Bakal jemaah haji musim lepas diberi keutamaan - Utusan Malaysia

Bakal jemaah haji musim lepas diberi keutamaan

KEBENARAN membenarkan rakyat negara ini mengerjakan umrah di Mekah bergantung kepada situasi Covid-19. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bakal jemaah haji Malaysia yang menerima giliran menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu diberikan keutamaan melaksanakannya pada musim haji akan datang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, ia membabitkan bakal haji diperuntukkan giliran pada 2020 dan diberi keutamaan sebelum ini bagi menunaikan haji tahun ini dengan mereka bakal diberi keutamaan pada 2022. 

“Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadat haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warga Saudi dan penduduk negara lain yang berada dalam negara tersebut sahaja.

Beliau dilaporkan mewakili Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H sebagai akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi itu.

Dalam pada itu, Amrin memaklumkan rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi boleh memohon melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini dengan tertakluk kepada kriteria pemilihan dan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

Beliau menjelaskan, pihaknya menerima keputusan yang  dibuat Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia walaupun Tabung Haji sudah bersiap serta membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana jelas menunjukkan keprihatinan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

“Tabung Haji amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dahulu,” katanya.

Sementara itu, Tabung Haji menasihatkan umat Islam di Malaysia agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini. 

Tabung Haji kemudian memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan itu dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan.

“Salah satu syarat-syarat wajib haji adalah berkemampuan atau ‘Istito’ah’ untuk pergi menunaikan haji. Antara ciri-ciri Istito’ah ialah dari segi kesihatan, kemampuan kewangan, keamanan dalam perjalanan, pengangkutan yang selamat dan kebenaran kuota haji,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 0362071919. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya