Wanita seantero dunia baharu sahaja menyambut hari wanita sedunia tanggal 8 Mac yang lalu. Hari yang menuntut kesedaran hak sebagai seorang wanita perlu lebih banyak difahami terutama dalam mendepani dunia yang lebih mencabar pasca pandemik.
Harapan dan sokongan kepada golongan wanita perlu diambil perhatian oleh semua pihak kerana mereka selalunya dilabelkan dengan komuniti yang lemah.
Hak sebagai wanita melalui perundangan faraid dalam Islam telah dimartabatkan seawal kedatangan Islam itu lagi.
Firman Allah SWT dalam menjelaskan perihal ini ialah: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah). (al-Nisa’: 7)
Kedatangan Islam telah membawa banyak perubahan terutama berkaitan bentuk pewarisan yang sedia ada diamalkan oleh masyarakat Arab Jahiliah. Kesannya satu sistem yang lebih baik, adil dan tersusun dapat diperkenalkan.
Pewarisan yang disepakati pada zaman jahiliah dan tidak wujud lagi dalam Islam iaitu agihan kepada golongan lelaki sahaja. Islam telah membawa perubahan dengan memberi hak kepada kedua-dua jantina iaitu lelaki dan perempuan untuk menjadi penerima harta pusaka si mati.
Hakikatnya, martabat wanita setanding lelaki dalam Islam. Kedua-dua jantina ini mempunyai persamaan dari sudut seruan melakukan kebaikan di muka bumi.
Setiap lelaki dan wanita bertanggungjawab memastikan tingkah laku mereka termasuk dalam amal soleh yang menyelamatkan mereka daripada hukuman yang ditetapkan di dunia mahupun di akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki dan perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan. (al-Nahl: 97]
Berebut harta tetap akan berlaku sama ada waris itu lelaki atau wanita. Namun dengan ilmu dan kefahaman yang jitu sahaja yang mampu menyelamatkan konflik urusan harta keluarga si mati.
TIADA BEZA JANTINA
Semua prosedur asas berkaitan faraid iaitu wujudnya rukun, syarat, sebab dan ketiadaan penghalang terpakai kepada kedua-dua jantina iaitu lelaki dan wanita.
Sebagai contoh dalam syarat sesuatu agihan faraid tidak diletakkan jantina sebagai asas untuk pembahagian harta pusaka Islam.
Peraturan yang hanya diletakkan berkaitan syarat faraid ialah kematian pewaris, hidupnya waris dan mengetahui sebab hubungan serta tiada halangan pewarisan.
Oleh yang demikian, mana-mana waris yang dipastikan hidup layak untuk menerima harta pusaka. Perbezaan jantina sebagai lelaki atau wanita bukanlah syarat untuk menerima faraid.
Dari aspek yang lain pula, perbahasan berkenaan penghalang faraid juga terpakai kepada kedua-dua jantina. Salah satu contoh penghalang faraid ialah tindakan membunuh menyebabkan pembunuh tidak mendapat harta pusaka mangsa yang mempunyai hubungan sebab pewarisan dengan pembunuh tersebut.
Isteri yang membunuh suaminya akan dihalang untuk memperolehi harta pusaka suaminya yang meninggal dunia sama keadaannya seperti suami yang membunuh isterinya.
Selain daripada itu, konsep hajb (mendinding waris lain) turut diberi hak kepada waris lelaki dan wanita. Konsep ini memperincikan keutamaan waris dengan membuat saringan terhadap waris-waris yang berhak.
Contohnya, kewujudan zuriat kepada si mati sama ada anak lelaki atau anak perempuan akan menyebabkan pasangan si mati tidak memperolehi faraid Martabat wanita dalam perundangan faraid diangkat dengan penentuan pecahan yang tetap disebabkan berhubung dengan si mati atas hubungan nasab keluarga atau perkahwinan yang banyak.
Dalam kes individu A yang meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu isteri sahaja, maka isteri tersebut layak mendapat 1/4 daripada harta pusaka.
Namun jika individu A tadi mempunyai anak lelaki atau anak perempuan, maka bahagian isteri tersebut akan berkurang kepada 1/8 sahaja.
Dalam hal ini, anak perempuan diberi hak sama seperti anak lelaki untuk mendinding waris lain daripada memperolehi bahagian yang banyak atau menolak terus waris yang kurang keutamaan haknya.
MAJORITI DALAM WARIS ASHAB AL-FURUD
Dalam hierarki agihan harta pusaka Islam, waris ashab al-furud merupakan penerima faraid utama yang perlu disenaraikan apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga muslim. Waris ashab al-furud ialah ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Mereka terdiri daripada 12 orang waris (Jadual 1).

Apa yang menarik, wanita merupakan waris yang paling dominan dalam senarai waris ashab al-furud. Martabat wanita dalam perundangan faraid diangkat dengan penentuan pecahan yang tetap disebabkan berhubung dengan si mati atas hubungan nasab keluarga atau perkahwinan.
Isteri merupakan waris yang dijamin untuk mendapat harta pusaka suaminya yang meninggal dunia atas hubungan perkahwinan.
Sementara tujuh orang yang lain merupakan wanita yang mempunyai hubungan nasab keluarga dengan si mati iaitu anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu) ke bawah, ibu, nenek yang sah, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa dan saudara perempuan seibu.
Kesemua lapan wanita tersebut ditentukan bahagian faraid mengikut situasi masing-masing dan layak mendapat harta pusaka selagi tidak dihalangi oleh waris yang lebih kuat.
Dalam beberapa situasi pengiraan, wanita mendapat bahagian faraid melebihi waris lelaki yang wujud dalam kes tersebut. Sekali lagi martabat wanita diraikan dalam Islam yang menunjukkan bahawa tidak semua situasi wanita mendapat bahagian yang sedikit dalam faraid. Sekadar menyebut tiga kes untuk pemahaman bersama seperti dalam Jadual 2.
Dalam ketiga-tiga kes ini, waris wanita yang diwakili oleh anak perempuan memperolehi bahagian faraid yang banyak berbanding waris-waris lelaki yang wujud dalam kes tersebut.
Anak perempuan dalam kes pertama memperolehi 1/2 (menyamai 6/12) daripada si mati iaitu ibunya yang meninggal dunia. Bahagian ini merupakan nilaian yang banyak berbanding waris lain dalam kes tersebut iaitu suami dan bapa.
Dalam kes kedua pula, anak perempuan memperolehi sebanyak 1/2 (menyamai 2/4) iaitu bahagian yang banyak berbanding suami dan saudara lelaki seibu sebapa.
Anak-anak perempuan dalam kes ketiga juga memperolehi bahagian yang banyak berbanding bapa si mati iaitu berpangkat datuk kepada mereka.
Ibu dalam kes ketiga memperolehi bahagian yang sama dengan bapa iaitu sebanyak 1/6 sahaja. Ini menunjukkan wanita juga mempunyai hak sama rata dengan waris lelaki yang lain.
PENEGASAN
Bangkitlah wahai wanita untuk mengetahui hak dalam faraid dan mendepani cabaran urus harta keluarga seiring dengan tema sambutan hari wanita iaitu ‘Wanita bangkit mendepani cabaran’.
Ketahuilah bahagian faraid masing-masing kerana wanita juga layak dan berhak tentang peraturan wahyu yang dimartabatkan dalam Islam. Tangan yang lembut menghayun buaian juga mampu menjadi kuat untuk menggoyang dunia dengan ilmu dan kebijaksanaan.
Beruntunglah ibu bapa yang mempunyai anak perempuan yang membuka laluan mereka ke syurga jika diasuh dengan didikan yang baik. Berbahagialah setiap suami yang memiliki isteri solehah yang menjadi pelengkap sebahagian agamanya.
Bersyukurlah setiap anak yang mempunyai ibu kerana ada “syurga di telapak kakinya”. Demikianlah antara tiga wanita yang dijamin hak mereka dalam faraid.
- Zahari Mahad Musa adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










