Sokonglah program penghijauan Malaysia - Utusan Malaysia

Sokonglah program penghijauan Malaysia

PENANAMAN pokok bakau iaitu teknik 'Comp-Mat' dan 'Comp-Pillow' di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor oleh FRIM yang berjaya menghijaukan kawasan hutan paya laut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUTAN adalah simbol kehidupan yang memainkan peranan penting dalam menjaga nilai kehidupan alam sejagat. Di Malaysia, hutan di negara kita antara hutan tropika tertua di dunia. Sehingga hari ini negara mengekalkan 55.3 peratus atau 18.2 juta hektar tanahnya diliputi dengan hutan.

Biarpun demikian, hutan kita ini jika tidak dijaga dengan sebaik-baiknya ia bakal berdepan kemusnahan. Hanya kesedaran mengenai kepentingan khazanah warisan negara ini sahaja dapat menyelamatkan hutan.

Tanggungjawab menjaga dan memulihara hutan negara tidak hanya digalas oleh pihak kerajaan semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan usaha serta kerjasama pelbagai pihak. Malah, masyarakat sewajarnya turut berperanan dalam memastikan hutan kita terus terpelihara.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melaksanakan Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok selama lima tahun bermula tahun ini sehingga 2025.

Pra pelancaran program itu bersama logo kempen dirasmikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah pada 22 Disember lalu.

Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kawasan berhutan dan memupuk semangat cintakan hutan dalam masyarakat serta memastikan komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia dapat dicapai.

Ini kerana, hutan adalah khazanah negara yang penting dalam menjamin kestabilan ekosistem serta berkait rapat dengan pembangunan sosio-ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Isi hutan terutama pokok-pokok dan tumbuhan lain menyediakan sumber asli dan bahan-bahan mentah untuk pembangunan. Dalam masa yang sama, hutan memainkan peranan dalam memberi perkhidmatan ekosistem yang signifikan seperti kawasan tadahan, membekalkan air bersih, udara yang segar dan menjadi stok karbon bagi mengimbangi iklim dunia.

Oleh sebab itu, usaha memelihara dan memulihara hutan adalah tanggungjawab kita bersama dan ia perlu melibatkan semua pihak demi menjamin kesejahteraan serta kualiti hidup generasi masa kini dan akan datang.

Program Penghijauan Malaysia ini juga dijalankan selaras dengan komitmen mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan. Ia seperti yang diumumkan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio De Janeiro, Brazil pada 1992.

Kempen bertemakan ‘Pokok Kita, Kehidupan Kita’ dilancarkan bulan ini dan bakal menggerakkan seluruh masyarakat untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha menanam 100 juta pokok kayu dan berdaun hijau dalam tempoh lima tahun.

Agensi-agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dipertanggungjawabkan membantu merealisasikan kempen ini mengikut peranan masing-masing.

Ketua Pengarah FRIM, Dr. Khali Aziz Hamzah berkata, pihaknya sebagai institut penyelidikan akan menerajui usaha pembangunan kandungan dalam kempen ini menerusi kepakaran dan pengetahuan yang dimiliki.

Ia melalui menyumbangkan bahan maklumat berkaitan kepentingan penanaman pokok, kesesuaian tanah bagi penanaman spesies tertentu, teknik atau kaedah penanaman yang betul serta penjagaan pokok dan hutan ladang untuk perkongsian umum serta hebahan.

Menurutnya, sasaran kerajaan untuk menanam 100 juta pokok tidak mustahil untuk dicapai berikutan hutan di kampus utama FRIM di Kepong, Selangor adalah bukti kejayaan penanaman semula pokok hutan daripada kawasan tanah terbiar.

Dianggarkan 2,300 spesies tumbuhan hidup di hutan ini dengan 73 daripadanya merupakan spesies terancam.

“Hutan di kampus FRIM ini menjadi contoh atau model terbaik bagi hutan buatan manusia yang dibangunkan daripada kawasan terosot. Tapak asalnya adalah bekas lombong bijih timah dan kebun sayur sebelum ia dihijaukan semula dengan spesies pokok hutan pada 1920-an menggunakan kaedah saintifik.

“Pada mulanya, penyelidik menjalankan penyelidikan perhutanan dengan penubuhan tapak semaian hutan dan petak percubaan penanaman pokok secara besar-besaran di kampus FRIM sebelum akhirnya membentuk hutan buatan.

“Usaha penghijauan semula turut dijalankan di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) di Bidor, Perak yang juga kawasan bekas lombong bijih timah. Oleh itu, pengalaman dan aplikasi hasil penyelidikan dalam penubuhan hutan ladang serta penghijauan semula akan digunakan untuk membantu kempen yang baru dilancarkan ini,” katanya.

Dr. Khali Aziz Hamzah menyiram pokok yang ditanam di FRIM, Kepong, Kuala Lumpur

FRIM ADA KEPAKARAN

Dr. Khali Aziz berkata, pengalaman FRIM dalam pemilihan spesies yang sesuai, di samping mempunyai kepakaran dalam penyediaan tapak, teknik penanaman dan penjagaan pokok tidak hanya melibatkan hutan rimba apabila turut memberi sumbangan aktif dalam usaha kerajaan untuk memulihara kawasan pesisiran pantai negara daripada ancaman hakisan pantai.

“Antara yang dilakukan FRIM adalah menjalankan kajian bagi menghasilkan kaedah yang sesuai untuk menanam spesies hutan paya laut di kawasan yang terdedah kepada hakisan dan berisiko tinggi.

“Kajian FRIM yang menggunakan gabungan struktur pemecah ombak dan teknik inovatif penanaman pokok bakau iaitu teknik Comp-Mat dan Comp-Pillow di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor berjaya menghijaukan kawasan hutan paya laut yang kini kelihatan seperti pulau hutan paya laut baru pada imej satelit dalam jangka masa lima tahun sahaja.

“Selain penanaman, pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut dilaksanakan bagi mengkaji teknik kesesuaian penanaman, pemuliharaan flora dan fauna di hutan pesisiran pantai serta impak penanaman kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar,” katanya.

Selain berkepakaran mengenal pasti spesies pokok yang sesuai untuk ditanam di lokasi tertentu, FRIM juga menawarkan kursus pemangkasan pokok landskap, penyelenggaraan pokok teduhan, pemeriksaan pokok berisiko dan pengurusan tapak semaian.

Ia dikendalikan oleh arboris atau pakar penyelenggara pokok berpengalaman. FRIM mempunyai lapan ahli arboris yang menawarkan khidmat nasihat dan perundingan teknikal mengenai penjagaan serta penyelenggaraan pokok.

TANAM 100,000 POKOK

FRIM juga akan memberi khidmat nasihat pakar dalam menyokong program penanaman pokok yang dijalankan oleh semua agensi atau jabatan di bawah KeTSA termasuk Yayasan Hijau Malaysia, jabatan perhutanan negeri, termasuk Jabatan Hutan Sabah dan Sarawak dan juga pihak berkuasa tempatan yang terlibat.

Kata Dr. Khali Aziz, dalam menyokong kempen ini, FRIM sendiri mensasarkan penanaman 100,000 pokok berkayu dalam tempoh lima tahun.

“Pokok-pokok ini akan ditanam dalam kawasan kampus utama FRIM termasuk Taman Warisan, SPF dan kawasan di luar FRIM berdasarkan kerjasama yang dilaksanakan dengan agensi atau jabatan kerajaan lain, komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat,” katanya.

Setakat ini, FRIM mempunyai sembilan SPF di Semenanjung Malaysia.

 

PROGRAM penghijauan semula yang dilakukan di Stesen Penyelidikan FRIM di Bidor, Perak.

Bagi organisasi sama ada syarikat atau pertubuhan yang ingin menyokong kempen ini, FRIM menawarkan ruang dan peluang kepada warga korporat untuk terlibat dalam menjalankan penanaman pokok menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), di samping memberikan komitmen bagi mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat dan mempromosi imej organisasi.

Sokongan dan sumbangan masyarakat adalah amat penting bagi menjayakan program ini. Oleh itu, pelaksanaan kempen ini akan dipantau dengan menggunakan aplikasi mudah alih dikenali Penghijauan Malaysia dan laman sesawang rasmi www.100jutapokok.gov.my.

“Dengan platform maya berkenaan, orang ramai dapat merekodkan jumlah pokok ditanam sepanjang kempen. Malah, FRIM dan JPSM akan bersama- sama memantau pelaksanaan dan penjagaan pokok yang ditanam dalam kempen ini.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pokok yang ditanam termasuk cara penanaman dan penjagaan yang betul melalui Sistem Maklumat Kepelbagaian Biologi Malaysia (MyBIS).

“Aplikasi pangkalan data ini dibangunkan khas oleh pihak kementerian sebagai usaha berterusan bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan flora dan fauna,” katanya.

Tambah Dr. Khali Aziz, penglibatan masyarakat dalam menanam pokok dapat meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap pokok dan hutan semula jadi, selain menimbulkan rasa tanggungjawab dan komitmen bersama terhadap penjagaan hutan serta alam sekitar di Malaysia.

“Apabila kita sendiri yang menanam pokok secara tidak langsung akan mewujudkan sifat sayang kerana rasa pemilikan bahawa pokok itu kita yang punya, jadi kita akan menjaga sebaik-baiknya supaya pokok yang ditanam itu terus hidup.

“Cubalah tanam walaupun sebatang pokok dan kita tidak mengehadkan pokok berkayu kepada spesies hutan saja, sebaliknya orang ramai boleh menanam pokok berkayu lain seperti pokok buah-buahan misalnya durian atau mangga dan pokok herba misalnya Tongkat Ali.

“Malah, ada insentif menarik ditawarkan untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama masyarakat serta badan korporat. Kita yakin sasaran 100 juta pokok ini mampu dicapai berdasarkan rekod lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×