Menghormati Rasulullah SAW merupakan satu ketinggian peribadi seorang mukmin terhadap Nabinya.
Ia bukanlah satu perkara baharu sebaliknya sangat jelas terpapar pada akhlak para sahabat, ulama dan orang-orang soleh sewaktu mereka berkomunikasi dengan Rasulullah SAW dan hadith-hadith baginda. Kali ini saya memaparkan kisah Saidina Abu Huroyroh yang begitu mengagungkan Rasulullah SAW.
ABAD MEMBUAHKAN PERASAAN MALU
Al-Imam al-Bukhoriyy di dalam sohihnya pernah mendatangkan satu kisah menarik yang menunjukkan betapa tinggi rasa hormat Saidina Abu Huroyroh terhadap Rasulullah SAW sehingga beliau malu untuk menemui baginda ketika dalam keadaan berjunub. Menerusi sanad al-Imam al-Bukhoriyy, beliau merekodkan:
Daripada [Saidina] Abu Huroyroh sesungguhnya Nabi SAW telah menemui beliau di sebahagian jalan di al-Madinah sedangkan beliau dalam keadaan berjunub. [Saidina Abu Huroyroh berkata]: “Maka saya terus beredar [daripada bertemu dengan baginda] secara senyap-senyap”.
Maka beliau telah pergi lalu beliau mandi. Kemudian beliau datang [semula menemui Rasulullah SAW]. Maka baginda bersabda: “Ke mana kamu tadi wahai Abu Huroyroh?”.
Beliau berkata: “Saya tadi dalam keadaan berjunub. Maka saya tidak suka untuk duduk bersama-sama dengan anda dalam keadaan saya bukan suci”.
Maka baginda bersabda: “Subhanallah! Sesungguhnya orang muslim tidaklah najis”.
Saidina Abu Huroyrah dalam kisah ini mempamerkan kepada kita penghormatan yang begitu agung buat insan bahkan makhluk termulia iaitu Saidina Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Muttolib SAW.
Sekalipun tiada arahan daripada baginda yang meminta para sahabat berada dalam keadaan suci daripada sebarang hadas dan najis sekiranya ingin bertemu dan duduk dalam majlis baginda, namun rasa penghormatan yang begitu tinggi terhadap Rasulullah SAW yang ada di dalam hati sanubari Saidina Abu Huroyroh menyebabkan beliau tidak tergamak untuk duduk bersama-sama dengan Rasulullah SAW dalam keadaan masih berhadas besar.
RASULULLAH SAW YANG BEGITU MERENDAH DIRI
Rasulullah SAW adalah seorang tokoh agung yang begitu merendah diri sesama makhluk Allah yang lain. Baginda tidak kekok untuk bergaul mesra dengan para sahabat dan tidak pula janggal untuk berjalan-jalan di lorong dan denai yang dilalui oleh penduduk al-Madinah al-Munawwarah. Sekalipun martabat baginda begitu agung di sisi Allah, baginda tetap bersikap tawaduk sehingga mudah untuk ditemui di pasar, jalan-jalan, masjid dan di rumah baginda sendiri.
Maka tidak hairanlah apabila para sahabat bahkan musuh-musuh sangat menyayangi baginda kerana keperibadian yang sangat tinggi lagi agung ini.
BUKAN HANYA SAIDINA ABU HUROYROH
Selain Saidina Abu Huroyroh, sikap memberikan penghormatan yang begitu agung terhadap Rasulullah SAW ini turut terserlah dalam tindak-tanduk para sahabat baginda.
Saidina Abu Bakr contohnya, mengimamkan solat fardu semasa ketiadaan Rasulullah SAW pergi ke perkampungan Bani ‘Amr bin ‘Awf bagi menyelesaikan permasalahan mereka, tidak tergamak untuk terus mengimamkan para sahabat dalam solat fardu tersebut setelah Rasulullah SAW tiba di al-Masjid al-Nabawiyy dalam keadaan baginda telah menjadi salah seorang makmum kepada beliau ketika itu.
Sekalipun Rasulullah SAW semasa sedang melaksanakan solat itu telah mengisyaratkan kepada Saidina Abu Bakr agar terus mengimamkan solat jemaah tersebut, namun Saidina Abu Bakr merasa tidak sanggup untuk menjadi imam kepada imam para nabi dan para rasul seluruhnya.
Lalu beliau pun berundur ke belakang sehingga tiba di saf yang pertama lalu akhirnya Rasulullah SAW pun mara ke hadapan menjadi imam solat bagi menggantikan Saidina Abu Bakr yang hanya mahu menjadi makmum selepas kedatangan Rasulullah SAW.
Setelah selesai solat, Rasulullah SAW bertanya kepada Saidina Abu Bakr mengapa tidak menuruti arahan baginda yang telah mengisyaratkan agar beliau terus menjadi imam solat jemaah.
Lalu terpancarlah daripada insan yang begitu menyayangi Nabinya satu ucapan cinta yang begitu suci terhadap baginda Nabi SAW: “Tidak layak bagi anak lelaki kepada Abu Quhafah untuk solat di hadapan Rasulullah”.
ADAB MELEBIHI MENURUT ARAHAN
Para ulamak Islam dalam meneliti sikap mulia para sahabat yang mendampingi Nabi termulia ini SAW telah mendatangkan satu kaedah yang berbunyi: “Beradab adalah didahulukan berbanding dengan mengikut arahan”.
Ini bermakna sekiranya berlaku pertembungan antara arahan Rasulullah SAW dengan sikap beradab kepada baginda dalam keadaan arahan yang dikeluarkan oleh baginda tersebut hanyalah kerana sikap merendah diri dan tawaduk baginda, bukannya kerana arahan tersebut wajib dipatuhi, maka yang terbaik adalah beradab dengan Rasulullah SAW dan bukannya mengikut arahan baginda.
Maka atas konsep ‘beradab adalah didahulukan berbanding mengikut arahan’ inilah yang menyebabkan pandangan kuat dalam mazhab al-Imam al-Shafi‘iyy adalah sunat ditambah kalimah Sayyidina (penghulu kami) sebelum lafaz Muhammad di dalam azan, iqamat dan tahiyat sama ada tahiyat awal atau tahiyat akhir demi memuliakan Rasulullah SAW sekalipun baginda tidak pernah mengajar kita melaungkan azan, iqamat dan tahiyat dengan melafazkan kalimah ‘Sayyidina’.
MANUSIA BUKANLAH NAJIS
Kisah Saidina Abu Huroyroh di atas turut menunjukkan kepada kita yang hadas besar terhasil daripada persetubuhan, keluar air mani, kedatangan haid dan nifas bukanlah menyebabkan seseorang muslim itu berubah menjadi najis sehingga sudah tidak boleh lagi untuk disentuh, menyentuh dan sebagainya.
Oleh kerana inilah Rasulullah SAW menjelaskan kepada Saidina Abu Huroyroh yang orang Islam tidak menjadi najis sekalipun masih dalam keadaan berhadas agar tanggapan bahawa orang berhadas adalah najis dapat dihilangkan daripada pemikiran orang Islam.
Sabdaan Rasulullah SAW ini juga secara zahirnya seolah-olah menunjukkan hanya orang Islam sahaja yang bukan najis.
Maka adakah ini bermakna bahawa orang bukan Islam dianggap najis lalu orang bukan Islam sama sekali tidak boleh disentuh sekiranya salah seorang daripada yang menyentuh atau yang disentuh atau kedua-duanya sekali berada dalam keadaan basah?
Para ulamak dalam menjawab persoalan ini menyatakan tubuh badan orang bukan Islam juga bukanlah najis sama seperti tubuh badan orang Islam.
Maka sekiranya jasad orang bukan Islam tidak terkena sebarang najis, maka persentuhan yang berlaku di antara dia dengan orang Islam tidaklah menyebabkan bahagian tubuh badan yang terkena sentuhan tersebut menjadi bernajis.
Adapun firman Allah Ta‘ala yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang musyrik hanyalah najis”, maka maksud ayat ini adalah kepercayaan dan aqidah orang-orang musyrik adalah kotor, jijik dan najis kerana mereka menyekutukan Allah Ta‘ala. Adapun jasad mereka, maka ia bukanlah najis sama seperti jasad orang-orang Islam. Atas dasar inilah Rasulullah SAW membenarkan orang-orang bukan Islam pada zaman baginda memasuki masjid. Sekiranya jasad dan tubuh badan orang bukan Islam adalah najis, maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak akan membenarkan mereka berada di dalam masjid.
-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










