Pemaju tapak kuari degil diberi notis henti operasi 

Pemaju tapak kuari degil diberi notis henti operasi 

SEBUAH syarikat pemaju diarah menghentikan semua aktiviti dan subaktiviti di tapak kuari mereka di Persiaran Kelicap, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini selepas didapati melanggar arahan dikeluarkan JAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebuah syarikat pemaju diarah menghentikan semua aktiviti dan subaktiviti di tapak kuari mereka di Persiaran Kelicap, Bayan Lepas di sini, hari ini selepas didapati melanggar arahan dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Tindakan tegas terhadap pemaju perumahan dan operator kuarinya yang terletak di dalam tapak sama itu berikutan JAS mendapati aktiviti-aktiviti berkaitan pengkuarian masih berjalan meskipun selepas tempoh sah kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk aktiviti pengkuarian tamat pada 7 Disember tahun lalu dan tidak diperbaharui. 

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tapak itu pernah menerima beberapa notis arahan dan notis berhenti kerja sepanjang operasi atas isu-isu kacau ganggu yang sama. 

Katanya, selepas tempoh operasi kuari tidak dilanjutkan, JAS negeri masih menerima aduan penduduk terdekat bahawa kuari masih beroperasi dan menimbulkan kacau ganggu. 

Jelas beliau, intipan menggunakan dron dan siasatan pasukan penguatkuasa JAS Pulau Pinang pada 14 Februari lalu mendapati premis itu masih menjalankan aktiviti pemecahan batu  (crushing)  dan menggunakan ‘water cannon’ yang menghasilkan bunyi bising serta menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan. 

“Pemaju dan kontraktor kuarinya kemudian dipanggil dan dinasihatkan untuk mematuhi arahan JAS Pulau Pinang untuk tidak menjalankan aktiviti kuari selepas tempoh kelulusan laporan EIA kuari yang telah tamat. 

“Bagaimanapun semalam, JAS masih menerima dan siasatan mendapati premis itu masih menjalankan aktiviti-aktiviti di tapak yang menimbulkan kacau ganggu bunyi bising kepada penduduk perumahan berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut beliau, walaupun tapak itu masih mempunyai permit dan kelulusan kerja tanah yang dikeluarkan agensi lain,  namun oleh kerana tapak tersebut tertakluk kepada kelulusan EIA, maka tiada aktiviti boleh dijalankan selepas tempoh kelulusan pengkuarian di bawah perintah EIA tamat dan tidak dilanjutkan.

Dalam masa sama jelas beliau, pihaknya kini juga dalam proses menyediakan kertas siasatan bagi membawa pemaju serta kontraktor ke mahkamah atas kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 34 A; Seksyen 31 dan 38  Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

“JAS Pulau Pinang memandang serius kegagalan mana-mana pemaju untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak kami.  

“Setiap pembangunan yang dijalankan mestilah mengikut peruntukan undang-undang dan mengambil kira kebajikan pihak lain yang berkepentingan khususnya orang awam,” tegasnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya