ALLAH SWT mengetahui dan mengatur setiap sesuatu tentang manusia yang diciptaNya.
Allah SWT memberi perintah kepada hamba ciptaanNya untuk berdoa kepadaNya.
Ini kerana Allah SWT itu Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu.
Maha Hebat Allah SWT walaupun hambaNya lalai dalam meminta doa kepadaNya, Allah SWT tetap akan memberikan kepada hambaNya apa yang sudah menjadi hak hambaNya dalam kehidupan yang telah ditetapkan sejak dalam Loh Mahfuz.
Begitu juga kemuliaan dan keagungan Allah SWT tidak akan bertambah atau berkurang kerana manusia memuji, memuliakan dan menganggungkanNya dengan permohonan doa kepadaNya.
Namun, sekiranya manusia lalai dalam berdoa memohon pertolongan dan petunjuk Allah SWT bila mana berada di saat kesulitan, kebingungan atau kecelaruan jiwa, akal dan minda.
Sesungguhnya manusia yang alpa dengan munajat kepada Allah SWT, lalai dalam mengingati Allah SWT ketika susah dan senang sedang diuji dengan keangkuhan diri yang pasti mendorong ke arah kesamaran jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah yang mana akhirnya manusia terjebak dengan hasutan syaitan, jin dan mengikut hawa nafsu dalam bertindak, berfikir dan berkata-kata.
Dalam Surah al-Ghafir ayat 60, Allah SWT berfirman dengan maksudNya: Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan.
Sesungguhnya orang-orang yang sombong beribadah kepadaKu akan masuk ke neraka jahannam dalam keadaan terhina.
DOA ITU IBADAT
Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya dalam Hadis Riwayat Abu Daud: Doa adalah ibadah.
Manakala Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya barangsiapa tidak memohon kepada Allah SWT, ia akan dimurkai.
Jelaslah bahawa memanjatkan doa adalah sinonim dengan konsep komunikasi dengan Allah SWT secara tekun dan sabar, meminta bantuan dan pertolongan, meminta dipermudahkan kesulitan dan kesukaran hidup, berbicara dengan Pencipta dengan bermunajat, merintih, merayu dan memohon petunjuk, keampunan dan diterima taubat hamba dengan sebenar-benar kekhusyukan.
Hakikatnya doa juga merupakan ujian bagi orang Mukmin yang mana menagih kesabaran dan keredaan yang tinggi.
Apabila perkara yang didoakan lambat dikabulkan, maka ia disangka sebagai sesuatu yang lambat dan akhirnya mengundang tergelincir dari landasan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Mukmin yang tinggi taqwa diberi jalan keluar bagi setiap permasalahan dihadapi khususnya melalui doa yang tidak dihijab oleh Allah SWT.
Seperti mana firman Allah SWT bermaksud: Siapa yang bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Dia akan menyediakan jalan keluar baginya.
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan berdoa dan penuh keyakinan akan dijawab setiap persoalan yang berlaku.
Kunci untuk mendapat doa yang diterima oleh Allah SWT adalah dengan beriman dengan Allah SWT Yang Maha Berkuasa dalam melakukan apa sahaja dalam pengetahuanNya dan yang dikehendakiNya tanpa mempersoalkan ketentuanNya.
Seterusnya beriman dengan Allah SWT Yang Maha Mengetahui.
Ini kerana tiada apa sesuatupun yang tersembunyi dari ilmuNya yang meliputi segala sesuatu perkara, sedangkan pengetahuan kita sebagai makhluk pula sangat terbatas dan mempunyai hadnya.
MAHA MENGETAHUI
Allah SWT Maha Mengetahui baik dan buruk dalam permintaan dari hambaNya dan Dialah Yang Maha Bijaksana dalam segala aturan kehidupan hambaNya.
Mungkin sesuatu yang disangka baik untuk agama, kehidupan dan diri manusia, namun di sisi Allah SWT ia merupakan suatu perkara yang tidak membawa manfaat dan kebaikan.
Allah SWT mengingatkan hambaNya tentang perkara ini dalam Surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu perkara, padahal ia baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia adalah buruk bagimu. Allah SWT mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.
Jalan tazkiyatul Al-Nafs melalui sifat muhasabah diri, membuat transformasi dalam diri turut memudahkan doa hamba diterima oleh Allah SWT.
Kemungkinan besar dosa atau kelemahan dalam diri sama ada disedari atau tidak telah menatijahkan doa hamba tidak diterima.
Contohnya sumber pendapatan yang diragui atau ada unsur-unsur haram, bermualamalat dengan perkara yang mengandungi unsur-unsur riba, maksiat dan kesamaran.
Hati yang ikhlas dalam ketenangan dalam melihat kekuasaan Allah SWT memberi ruang kepada hamba untuk sentiasa yakin kepada Allah SWT.
Seterusnya bersangka baik dengan Allah SWT tanpa gelojoh atau tergesa-gesa mengharapakan doa segera diterima dalam setiap perkara, maka dengan ini akan memberi keyakinan dan harapan doa dimakbulkan Allah SWT.
Ini kerana Allah SWT menurut apa yang disangkakan oleh hamba kepadaNya.
Doa penawar jiwa yang kecewa, hampa, fikiran yang celaru bimbang dan hati yang derita terluka.
Ketika kita berdoa maka akan wujud pengharapan sepenuhnya doa kita dikabul oleh Allah SWT.
Sedangkan ketika itu Allah SWT sedang menguji rasa qana’ah atau rasa cukup hambaNya.
Ini kerana doa tidak hanya merubah sesuatu, jika hamba tekun mendamba cinta Penciptanya, pasti Allah SWT tidak mensiasiakan usahanya dalam pengembaraan mencari cinta kasih Ilahi.
Oleh yang demikian, jagalah apa-apa yang ada di antara hamba dengan Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaga apa yang ada di antara kamu dan hamba-hambaNya.
Imam Shafie menyatakan bahawa doa yang dibuat di malam tahajjud adalah seperti anak panah yang tidak meleset dari sasarannya.
Berebutlah berdoa di antara waktu mustajab doa seperti 10 waktu doa mustajab iaitu: sepertiga akhir malam, hujung solat sebelum bagi salam, di antara azan dan kamat, semasa azan dan hujan lebat, di akhir siap solat jumaat sebelum maghrib, semasa minum air zam zam, semasa kita sedang kesusahan mulakan dengan zikir Nabi Yunus AS dengan Lailla hailla anta Subhanakainni kuntu minadzolimin.
Semasa ditimpa musibah ucapkan innalillahiwainnailaihirojiun dan diikuti dengan doa Allahumma’jurni fi musibati wa akhifli khairan minha.
Allah SWT mengingatkan hambaNya dalam Surah Al-‘Araf ayat 55 dengan maksudnya : Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
Sama-sama kita memantapkan iman, taqwa dan ihsan untuk eratkan hubungan dengan Allah SWT.
Bermuhasabah diri, memperbaiki kekurangan diri dan menambah keimanan membentuk jiwa besar yang indah hati nuraninya, sentiasa berbaik sangka denganAllah SWT, bersabar dan solat merupakan kunci utama mendapat doa yang dimakbul oleh Allah SWT.
-PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM










