dengan izin Allah. (rujuk al-Maaidah: 10)
Kedua-dua mukjizat (bercakap semasa bayi dan menghidupkan burung) rata-rata ditolak oleh mubaligh Kristian dengan mengatakan ia tidak berlaku dan tidak ada di dalam Bible.
Walhal, terdapat satu himpunan buku terawal Kristian merakamkan kedua-dua mukjizat ini berlaku kepada Jesus ketika beliau kecil.
Ia disebut di dalam buku The Infancy Gospel of Thomas yang mana injil ini dibuang oleh Kristian ketika himpunan Perjanjian Baru dilakukan. Penceritaan ini wujud sebelum kedatangan Nabi SAW.
Nabi Isa berdakwah kepada kaumnya agar mentaati perintah Allah. Selain itu, Nabi Isa juga berhadapan kerenah Bani Israel. Nabi Isa menyeru kaum Yahudi supaya menyembah Allah SWT dan jangan menyekutukan-Nya seperti dijelaskan melalui ayat 72 surah al-Maaidah.
Kebenaran Nabi Isa untuk menyampaikan risalah Allah SWT juga kerana berhadapan dengan golongan Rabbi Yahudi yang membenci akan dakwah nabi Isa. Lalu berlaku komplot dalam kalangan kaum Yahudi dengan kerajaan Rom agar Nabi Isa dihukum mati.
Ekoran itu, kerajaan Rom dan juga kaum Yahudi yang membenci nabi Isa mengenakan hukuman salib sehingga mati.
Bagaimanapun, hakikatnya Nabi Isa tidak disalib dan tidak dimatikan di saat itu kerana ia telah digantikan dengan seseorang yang diserupakan wajahnya seperti disebut di dalam ayat 157 surah an-Nisa’.
AJARANNYA MULA DIUBAH
Setelah ketiadaan baginda maka hukum dan ajaran baginda berkembang dengan nama agama Kristian.
Ajaran baginda ini berdepan dengan amat banyak cabaran dalam kalangan ahli agamawan mereka sendiri. Mereka mula mendakwa nabi Isa adalah anak Allah, Tuhan itu triniti (tiga dalam satu).
Ini dinyatakan dalam ayat firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Ahli Kitab! (Yahudi dan Nasrani) Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya Al-Masih Isa ibn Maryam itu hanyalah pesuruh Allah dan kalimah Allah yang telah disampaikannya kepada Maryam dan roh daripadanya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: Tuhan itu tiga. Berhentilah daripada mengatakan yang demikian, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. (an-Nisa’: 171)
Keimanan yang mengatakan Nabi Isa itu adalah anak Tuhan dan Nabi Isa adalah salah satu dari tiga Tuhan itu berterusan sehinggalah diutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir selepas 570 tahun Nabi Isa diangkat ke langit.
- FIRDAUS WONG WAI HUNG ialah pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM).










