Tenggelam perkara 'Atas Tong' demi puji sanjung manusia - Utusan Malaysia

Tenggelam perkara ‘Atas Tong’ demi puji sanjung manusia

ORANG ramai menyertai protes membantah pembakaran al-Quran di Sweden di Kufa, Iraq pada Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Wehh!! Aku kena sebar ni, supaya orang tahu akulah orang pertama viralkan isu ini! lepas ni mesti orang tahu, akulah yang sebar isu ni”. Tetttt tersebarlah berita tersebut tanpa tabayyun terlebih dahulu. Begitu mudahnya sekarang sesuatu perkara di kongsi berbanding pada masa lampau dek kerana kerancakan perkembangan teknologi kini hanya dengan berpenakan jari jemari. Allah nukilkan dalam surah al – Isra’ ayat 36 – “dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”.

Sungguh jelas lantunan Allah dalam ayat tersebut, mengkhabarkan kepada kita, usahlah memperkatakan sesuatau tanpa kita tahu adakah ianya benar atau tidak. Dalam kitab Sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim bin al-Hajjaj Rahimahullullah dengan sanad dan matan yang lengkap, telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Khubaib bin ‘Abdirahman, dari Haafs bin ‘Aashim, dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW bersabda, “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta jika dia menceritakan semua yang dia dengar.” (Sahih Muslim No. 6).

Jadi, sudah terdapat dua rujukan dalil iaitu dari al-Quran dan al-Hadis yang menyokong berkaitan perkara ini. Seandainya 2 dalil ini kita tidak pakai dan tidak rujuk, maka kita di kira sebagai orang yang fasik kerana menolak hukum. Oleh itu, jangan kita menjadi seperti mereka, selagi mana belum tahu kesahihannya, usahlah terus ditularkan dan disebarkan tanpa ada usul periksa. Hanya kerana mengejar populariti dan kemashyuran iaitu akulah penyebarnya, nilai kesahihannya berita langsung tidak diendahkannya. Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah perkara yang disebarkan tanpa usul periksa itu mana mungkin telah menimbulkan polemik dan kemelut baru, telah menyebarkan fitnah baharu kepada orang lain, ataupun telah memecahbelahkan masyarakat, lantas makin parah serta barahnya yang pula dicerahkan lagikan ibrahnya terus menjarah.

Sungguh cantik dan moleknya segala aturan dan urutan setiap ciptaan yang Allah swt ciptakan. Manusia kadang hanya sering berdebat perkara atas tong sahaja, apakah yang lebih awal Allah swt ciptakan, bumikah? Langitkah? Manusiakah? Haiwankah? Alam semestakah? Sehingga terkadang kita leka untuk menzahirkan ucapan puji-pujian kepada Yang Maha Pencipta dek kerana bergolok gadai mahukan gelaran insan pertama dalam setiap apa jua perkara. Pernahkan kita bayangkan, jika Allah swt ciptakan manusia terlebih dahulu tanpa Allah ciptakan alam semesta ini, dimanakah tempat yang akan kita duduki untuk mendapatkan sumber kehidupan? Makhluk ciptaan Allah seperti kita dan haiwan memerlukan tempat untuk hidup, maka Allah ciptakan terlebih dahulu bumi yang penuh dengan sumber untuk makhluknya meneruskan
kehidupan.

Begitu juga air, seandainya Allah swt ciptakan air sahaja, tanpa ada tempat untuk air mengalir, kemanakah akan perginya aliran air itu? Lantas Allah ciptakan bumi untuk air itu mengalir dengan cantik. Begitulah keagungannya Al-Quran, bukan sahaja sarat sempurna 1001 segala macam penerangan yang sudah terang lagi tersuluh, malah daripada kitab Allah inilah telah tercetus banyak perkara yang melibatkan ilmu-ilmu sains sejak daripada zaman azali lagi. Sebagaimana yang kita sering didedahkan dengan keagungan dan kehebatan cendekiawan-cendekiawan dan golongan ilmuan islam pada zaman dahulu seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Imam Al-Ghazali, Ibn Baitutta dan ramai lagi cendekiawan hebat-hebat zaman kegemilangan dini Islam, hasil kajian yang telah mereka buktikan adalah hasil daripada kitab Al-Quran Allah inilah. Penjagaan hubungan mereka dengan Allah swt inilah yang telah membuatkan mereka bukan sahaja memperoleh cetusan idea malahan ilham daripada Al-Quran itulah yang menjadikan hasil kajian mereka tiada tolok bandingnya. Inilah yang dikatakan Al-Quran sebagai pencetus kepada setiap inci kajian yang telah mereka lakukajikan sehinggalah agama Islam ketika berkerajaankan Muawiyah, Berkerajaan Zaman Khalifah dan zaman Abasiah dipandang tinggi sehingga orang-orang bukan islam menjadikan agama islam sebagai perpustakaan mereka dalam membangunkan peradaban mereka. Ironinya, mereka langsung tidak memikirkan akulah penyebar ilmu ini, akulah yang pertama ciptakan formula ini. Akulah! Ishh Akulah! Ishh Akulah! Namun, kelekaan dan kemalasan yang sedikit demi sedikit telah memakan nilai jati diri umat islam, akhirnya telah meruntuhkan peradaban ummah sehinggakan kita telah diletakkan ketahap paling hina dan akhirnya barat mengakui keilmuan yang telah lama mereka cedok daripada agama islam itu adalah ilmu milik dan dari mereka, padahal seperti mana yang kita telah ketahui, daripada Al-Quran lah sebagai ibu ilmu kita umat islam.

Begitulah yang dikatakan dalam ilmu, ilmu mengangkat darjat bukan sahaja diri sendiri malah sesebuah kaum itu. Jadi benarlah, dengan ilmu kita akan disanjung dan dijunjung malah sebagai tempat ilmu yang sentiasa dikunjung demi memperolehi aliran ilmu yang tidak ada berpenghujung. Kembalilah kita mengkaji keagungan islam di zaman kegemilangan peradaban kita suatu ketika dahulu, kaji selidiklah bagaimana setiap inci usaha umat islam dizaman itu untuk menaikkan agama Islam ketahap tertinggi, dalamilah dan hayatilah setiap detik masa yang mereka gunakan untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik. Dan kita dizaman yang penuh dengan kemudahan ini, janganlah hanya sekadar menjadi pencari dan pembaca ilmu sahaja, atur gerakkan sekecil-kecil usaha supaya lama kelamaan usaha kecil timbunan pasir bisa jadi segunung ilmu yang gah demi membuktikan bahawa Islam itu adalah agama yang mementingkan keilmuan.

Cukupkah sekadar menjadi pemerhati dan pengkritik yang tidak berkesudahan, jadilah kita sebagai contoh ikutan yang terbaik sesama kita, supaya satu hari nanti kita tidak menyesal berpanjangan dek kerana lambat membuat perubahan sedangkan telah lama terpampang didepan mata 1001 jalan perubahan. Teruskanlah pasang niat dan menyebarkan perkara yang baik-baik dan memberikan kemaslahatan bersama Umat. Namun, pastikan segala info dan perkara yang hendak dikongsikan itu perlu ditabayyun terlebih dahulu supaya tahu pucuk pangkalnya. Ilmu Islam tu. Maha Luas dari Yang Maha Bijaksana, jadilah jauhari yang mengenal manikam iaitu menjadi insan yang bijaksana yang mampu mengetahui sesuatu kebaikan dan keelokan ilmu sebelum dikongsi. Usahlah terus ego dalam dalam mengejar nama semata-mata namun hasilnya entahkan elok ataupun tidak buat diri sendiri di kesudahan ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya