SIAPA sangka sebuah kawasan gua batu kapur terbiar di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan menjadi tempat penternakan ikan kelah.
Hasil kegigihan Mohd. Saiful Basri Mat Yaakob, 44, menternak ikan kelah yang terkenal dengan jolokan Raja Sungai itu berjaya menjana pendapatan lumayan dan menarik kunjungan orang ramai.
Usaha penternakan ikan kelah menuntut pengusahanya memberi komitmen tinggi dan penjagaan rapi kerana nilai komersialnya yang tinggi apabila harganya boleh mencecah ribuan ringgit seekor.
Mohd. Saiful Basri mula menternak ikan di gua batu kapur yang diberi nama Gua Kambing sejak 10 tahun lalu.
Menurut beliau, ternakan ikan kelah di dalam gua batu kapur mempunyai pengaliran air yang baik dan jernih serta jarang dilakukan penternak lain.
Katanya, langkahnya memulakan penternakan seperti itu pada mulanya untuk memenuhi pasaran bagi spesies kelah yang semakin meningkat permintaannya.
“Sebelum menternak ikan dalam gua itu, saya melakukan kajian mengenai kesesuaian pengaliran air bersih dalam gua itu.
“Pada peringkat permulaan, saya hanya melepaskan kira-kira 2,000 ikan kelah dan kini semakin membiak sehingga mencecah berat lima hingga sembilan kilogram seekor,” katanya.

Cerita Mohd. Saiful Basri, proses mengindahkan kawasan Gua Kambing itu melibatkan kos hampir RM100,000.
Katanya, ketika ini terdapat 5,000 ekor ikan kelah di dalam dan kaki gua yang berada dalam kawasan tanah miliknya seluas 0.8 hektar.
“Sebenarnya usaha membina tempat pembiakan ikan kelah itu adalah sesuatu perkara yang mencabar.
“Sebelum memulakan ternakan ikan kelah di dalam gua itu, saya bersama rakan mengambil masa lima bulan membersihkan batu di dalam dan di sekitar gua berkenaan untuk memastikan ia bersih.
“Selain itu ia juga bagi mengelak ikan itu mudah mati jika pergerakannya tidak bebas apabila menyusur di celahan batu atau air berlumpur,” katanya.

ORANG ASLI BEKAL ANAK IKAN
Mohd. Saiful Basri berkata, bagi menambahkan bilangan ikan kelah, dia turut membeli anak ikan daripada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman daerah Gua Musang.
Katanya, dia turut menternak 4,000 ikan jenis lain termasuk tilapia dan patin kerana mendapat permintaan tinggi daripada pembeli tempatan serta luar daerah ini.
“Saya gembira apabila ikan kelah yang diternak sejak lapan tahun lalu telah mencapai berat antara lima hingga sembilan kilogram seekor.
“Walaupun ada permintaan harga yang tinggi terhadap ikan kelah tetapi saya tidak sanggup menjual semuanya kerana ingin menjadikannya sebagai tarikan pengunjung ke kawasan ini,” katanya.
Tambahnya, ikan kelah adalah spesies ikan sungai yang kini menjadi buruan peminat bukan sahaja untuk menikmati keenakan isinya tetapi untuk dipelihara dalam akuarium di rumah.
Katanya, ramai berminat untuk melihat ikan kelah bersaiz besar kerana mereka sukar menemuinya sejak kebelakangan ini termasuklah di kawasan sungai.









