Silaturahim adik-beradik dalam faraid - Utusan Malaysia

Silaturahim adik-beradik dalam faraid

Hubungan silaturahim sesama adik-beradik tidak akan putus walaupun selepas berlaku kematian dan keharmonian hubungan kekeluargaan itu perlu sentiasa dipelihara . – GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peribahasa ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’ adalah suatu perihal yang sering dikaitkan dalam hubungan kekeluargaan terutama melibatkan adik-beradik. Frasa tersebut bermaksud perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik semula.

Ini menunjukkan hubungan silaturahim adik-beradik perlu dipelihara kerana setiap perbalahan yang berlaku tidak mungkin berpanjangan antara mereka. Kata-kata simbolik di alam Melayu ini merupakan suatu manifestasi hubungan kerabat yang perlu dijaga.

Ia seiring dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa’: 1)

Ayat tersebut yang menjadi permulaan surah al-Nisa’ ini memberi gambaran kepada manusia sejagat untuk bersikap waspada dan berhati-hati dalam tanggungjawab yang diperintahkan bagi mendepani cabaran kehidupan di dunia.

Ini kerana kadangkala manusia menjadi tidak bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan seperti amanah silaturahim antara ahli keluarga.

Maka tidak hairanlah seruan untuk bertakwa dimulakan sebagai peringatan untuk menanggung amanah yang ada dalam setiap perincian hukum yang terdapat dalam surah al-Nisa’.

Seruan takwa pada permulaan surah ini juga merupakan salah satu gaya penyampaian al-Quran yang unik iaitu hanya berlaku di pangkal dalam dua surah sahaja iaitu surah al-Nisa’ dan surah al-Hajj.

Apa yang menarik lagi, ayat ini sangat signifikan kepada surah yang menceritakan perincian hukum agihan faraid iaitu ayat 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisa’.

Justeru itu, berhati-hatilah dengan saudara-mara dan kerabat kerana hubungan renggang sesama mereka juga berkemungkinan boleh terjadi yang berpunca disebabkan perbalahan tentang harta pusaka.

Hubungan adik-beradik dengan pensyariatan faraid tidak dapat dipisahkan. Hakikatnya, apabila salah seorang adik-beradik meninggal dunia, maka hubungan silaturahim masih berkekalan melalui peruntukan faraid yang telah ditetapkan dalam Islam.

Bahkan huraian tentang hukum faraid melibatkan adik-beradik bersifat terperinci sehingga dibezakan status antara adik-beradik kandung, adik-beradik sebapa dan adik-beradik seibu. Masing-masing dibezakan melihat kepada hubungan susur galur antara mereka dengan si mati melalui ibu bapa yang sama, bapa yang sama atau ibu yang sama.

PERBEZAAN STATUS

Seperti yang diketahui adik-beradik merujuk kepada hubungan antara sesama saudara iaitu saudara si mati yang setaraf, sama ada lelaki atau perempuan, yang menjadi anak kepada ibu bapa yang sama, atau hanya bersamaan bapa ataupun hanya bersamaan ibu.

Dalam konteks pembahagian harta pusaka, adik-beradik merujuk kepada ‘saudara hakiki’, dalam kategori ‘waris sisi’ atau dikenali juga sebagai hawasyi.

Waris sisi akan mendapat harta pusaka apabila si mati tidak meninggalkan waris utama, atau waris sisi tidak terdinding dengan waris terdekat yang wujud.

Ulama sepakat bahawa adik-beradik akan terhalang dengan adanya anak lelaki, cucu lelaki atau bapa kepada si mati.

Sebagai contoh, si mati meninggalkan waris iaitu seorang anak lelaki, seorang saudara lelaki kandung, seorang saudara lelaki sebapa dan seorang saudara lelaki seibu. Maka penyelesaian bagi kes si mati tersebut ialah semua harta pusaka diberikan kepada anak lelaki tersebut.

Tiga orang saudara lelaki kepada si mati tidak berhak mendapat faraid kerana didinding oleh anak lelaki yang wujud.

Penentuan status waris faraid yang melibatkan adik-beradik (Rajah 1) perlu dikenal pasti terlebih dahulu sama ada mereka termasuk dalam kategori waris ashab al-furud atau ‘asabah.

Jika mereka dikategorikan sebagai waris ashab al-furud, maka mereka ditentukan bahagian-bahagian tertentu melalui pecahan-pecahan faraid.

Jika mereka ditentukan sebagai waris ‘asabah, maka mereka layak untuk mendapat baki daripada harta pusaka.

 

RAJAH 1

ADIK-BERADIK KANDUNG

Hubungan adik-beradik kandung ialah berasaskan ibu dan bapa yang sama dan dikenali juga saudara kandung sama ada lelaki atau perempuan.

Saudara lelaki seibu sebapa akan mewarisi secara ‘asabah sekiranya waris utama iaitu anak lelaki dan bapa, dan waris pengganti cucu lelaki dan datuk tiada atau meninggal dunia terlebih dahulu.

Ini kerana anak lelaki, cucu lelaki dan bapa berkuasa mendinding saudara lelaki seibu sebapa.

Saudara perempuan kandung pula mendapat faraid dalam dua bentuk iaitu sebagai waris ashab al-furud atau ‘asabah. Jika menjadi waris ashab al-furud sahaja, saudara perempuan kandung layak mendapat satu perdua (1/2) atau dua pertiga (2/3).

Satu perdua diberi apabila si mati iaitu saudaranya meninggal dunia dan meninggalkan seorang saudara perempuan seibu sebapa sahaja dan tidak wujud saudara lelaki seibu sebapa yang akan mengubah kedudukannya kepada ‘asabah atau tidak ada keturunan perempuan.

Saudara perempuan kandung layak mendapat dua pertiga si mati meninggalkan lebih daripada seorang saudara perempuan seibu sebapa dan tiada saudara lelaki seibu sebapa yang akan mengubah kedudukannya kepada ‘asabah dan juga tidak dihijab.

Saudara perempuan mendapat faraid secara ‘asabah (lebihan) melalui dua pendekatan yang dikenali dengan ‘asabah bi al-ghayr (lebihan dengan yang lain) dan ‘asabah ma’a al-ghayr (lebihan bersama yang lain).

Pendekatan ‘asabah bi al-ghayr diperolehi apabila si mati meninggal dunia dan meninggalkan saudara perempuan kandung dan saudara lelaki kandung.

Mereka akan berkongsi harta pusaka dengan pembahagian seorang lelaki bersamaan dua bahagian perempuan. Adapun ‘asabah ma’a al-ghayr diperoleh saudara perempuan kandung apabila si mati meninggalkan keturunan perempuan sama ada anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki.

ADIK-BERADIK SEBAPA

Hubungan adik-beradik sebapa ialah mereka yang bersamaan bapa tetapi berlainan ibu sama ada saudara lelaki sebapa atau saudara perempuan sebapa. Saudara lelaki sebapa akan menggantikan saudara lelaki kandung, dengan mengambil ‘asabah.

Ini bermakna saudara lelaki sebapa tidak mendapat faraid dengan kewujudan saudara lelaki seibu sebapa disamping faktor lain iaitu wujudnya bapa, keturunan lelaki ke bawah dan saudara perempuan kandung yang mendapat secara ‘asabah ma’a al-ghayr bersama anak-cucu perempuan.

Bagi saudara perempuan sebapa, terdapat tiga pecahan yang melayakkan untuk mendapat faraid mengikut syarat tertentu iaitu satu perdua (1/2), dua pertiga (2/3) atau satu perenam (1/6). Satu perdua diperolehi ketika bilangan saudara perempuan sebapa seorang sahaja, tiada sesiapa yang menghalang dan tidak wujud saudara lelaki sebapa yang akan mengubah kedudukannya kepada ‘asabah dan tiada saudara perempuan seibu sebapa.

Sementara syarat saudara perempuan sebapa mendapat dua pertiga ialah terdapat dua orang saudara perempuan sebapa atau lebih, dan tiada bersamanya anak lelaki atau anak perempuan, bapa, saudara lelaki atau perempuan kandung, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki, saudara lelaki sebapa atau datuk sebelah bapa.

Bahagian satu perenam diperolehi ketika bersama dengan seorang saudara perempuan kandung kerana mencukupkan dua pertiga yang merupakan hak saudara perempuan kandung.

Seperti saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa juga layak mendapat faraid secara ‘asabah melalui dua pendekatan sebelum ini. Jika si mati meninggalkan saudara lelaki sebapa dan saudara perempuan sebapa, maka keduanya layak mendapat pusaka secara ‘asabah bi al-ghayr (lebihan dengan yang lain) iaitu berkongsi harta pusaka dengan pembahagian seorang lelaki bersamaan dua bahagian perempuan.

Pewarisan secara ‘asabah ma’a al-ghayr (lebihan bersama yang lain) akan diberikan kepada saudara perempuan sebapa apabila si mati meninggalkan keturunan perempuan sama ada anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki dengan syarat tiada yang menghalangnya.

ADIK-BERADIK SEIBU

Hubungan antara saudara lelaki atau perempuan seibu ialah berasaskan ibu yang sama. Bahagian mereka lebih mudah kerana saudara seibu sama ada lelaki atau perempuan merupakan waris ashab al-furud iaitu yang mewarisi secara bahagian atau pecahan tetap (fardu) sahaja.

Kedua-dua waris ini mewarisi secara sama banyak antara lelaki dan perempuan, iaitu mewarisi sebanyak satu perenam (1/6) jika bersendirian dan satu pertiga (1/3) jika bilangan mereka lebih daripada seorang.

KERETA mewah antara yang menjadi harta rebutan dalam kes-kes faraid. – GAMBAR HIASAN

 

PENEGASAN

Dalam era teknologi komunikasi hari ini, hubungan silaturahim antara adik-beradik seharusnya makin rapat.

Konflik perbalahan mungkin terjadi, tetapi tidak perlu berpanjangan kerana semua berhubung susur galur keluarga dengan ibu bapa yang sama atau salah seorang daripada mereka.

Tiada guna memiliki peranti pintar tetapi tidak pintar menjaga keharmonian keluarga yang ada. Dengan adik-beradik sepatutnya tidak berkira demi mencapai susur galur yang terpelihara.

Sikap timbang rasa perlu diutamakan antara adik-beradik kerana peranan dalam keluarga juga berbeza. Kadangkala terdapat adik-beradik yang menjaga ibu atau bapa hingga keduanya bertemu ajal yang tidak dapat dilakukan oleh saudara-saudara yang lain.

Mereka yang tinggal bersama ibu dan bapa untuk menjaga kedua-duanya juga tidak sama dengan adik-beradik yang tinggal berjauhan dan hanya menjenguk secara berkala. Maka berlaku ihsanlah kepada mereka dengan sokongan keprihatinan dan kewangan.

Jangan sampai perbalahan menuntut harta pusaka menjadi punca kepada putusnya hubungan silaturahim kerana Rasulullah SAW bersabda: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, bab ithm al-qati’, no 5984).

*  Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×