Fahami zakat perniagaan - Utusan Malaysia

Fahami zakat perniagaan

PENIAGA Muslim yang cukup syarat wajib menunaikan zakat perniagaan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perniagaan adalah harta yang sudah dikenakan zakat sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Ada tujuh harta zakat pada zaman nabi, iaitu emas, perak, mata wang, pertanian, penternakan, galian dan perniagaan.

Dalilnya, Samurah bin Jundub menyatakan: Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan kami untuk mengeluarkan sedekah (zakat) daripada apa yang kami persiapkan untuk diperniagakan. (riwayat Abu Daud)

Zakat perniagaan merujuk kepada sejenis zakat yang dikenakan kepada perniagaan yang dijalankan oleh orang Islam, sama ada persendirian, perkongsian, syarikat dan koperasi.

Perniagaan juga boleh jadi dari jenis perkhidmatan atau penghasilan produk. Pendek kata, semua jenis perniagaan wajib dizakatkan jika sudah menepati syarat-syarat wajib yang ditetapkan oleh syarak.

Syarat-syarat wajib zakat perniagaan ada lapan, iaitu:
a) Islam
b) Merdeka
c) Sempurna milik ke atas perniagaan
d) Mencapai nisab
e) Mencapai haul
f) Barangan itu diniatkan untuk perniagaan
g) Perniagaan itu mestilah mematuhi hukum syarak
i) Harta mempunyai sifat an-nama’ (berkembang)

Bagi mengira zakat perniagaan, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah mencipta sejenis formula mudah seperti berikut:

[(Tunai (ditangan dan bank) + Inventori + Kreditor)] – [(Perbelanjaan terakru + Debtor + Cukai semasa)] = Baki jika mencapai atau melebihi nisab x 2.5% = zakat.

Nota: Tunai ialah modal atau keuntungan. Inventori ialah stok barangan. Kreditor ialah hutang perniagaan yang akan diperolehi. Bayaran terakru merujuk kepada liabiliti semasa perniagaan seperti bayaran utiliti, gaji, sewa dan sebagainya.

Debtor ialah hutang perniagaan yang perlu dibayar kepada pihak lain. Cukai semasa ialah semua cukai perniagaan yang wajib dibayar kepada kerajaan dan ia termasuk perbelanjaan dalam perniagaan.

Bagi orang Islam yang menjalankan perniagaan berkongsi dengan bukan muslim, maka zakat dikenakan kepada pemilikan muslim sahaja. Jadi, setelah dikirakan zakatnya hendaklah didarab dengan peratusan pemilikan muslim.

Formula: Jumlah harta perniagaan wajib zakat x Peratusan milikan muslim x 2.5 peratus = zakat.

Walau bagaimanapun, bagi perniagaan berskala kecil seperti warung di tepi jalan atau berbentuk bermusim seperti musim raya, musim buah dan sebagainya, maka ia lebih sesuai dengan kaedah mengambil untung setelah menolak kos (Profit and Lost).

Formulanya: Keuntungan kasar – kos ditanggung = Hasil bersih jika mencapai atau melebihi nisab x 2.5 peratus = zakat.

Ada orang yang enggan mengeluarkan zakat perniagaan dengan alasan dia mengalami kerugian. Sebenarnya, di dalam taksiran perniagaan, ia tidak melihat kepada keuntungan semata-mata.

Sebaliknya, ia melihat kepada jumlah keseluruhan harta perniagaan yang dimiliki, iaitu modal dan stok barangan yang sudah siap. Jika jumlah keseluruhannya masih mencapai atau melebihi nisab, maka ia masih wajib dizakatkan.

Haul zakat perniagaan pula ditentukan dengan melihat kepada tarikh permulaan perniagaan berkenaan. Misalnya, jika perniagaan bermula pada 1 April 2020, maka pada 1 April 2021 sudah cukuplah haul perniagaan. Maka ketika itulah dilihat adakah perniagaan berkenaan sudah mempunyai cukup nisab untuk dizakatkan ataupun tidak.

Namun begitu, bagi tujuan perakaunan maka bolehlah dibuat satu tarikh tertentu untuk tujuan pembayaran zakatnya, misalnya di awal atau di akhir tahun.

Dalam perniagaan juga, memang wujud aset lapuk yang tidak lagi mampu terjual setelah bertahun-tahun disimpan sehingga ketinggalan zaman. Misalnya dalam perniagaan hartanah (rumah misalnya).

Maka, aset lapuk itu boleh dikeluarkan daripada stok semasa mengira zakat perniagaan. Ia hanya diambil kira (dicampurkan) apabila terjual pada tahun berkenaan sahaja.

Bagi mereka yang menjalankan perniagaan dan pada masa yang sama mengambil gaji daripada perniagaan itu, maka di sisi mereka ada dua jenis zakat yang wajib ditunaikan.

Pertama, zakat atas pendapatan yang diterima, keduanya, zakat ke atas entiti perniagaannya. Tidak memadai hanya mengeluarkan zakat ke atas perniagaan, kerana gajinya adalah harta yang berbeza dengan harta perniagaannya.

PENIAGA EMAS

Sementara itu, bagi mereka yang membuka kedai emas, maka stok ke atas emas dikira bagi semua emas sama ada yang sudah menjadi emas perhiasan mahu pun emas yang belum menjadi perhiasan, iaitu emas mentah atau emas yang rosak. Ini kerana, emas adalah sejenis harta yang tetap mempunyai nilai biar pun dalam bentuk mentah atau rosak.

Namun begitu, ia tidak sama dengan perniagaan selain emas. Misalnya kilang baju. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan seperti itu, maka stok dagangan hanya diambil kepada barang-barang yang sudah jadi, iaitu barangan yang sudah boleh ditukar kepada wang.

Maka, hanya baju yang sudah siap diambil kira semasa pengiraan zakat perniagaan. Adapun bahan mentah kepada pakaian, seperti benang, jarum dan kain tidak diambil kira.

Selain itu, bagi perniagaan yang haram, sama ada transaksinya haram ataupun perkhidmatan dan barangannya adalah haram, ia tidak boleh dizakatkan.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: Barang siapa yang mengumpulkan harta dari cara yang haram kemudian ia bersedekah (berzakat) darinya, maka ia tidak mendapatkan pahala apa pun, bahkan ia tetap menanggung dosa dari harta haram tersebut. (riwayat Imam al-Baihaqi, al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Sebarang bentuk perniagaan haram tidak wajib dizakat

Bagi seseorang peniaga muslim, maka pihak kerajaan membenarkan mereka memperolehi potongan ke atas cukai perniagaan yang ditunaikan.

Namun ia tidak bersifat seperti rebat zakat individu ke atas cukai pendapatan individu. Hanya potongan maksimum 2.5 peratus daripada pendapatan agregat perniagaan sahaja dibenarkan.

Maka, mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan atau bersaiz sederhana kecil yang tidak dikenakan cukai ke atas perniagaan, selalunya membuat bayaran zakat atas nama individu untuk mendapatkan rebat cukai pendapatan sepenuhnya. Sila rujuk Akta Cukai Pendapatan 1967, Perkara 6A (3) yang mengizinkan rebat sepenuhnya bagi cukai individu.

Selalunya, apabila sesebuah syarikat ataupun koperasi mengambil inisiatif untuk membayar zakat perniagaan bagi syarikat atau koperasi, maka itu bermakna zakat ke atas seluruh harta perniagaan termasuklah modal yang disumbangkan oleh pemegang saham sudah ditunaikan zakatnya.

Maka, para pemegang saham dalam syarikat tidak perlu lagi mengeluarkan zakat atas jumlah saham yang mereka miliki, kerana ia sudah pun dizakatkan.

Namun bagi saham di bursa sedikit berbeza, kerana hanya mereka yang memiliki pelaburan terbesar sahaja sudah dizakatkan oleh pihak syarikat perniagaan. Wallahua’lam.

  • Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di [email protected].
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×