Israk Mikraj lambang kemuliaan solat - Utusan Malaysia

Israk Mikraj lambang kemuliaan solat

ANTARA peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bulan Rejab yang sedang kita lalui ini menyimpan sebuah peristiwa penting dalam sejarah Islam yang menggambarkan kemuliaan ibadah solat. Itulah Israk Mikraj yang berlaku dalam hidup Rasulullah SAW yang perlu difahami dan diambil pengajarannya oleh umat Islam pada hari ini.

Peristiwa ini benar-benar menguji keimanan para sahabat baginda kerana ia bukan berlaku dalam keadaan yang sangat menakjubkan. Sementara golongan kafir Quraisy semakin membenci dan mengkufuri segala apa yang diceritakan oleh baginda.

Allah SWT menjelaskan peristiwa ini di dalam al-Quran yang bermaksud: Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang diberkati di sekelilingnya untuk menunjukkan kebesaran Allah… (al-Israk: 1).

Menurut Syeikh al-Qaradawi, peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab sebagai penghormatan kepada Rasulullah SAW (al-Isra’ wa al-Mi’raj, al-‘Ibar wa al-‘Izzat).

Peristiwa ini untuk mengembirakan hati baginda yang sedih atas kematian insan yang penting dalam hidupnya iaitu isteri tercinta, Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudara, Abu Talib bin Abdul Mutalib.

Menurut Sheikh al-Buti, kejadian ini berlaku antara tahun ke-11 atau 12 kenabian baginda kerana ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib pada tahun ke-10 dan sebelum hijrah pada tahun ke-13 yang para sejarawan Islam menamakan tahun tersebut sebagai ‘Am al-Huzn iaitu tahun kesedihan (Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah).

Kedua-dua tokoh ini amat besar sumbangan mereka dalam gerak kerja dakwah dan perjuangan Rasulullah SAW khususnya dari segi kewangan dan kekuasaan.

Bulan Rejab menjadi bulan pilihan Allah SWT sebagai bulan penerimaan wahyu solat melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Solat adalah ibadah yang paling mulia kerana ia satu-satunya perintah secara langsung daripada Allah SWT tanpa perantaraan Jibril a.s seperti ibadah puasa, zakat, haji, peperangan dan sebagainya.

Allah SWT bertemu dengan Rasulullah SAW secara langsung di Sidratul Muntaha seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran (al-Najm, 13-18) sekali gus meletakkan ibadah solat di kedudukan paling tinggi. Justeru, bulan Rejab sinonim dengan ibadah solat yang menjadi rukun Islam yang ke-2.

Peristiwa agung ini juga benar-benar menguji iman para sahabat dan menjadi sebab golongan kafir Quraisy menjadi semakin sesat dan hina.

Perjalanan (Israk) baginda SAW dari Mekah ke Palestin, seterusnya naik (Mikraj) sehingga ke langit ketujuh hanya mengambil masa semalaman sahaja menjadikan ia suatu yang mustahil jika difikirkan dengan akal yang logik.

Namun hal itu tidak sedikitpun sukar bagi Allah SWT yang mengkehendaki ia berlaku ke atas kekasih-Nya itu. Jika diukur jarak dari Mekah ke Palestin, maka jaraknya sekitar 2,700 kilometer (km) yang mengambil masa tiga bulan dengan berjalan kaki.

Perkara ini diketahui oleh bangsawan Quraisy yang biasa bermusafir ke Syam apabila tiba musim panas seperti yang diceritakan di dalam al-Quran (al-Quraisy: 1-2), maka apa yang berlaku ke atas baginda adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal fikiran.

Sebagai umat baginda, kita mesti menyedari bahawa peristiwa ini berlaku kerana kemuliaan solat. Hari ini kita diberi kemampuan solat fardu lima waktu yang diwahyukan ke atas baginda melalui peristiwa yang ajaib ini.

Hanya solat ibadah yang tidak boleh ditinggal atau digantikan walau sebab apa sekalipun. Jika tidak mampu berpuasa, maka boleh ditinggalkan sama ada dengan cara qada, bayar fidyah atau tidak perlu kedua-duanya.

Namun solat tiada pilihan sama sekali apabila seseorang itu telah mencukupi syarat-syarat sebagai seorang mukalaf iaitu wajib melaksanakan perintah agama.

Allah SWT berfirman: bahawa orang yang beruntung ialah orang yang mendirikan solat dengan khusyuk dan sentiasa memelihara solat mereka (al-Mukminun: 1 dan 9).

Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi, semua agama yang wujud dalam dunia mempunyai ibadah solat. Bahkan semua para nabi diutuskan kepada umat terdahulu bersama dengan perintah solat walaupun cara dan kaedahnya berbeza-beza (al-‘Ibadah fī al-Islam).

Melalui banyak hadis Rasulullah SAW antaranya menyebut solat itu membezakan antara Islam dengan kafir (riwayat Ahmad), sementara riwayat lain baginda mengatakan sesiapa yang meninggalkan solat sesungguhnya dia menjadi kafir (riwayat Tirmizī).

Semoga bulan Rejab yang sedang kita lalui ini memberi pengajaran yang besar kepada kita khususnya kepentingan solat yang diwahyukan melalui peristiwa Israk Mikraj.

Sebagai umat Islam, jangan sesekali kita meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT.

Solatlah walaupun kita jahil dan ahli maksiat. Ini kerana solat tidak mensyaratkan seseorang itu mesti alim atau mulia. Mudah-mudahan dengan solat, kita beroleh ketenangan hidup dunia dan akhirat, insya-Allah.

  • FAHIMI ZAKARIA, pensyarah di Pusat Pengajian Fundamental, Management and Science University.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×