AR-RAUDHAH
Sebuah peristiwa perjalanan agung yang menjadi mukjizat kepada Rasulullah SAW yang lebih sinonim dipanggil Israk dan Mikraj adalah tanda keagungan Allah. Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan kelebihan yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW.
Istilah Israk bermaksud perjalanan Baginda SAW dari Mekah ke Baitulmaqdis manakala mikraj bererti perjalanan baginda naik ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah.
Peristiwa ini direkodkan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Baitulmaqdis), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Israk: 1)
Demikian keistimewaan peristiwa ini dan di dalamnya kita menyaksikan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada Rasulullah SAW. Ia dengan menjadikan Baginda utusan-Nya pembawa sebuah risalah yang merangkumi semua risalah yang diturunkan ke atas rasul-rasul sebelum Baginda.
Kelebihan ini diperakui dengan Baginda menjadi imam ketika Nabi SAW solat bersama sekalian para nabi yang pernah dilantik oleh Allah di atas muka bumi. Malah, ia jadi tanda baginda adalah penghulu bagi sekalian para nabi dan rasul.
Oleh yang demikian, menjadi kewajipan kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan dengan menjadikan kita umat yang mengikuti risalah yang merangkumi semua risalah.
Walau bagaimanapun, peristiwa yang bersejarah ini adalah peristiwa yang tidak dapat difahami oleh akal manusia yang terhad. Walaupun ia diukur dengan timbangan teknologi yang kita miliki di zaman moden ini adalah mustahil.
Hatta, andai diceritakan akan kisah ini akan dianggap hanya mitos kerana tidak dapat diterima oleh akal manusia. Namun, kita beriman dan percaya peristiwa ini kerana ia adalah mukjizat. Ia bukan peristiwa alam atau kejadian yang dibuat oleh manusia atau jin bahkan malaikat.
Yang menjadi tumpuan kita ialah sikap yang dipegang oleh Rasulullah SAW sejak baginda belum dilantik menjadi rasul diaplikasi dalam semua keadaan, iaitu kejujuran dan amanah dalam menyampaikan walaupun akan berhadapan dengan tentangan kerana tidak dapat diterima oleh akal.
Berbeza keadaannya dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, apabila orang yang mempertikaikan peristiwa Israk dan Mikraj menyampaikan kepadanya agar timbul rasa syak di dalam benak Saidina Abu Bakar. Namun, beliau malah mengatakan: “Kalau dia berkata demikian maka benarlah dia”.
Demikian bukti kejujuran iman Saidina Abu Bakar kepada baginda sehingga diberi gelaran As-Siddiq yang membawa makna kejujuran dan membenarkan yang benar.
Demikian sikap nabi dan sahabatnya yang mempertahankan prinsip jujur dan benar dalam apapun risikonya. Meskipun tahu bahawa akibat selepasnya mereka akan diperlecehkan, dihina, diejek dan difitnah. Ini menjadi fokus kepada kita untuk kita meneladani sikap jujur seperti yang disebut dalam hadis iaitu: Berkata benar walaupun pahit. (Riwayat Ibnu Hibban)
Ini kerana di sebalik kepahitan dalam kebenaran ada kemanisan mempertahankan prinsip dan manfaat bagi orang jujur iaitu:
Pertama: Digolongkan bersama para nabi. Tidak ada martabat yang lebih tinggi melainkan kebersamaan dengan para nabi. sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Perniaga yang jujur dan amanah bersama para nabi, dan golongan siddiqin (golongan yang benar) dan para syuhada. (riwayat Tirmidzi)
Tidak dinafikan menjadi seorang peniaga yang jujur dan amanah tidak mudah. Maka, Allah memberi ganjaran kepada orang yang bersabar dengan sifat jujur dan amanah walau apa yang dihadapi dengan memuliakan mereka dengan menggolongkan mereka bersama para nabi, orang yang benar dan para syuhada.
Kedua: Mendapat ketenangan. Orang yang jujur tidak pernah ada gusar di dalam hatinya malah akan merasa tenang kerana tidak ada sesuatu yang perlu disorokkan dan ditakutkan andai kepalsuannya terbongkar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Tinggalkan apa yang dirisaukan kepada yang tidak merisaukan, sesungguhnya pada kejujuran adalah ketenangan, dan pada penipuan adalah kerisauan. (riwayat Tirmidzi)
Demikian sifat sentiasa jujur menjadi faktor dalam mencari ketenangan dengan berlaku benar, bercakap benar dan terbuka kepada kebenaran.
Ketiga: Membawa kebaikan dan mendapat syurga. Tidak akan wujud keburukan andai seseorang itu sentiasa bersikap jujur dalam setiap katanya dan tingkah lakunya. Malah, kebaikanlah yang akan sentiasa didapatinya dan dengan kebaikan ini akan memandu orang yang jujur itu untuk masuk ke dalam syurga.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Hendaklah kamu bersikap jujur, sesungguhnya kejujuran membawa kebaikan, dan sesungguhnya kebaikan memandu ke syurga, tidaklah seseorang itu sentiasa bersikap jujur sehingga Allah menandainya dengan tanda orang yang benar. (riwayat Muslim)
Bukan sahaja dianugerahi dengan syurga, malah ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang benar dan dapat dilihat oleh semua makhluk.
Keempat: Memelihara maruah diri. Di dalam prinsip ilmu hadis, orang yang didapati sering tidak berkata benar tidak akan diambil hadis daripadanya.
Begitu juga Imam Bukhari yang tidak ingin meriwayatkan hadis daripada orang yang perilakunya tidak jujur. Ini kerana kejujuran menjadi sandaran sejauh mana kebenaran yang akan disampaikan oleh seseorang.
Andai didapati seseorang itu pernah berbohong walaupun secara gurauan maka setiap khabar atau maklumat yang disampaikan olehnya akan dipertikai. Teladanilah Rasulullah SAW yang bercakap benar walaupun bertujuan sebagai gurauan.

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL-HAMID, Pengerusi Yayasan Al-Ri’ayah










