GEORGE TOWN: Masjid-masjid yang dikategorikan sebagai tanpa anak kariah di Pulau Pinang dipastikan terus diimarah sebagai pusat ibadah dan penyebaran dakwah.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, walaupun tidak mempunyai komuniti berdaftar sebagai anak kariah, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mewujudkan pelbagai mekanisme untuk memastikan masjid kekal berfungsi dan dimakmurkan.
“Sebagai contoh, dalam hal ini, imam dan pegawai masjid tetap dilantik dan dibiayai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan MAINPP sendiri bagi menjamin kelancaran urusan harian masjid.
“Selain itu, pelbagai aktiviti seperti kuliah, forum dan ceramah diadakan secara berkala bagi menarik kehadiran jemaah daripada pelbagai latar belakang untuk ke masjid-masjid ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia semalam berkenaan terdapat lapan masjid di Pulau Pinang yang kebanyakannya terletak dalam daerah Timur Laut tidak mempunyai kariah, namun menjadi tumpuan pelancong dan jemaah luar kerana terletak di lokasi strategik serta kawasan komersial.
Masjid itu ialah Masjid Kapitan Keling yang dibina pada 1801, Masjid Melayu Lebuh Acheh (1808), Masjid Jamek Jalan Hatin (1870), Masjid Jamek Titi Papan (1841), Masjid Jamek Benggali (1845), Masjid Jamek Perangin (1890), Masjid Jamek Haji Wahab (Simpang Enam) (1897) dan Masjid Jamek Bukit Bendera (1963).
Mohamad berkata, pihak pengurusan masjid-masjid terlibat turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan sukarelawan tempatan dalam usaha memperkukuh pengimarahannya.
“George Town sejak dahulu telah menjadi pusat penyebaran Islam dan perkembangan komuniti Muslim. Pembinaan masjid di sini sudah bermula lebih 200 tahun lalu dan masih kekal aktif hingga ke hari ini,” katanya.
Mohamad berkata, masjid-masjid berkenaan tetap mempunyai persempadanan kariah masing-masing.
Katanya, Sistem Pengurusan Bersepadu MAINPP juga membolehkan individu dari luar kawasan untuk mendaftar sebagai jemaah tetap. – UTUSAN










