Memanfaatkan Dasar Lautan Negara - Utusan Malaysia

Memanfaatkan Dasar Lautan Negara

Tukun diturunkan ke dasar laut bagi memastikan ekosistem dan pembiakan ikan kekal lestari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia diklasifikasi sebagai sebuah negara maritim berpandukan kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan antarabangsa dan terletak di antara rantau Asia-Pasifik dengan Lautan Hindi.

Selain kedudukannya di tengah-tengah laluan perkapalan dunia, ia juga kaya dengan sumber asli dan laut.

Faktor ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai kelebihan dengan cabarannya tersendiri.

Justeru, Malaysia perlu mempergiatkan usaha untuk memanfaatkan kelebihan itu secara optimum dan mampan ke arah negara maritim unggul.

Sebagai sebuah negara pesisir, industri maritim negara telah menjadi asas kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi berkaitan marin. Jika diamati, negara masih belum mempunyai dasar yang terangkum serta suatu struktur organisasi khas bagi mengawal seluruh aktiviti lautan.

Pengurusan sedia ada yang sektoral telah menyebabkan beberapa konflik berlaku dan antaranya ialah pertindihan bidang kuasa dan pengaturan instrumen undang-undang yang longgar.

Memandangkan negara memasuki Dekad Sains Lautan untuk Pembangunan Lestari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal tahun ini, pembangunan Dasar Lautan Negara seharusnya menjadi acuan asas untuk tadbir urus lautan yang komprehensif.

Pihak berkepentingan sewajarnya mengenal pasti mekanisme yang sesuai untuk merealisasikan matlamat ini.

Pada tahun 2011, Malaysia secara umumnya telah merangka draf Dasar Lautan Negara melalui bahagian Direktorat Oseanografi Negara (NOD), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Rangka ini berfungsi sebagai asas untuk membangunkan strategi masa depan, serta pelan tindakan berkaitan pengurusan persekitaran dan sumber lautan dan pantai.

Pelancaran misi bantuan sukarelawan dan NGO ke Pulau Redang.

DASAR LAUTAN NEGARA

Rangka Dasar Lautan Negara berpandukan 12 prinsip iaitu hak untuk membangun, saksama dan inklusif, pendekatan ekosistem, bersepadu dan holistik, menghormati budaya dan warisan orang asli.

Selain itu penyertaan orang ramai, benefisiari/pencemar membayar, pendekatan berjaga-jaga, kerjasama dan penyelarasan antarabangsa, pembuatan keputusan termaklum, pembangunan mampan dan pemuliharaan biodiversiti biologi

Seterusnya prinsip ini disokong oleh empat matlamat dan objektif iaitu memahami, memulihara dan memulihkan persekitaran lautan, menyokong pertumbuhan dan peluang ekonomi yang mampan, amalkan tadbir urus lautan yang baik dan mencapai penglibatan, bertanggungjawab dan pembangunan mampan untuk pulau dan pantai.

Dasar Lautan Negara bakal menjadi rujukan utama bagi pembuat keputusan, sektor agensi dan pelaksana dasar bukan kerajaan untuk menangani isu dan menyelaraskan inisiatif ke arah visi yang dipersetujui.

Ia seperti yang digariskan dalam lima teras strategik dan tindakan utama seperti Ekonomi Lautan Produktif, Persekitaran Lautan Sihat, Pangkalan Bakat Marin Dunia Pertama, Tadbir Urus Lautan yang Baik dan Data lautan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Rangka dasar ini turut menggariskan pelbagai cadangan untuk merapatkan jurang untuk penggunaan ekosistem marin yang mampan.

Antaranya ekonomi lautan yang mampan yang menggalakkan perkongsian awam-swasta; mengubah industri berasaskan lautan dan pantai; memperkukuh pengetahuan dalam sains dan teknologi marin untuk memacu pertumbuhan yang diterajui oleh inovasi dan strategi pengurusan data lautan kebangsaan untuk penyeragaman data.

Namun, kerangka dasar itu tidak dapat dilengkapkan berikutan berlaku perubahan pada struktur pentadbiran kementerian terlibat.

Pengurusan sumber lautan dan pantai amat penting dalam mengimbangi keperluan untuk meneruskan dan mengekalkan penyediaan perkhidmatan untuk pembangunan dan aktiviti ekonomi.

Namun tujuan ini tidak dapat dicapai sekiranya pengurusan berpusat tidak dilakukan.

Sehubungan itu, langkah transformatif perlu diambil dengan membangunkan semula Dasar Lautan Negara yang adaptif dan dinamik untuk menangani konflik lautan yang berlarutan berpuluh tahun lamanya.

DR. NOR AIENI MOKHTAR

Pihak berkepentingan perlu berganding bahu dalam menangani cabaran ini supaya negara tidak ketinggalan dalam menelusuri perkembangan ekonomi global yang semakin berkembang.

Kementerian terlibat boleh terus melaksanakan langkah-langkah seterusnya ke arah kelulusan draf itu ke dalam dasar negara.

Ia dengan mengadakan beberapa siri penglibatan peringkat tinggi dengan pihak berkepentingan dan pembentangan kepada jawatankuasa penting dan kelulusan daripada kabinet.

Seterusnya, pihak berkuasa kerajaan sewajarnya lebih terbuka dalam menerima input dan cadangan daripada ahli akademik dan pemain industri.

Pembangunan dasar lautan bersepadu seharusnya berasaskan data empirikal melalui penyelidikan bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus lautan.

Pembangunan Dasar Lautan Negara juga perlu mengambilkira inisiatif penguatkuasaan perundangan lautan sedia ada untuk melindungi sumber dan ekosistem yang terdedah kepada ancaman pencemaran.

DR. IZYAN MUNIRAH MOHD ZAIDEEN

Selain itu, pendekatan pengurusan berasaskan top- down dalam menyelaraskan kementerian dan agensi yang terlibat serta perancangan spatial marin juga perlu diterapkan.

Dapat disimpulkan pembangunan Dasar Lautan Negara amat penting dalam memastikan kebolehlaksanaan tadbir urus dalam pengurusan struktur guna laut yang lebih inklusif untuk manfaat saksama pada masa kini dan masa depan sambil memenuhi kewajipan untuk mengurus, melindungi dan memelihara alam sekitar.

Selain itu, bagi menjamin pelaksanaan pembangunan sosio ekonomi yang lestari, negara perlu mengekalkan keamanan dan keselamatan serta memastikan kedaulatan negara dilindungi.

  • Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar adalah Felo Penyelidik Kehormat, UMT dan Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, UMT.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya