Pencemaran bau bahan kimia tumpah, Jabatan Alam Sekitar teruskan pemantauan - Utusan Malaysia

Pencemaran bau bahan kimia tumpah, Jabatan Alam Sekitar teruskan pemantauan

ANGGOTA penyiasat JAS Negeri Sembilan mengambil sampelan bahan tumpahan dalam longkang awam di luar bangunan kilang (kiri) dan dan melakukan pengawasan kualiti udara menggunakan 'Cerexms Gas Analyzer' susulan kejadian tumpahan bahan kimia di sebuah kilang plastik di Senawang Industrial Park, Senawang, Seremban, semalam. - IHSAN JAS NEGERI SEMBILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri meneruskan pemantauan bagi pengukuran kualiti udara di kawasan sekitar penempatan penduduk susulan kejadian tumpahan bahan kimia di sebuah kilang plastik di Senawang, dekat sini, semalam.

JAS menerusi satu nota makluman hari ini memberitahu, langkah itu selepas terdapat aduan awam tentang kejadian tersebut menyebabkan pencemaran bau kimia yang sangat kuat sehingga menjejaskan kesihatan penduduk.

“Pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan menjalankan pengawasan kualiti udara menggunakan ‘Cerexms Gas Analyzer’ bermula pukul 8 malam semalam sehingga 12 tengah malam.

“Pemantauan tersebut disambung hari ini sehingga pukul 8 malam. Lokasi pemantauan dijalankan di kawasan penempatan penduduk yang terjejas iaitu di Lorong 7, Taman D’Latania. Pemantauan diteruskan di kawasan aduan dan rondaan pemantauan kawasan sekitar penempatan penduduk dalam lingkungan tiga kilometer dari kawasan kilang,” kata kenyataan itu.

Semalam, Utusan Online melaporkan, penduduk di taman perumahan tersebut mengadu mengadu mengalami sesak nafas dan pedih mata susulan kejadian tumpahan bahan kimia melibatkan sebuah kilang di Senawang Industrial Park, Senawang, dekat sini.

Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, kejadian berlaku selepas cecair bahan kimia jenis ‘methyl methacrylate’ tumpah di dalam kilang tersebut dipercayai setelah berlaku kebocoran ketika pengisian daripada tangki besar ke tangki ‘Intermediate Bulk Container (IBC)’

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan memaklumkan, tumpahan cecair bahan kimia tersebut ke longkang berdekatan dan mengalir sejauh tiga kilomter.

Sementara itu, nota makluman JAS Negeri Sembilan itu menambah, ketika kejadian pekerja kilang mengambil tindakan mencuci bahan tumpahan tersebut menggunakan sabun dan air.

Ia mengakibatkan buangan cucian tumpahan bercampur air telah memasuki longkang di dalam bangunan kilang seterusnya mengalir keluar ke longkang awam.

“Pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan mengarahkan pihak kilang untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang longkangdi dalam bangunan kilang dan longkang awam yang dicemari bahan tumpahan dengan serta merta.

“Pemeriksaan secara in-situ kualiti buangan pembersihan tumpahan di dalam longkang kilang dan longkang awam pada masa sebelum dan selepas pembersihan telah dijalankan dan bacaan pH pada pukul 6 petang berada pada paras 5 dan bacaan pH pada pukul 8.06 malam dan 8.08 malam, bacaan kembali normal pada paras 7,” katanya lagi.

Pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan juga menjalankan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan premis diarahkan menghentikan serta merta aktiviti pemprosesan sehingga langkah-langkah kawalan dan pembersihan diambil bagi mengatasi masalah ini.

“Notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, AKAS 1974 juga dikeluarkan kepada pihak kilang supaya menjalankan kerja- kerja pembersihan tumpahan di dalam dan luar premis sehingga tiada lagi limpahan ke dalam perparitan awam dan tiada lagi bau yang menyebabkan aduan daripada orang awam.

“Penyediaan kertas siasatan akan dibuka sekiranya hasil pemeriksaan pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan mendapati berlaku kecuaian sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku dan boleh didakwa di bawah AKAS 1974,” kata makluman itu lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya