Proses urbanisasi global dalam beberapa tahun ini menunjukkan banyak kesan terhadap alam sekitar dan ketahanan terhadap bencana alam semula jadi.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, sebanyak 68 peratus populasi dunia akan menetap di kawasan bandar pada 2050 berbanding 55 peratus sekarang.
Ia menunjukkan proses pembangunan dan pembinaan aktiviti perindustrian memang tidak dapat dielakkan.
Proses perbandaran akan berlaku apabila penduduk di luar bandar berpindah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan lebih baik.
Oleh itu, pemahaman lebih baik mengenai kelestarian alam sekitar mesti diutamakan.
Bidang geofizik persekitaran dan kejuruteraan merupakan salah satu disiplin geofizik yang menentukan ciri-ciri fizikal muka bentuk bumi dengan menggunakan teknik yang tidak memusnahkan persekitaran.

Khususnya, apabila kita melakukan penyelidikan ke atas muka bentuk kawasan bumi. Ia dapat menangani masalah seperti tanah runtuh sewaktu kerja pembangunan dilakukan.
PERUMAHAN
Untuk pengguna, pastikan mereka tidak akan membeli rumah di kawasan yang diragui keselamatannya.
Kelebihan utama penggunaan geofizik persekitaran dalam penyiasatan lapangan adalah ia dapat mengkaji kawasan tanah yang luas dengan cepat dan dapat menjimat kos.
Secara umum, penggerudian tanah akan dijalankan sebelum projek pembinaan yang baharu dibangunkan terutamanya di kawasan bandar. Dengan langkah ini, kita dapat mengetahui keadaan permukaan bawah tanah.
Namun kelemahan dalam kaedah ini adalah zon yang menjadi sasaran utama untuk memastikan keselamatan tapak pembinaan mungkin akan terlepas dan mengurangkan nilai-nilai kaedah rejahan.
Sekiranya tinjauan awal geofizik dijalankan, ia dapat mengesan zon sasaran tersebut.
Justeru, kajian penggerudian tanah akan memberikan hasil yang lebih memuaskan seperti menjamin struktur muka bumi yang selamat untuk kawasan perumahan dan mengetahui maklumat seperti lokasi kewujudan air bawah tanah.
TEKNIK
Salah satu teknik geofizik biasa digunakan dalam sesebuah pembangunan pembinaan rumah adalah kaedah keberintangan geoelektrik. Ia digunakan dalam penyiasatan persekitaran dan kejuruteraan.
Di mana ia dapat menggambarkan keadaan di bawah permukaan melalui taburan sifat elektrik bahan seperti tanah dan air yang mempunyai ketidaksamaan sifat elektrik.

Zon keberintangan yang lebih tinggi mungkin berkaitan dengan batu-batuan atau serpihan buatan manusia.
Ia berupaya mengesan serpihan kayu atau konkrit. Benda-benda tersebut merupakan bahan buatan manusia dan kadang kala benda ini tertimbus dalam tanah. Semakin lama, perkara ini mungkin dilupakan.
Serpihan yang tertimbus dalam tanah ini akan menjadi satu permasalahan apabila kawasan tersebut hendak dibangunkan dengan projek perumahan.
KAJIAN GEOFIZIK
Keberintangan geoeletrik merupakan salah satu teknik kajian geofizik. Ini dilakukan dengan mengambil data secara grid untuk merangkumi keseluruhan kawasan kajian.
Data diperoleh akan diproses untuk menghasilkan model keberintangan kerata (resistivity section) yang mewakili keadaan di bawah tanah.
Kajian ini menunjukkan bahawa tapak projek mempamerkan ketidaksamaan taburan elektrik dengan zon keberintangan rendah, sederhana dan tinggi.
Zon keberintangan rendah disebabkan oleh penumpuan air di tanah dan kehadiran lempung. Zon keberintangan yang lebih tinggi mungkin berkaitan dengan batu-batuan atau serpihan buatan manusia.
Dalam zon keberintangan rendah, corak ketakwajaran (anomali) dipaparkan berbeza dengan dapatan umum memberi petunjuk kemungkinan kehadiran serpihan terpencil.
Selepas kajian, kerja-kerja penggalian tanah akan dijalankan di tempat yang mempunyai corak ketidakwajaran untuk mengesahkan zon yang disyaki.
Selepas membandingkan kaedah rejahan dan geofizik, amalan atau cara yang terbaik adalah menggunakan dua kaedah tersebut di dalam situasi yang sesuai.
Justeru, penggunaan kajian geofizik amat kritikal dan ia dapat membantu menangani pelbagai isu persekitaran dan kejuruteraan.
Kesimpulannya, selain daripada penjimatan kos, kaedah geofizik juga boleh dijadikan sebagai satu cara pengurusan risiko. Dengan peningkatan keperluan jejak audit terhadap tanggungan, risiko yang berkaitan dengan kehilangan ciri penting di tapak projek terutamanya di bandar boleh mengakibatkan penalti kewangan atau tindakan undang-undang yang besar.
Perkara ini juga semakin penting dalam pengurusan persekitaran kita dalam dunia supaya tidak menjejaskan keselamatan kita semasa mengguna infrastruktur yang baru.
—————–
Dr. Mohd Hariri Arifin adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM, manakala Eric Teng Jing Hang adalah pelajar siswazah di Jabatan Geologi, UKM.









