Tahun 2021 menjadi tahun keenam pembabitan pelakon tinggi lampai, Luqman Hafidz dalam arena lakonan. Biarpun namanya belum panas kerana tidak terpalit dengan kontroversi, dia bersyukur tawaran tetap ada.
Malah selepas lebih 64 persembahan pentas teater muzikal Ola Bola, rezeki pelakon berusia 30 tahun itu masih berpihak dalam bidang lakonan.
“Alhamdulillah nama saya bersih daripada sebarang kontroversi. Bahkan, saya tidak ralat andai mengecap populariti sedikit lewat, kerana saya percaya percaturan-Nya ada hikmah terbaik untuk diri saya.
“Setidaknya saya masih ada tawaran berlakon, itu lebih baik. Tidak enak pula didengar kalau popular tetapi ada kontroversi yang memungkinkan reputasi terjejas.
“Saya selalu berdoa dalam setiap pekerjaan semoga dihindar daripada perkara-perkara negatif, insya-Allah pasang niat cari rezeki halal dan berusaha untuk perbaiki kualiti lakonan,” jelasnya.
Menurut pelakon itu, hubungan yang baik dan ramah sebenarnya menjadi kunci diri disenangi orang sekeliling.
“Dalam kerjaya seorang pelakon ini bukannya membabitkan para pelakon sahaja, tapi turut melibatkan satu kumpulan tenaga produksi lain seperti pengarah termasuk krew belakang tabir dan jurusolek artis.
“Kita hendaklah menjaga silaturahim sebab tanpa mereka semua, sesebuah drama, telefilem ataupun filem tidak akan terhasil. Jika kita datang lokasi penggambaran sebelum mula, tegurlah dulu.
“Selain krew, paling penting ialah pengarah. Saya selalu ambil peluang untuk menyelami pemikirannya terlebih dahulu. Apa mesej cerita yang cuba dia sampaikan kepada penonton? Apa yang sebenarnya dia mahukan daripada pelakon? Secara tidak langsung bukan sahaja dapat membantu lakonan kita tetapi memudahkan lagi kerja pengarah,” jelasnya yang kini sedang menjalani penggambaran drama komedi berjudul Alif Ba Ta.
Menganggap dirinya masih ‘hijau’ di gelanggang seni lakonan dan sedar tiada latar belakang pengajian lakonan seperti kebanyakan pelakon lain. Bermula daripada filem kemudian teater diikuti drama, Luqman bagaimanapun bersyukur kerana dia seorang yang cepat belajar.
“Kebanyakan masa saya suka tonton filem dan drama untuk fahami jenis-jenis shot kamera sementelah mengkaji cara gerak bahasa tubuh badan pelakon, percakapan kita perlulah selari.
“Bukannya tidak belajar atau banyak bertanya dengan mereka yang sudah lama, namun kena tengok keadaan juga. Di lokasi mungkin masa terhad untuk belajar kerana kita bekerja.
“Jadi, perkongsian mungkin tidak begitu memuaskan hati, ada pun yang berkongsi masih tidak cukup jelas ataupun kerana terlalu berlapis sangat,” ujarnya yang mengidolakan pelakon Zahiril Adzim.

ENGGAN BAWA WATAK GELAP MELAMPAU
Biarpun tidak wujud istilah memilih dalam kamus sebagai seorang pelakon, Luqman bagaimanapun enggan melakonkan watak jahat yang melampau. Cukup sekadar ia masuk akal dan itulah yang sememangnya terjadi dalam kalangan masyarakat.
Walau bagaimanapun, menyedari pada setiap watak yang dibawa akan ada keistimewaan tersendiri, Luqman mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang serba boleh.
“Benar melakonkan watak sisi gelap ini boleh meninggalkan kesan kepada penonton kerana mereka akan senang ingat siapa kita.
“Begitu pun, cukuplah sekadar masuk akal dan tidak melebih-lebih luar daripada kebiasaan.
“Lagi pun saya tidak mahulah penonton asyik teringat atau kenali saya menerusi satu watak sahaja, tak syoklah,” ujarnya.
Sepanjang kariernya, selain berlakon Luqman juga turut berkecimpung dalam bidang pengacaraan dan antara program yang pernah dikendalikan adalah Rentak Juara (RTM), Hadis (TV9), dan Selera Bajet (HyppTV).









