Polemik jangka hayat Nabi Khidir - Utusan Malaysia

Polemik jangka hayat Nabi Khidir

NABI Khidir yang dikatakan dikurniakan ilmu ladunni manakala Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah Nabi Khidir a.s telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Kisah ini adalah sebuah kisah yang menggambarkan beliau telah mendapat ilmu langsung dari Allah SWT. Ini diambil berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. (al-Kahfi: 65).

Ulama juga mentafsirkan maksud ayat “ilmu; dari sisi Kami” ialah ilmu ladunni. Imam al-Ghazali (w. 505H/1111M) di dalam al-Risalah al-Ladunniyyah menjelaskan, ilmu ladunni ialah ilham iaitu ilmu yang Allah anugerahkan kepada mana-mana hamba-Nya yang terpilih tanpa perantara.

Ia diibaratkan seperti cahaya yang diletakkan di dalam hati yang bersih. Ia berada di bawah martabat ilmu wahyu yang hanya didapatkan oleh para nabi dan rasul-Nya. Secara kesimpulannya, Imam al-Ghazali menjelaskan wahyu adalah perhiasan para nabi a.s, sedangkan ilham adalah perhiasan para wali.

Imam al-Ghazali menjelaskan lagi, ilmu wahyu adalah khusus bagi para nabi dan rasul-Nya dan ia sudah tertutup dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan ilmu ladunni pula ada pada para nabi dan juga para wali Allah.

Ia masih mengalir dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang terpilih dalam kalangan kekasih Allah. Inilah ilmu yang Allah SWT firmankan di dalam Surah al-Kahfi yang diberikan kepada Nabi Khidir a.s.

Berdasarkan Surah al-Kahfi ini, jelas kepada kita bahawa tokoh yang dikhabarkan oleh Allah SWT itu adalah Nabi Khidir a.s dan beliau benar-benar wujud. Beliau bukanlah cerita dongeng secara ijmak para ulama.

Ada pun tentang status kenabian Khidir a.s maka pendapat yang sahih: Khidir a.s adalah seorang nabi. Menurut ulama hadis terkenal dari Maghribi; Sheikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1993M), dalil yang menunjukkan kenabian Nabi Khidir a.s sekurang-kurangan ada enam.

Salah satu yang terkuat adalah firman Allah SWT: Lalu mereka dapat seorang dari hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami” (al-Kahfi: 65) Ayat rahmat dari Kami bererti kenabian.

Ini sama dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zulkifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. Dan Kami masukkan mereka dalam rahmat Kami. (al-Anbiya’: 85-86).

Walau bagaimanapun, ada perbezaan pendapat ulama tentang apakah Nabi Khidir masih hidup pada hari ini. Menurut Imam al-Nawawi (w. 676H/1277M): “Kebanyakan ulama berkata: Nabi Khidir a.s masih hidup dan wujud di antara kita. Ini adalah perkara yang disepakati oleh ulama tasauf, orang soleh dan ahli makrifat.

“Kisah-kisah pertemuan, mengambil ilmu dan soal-jawab dengan Nabi Khidir dari mereka banyak sekali” (Sharh Sahih Muslim: 15/135)

Menurut bacaan penulis, sekurang-kurangnya ada 190 riwayat, kisah atau nukilan dari pelbagai sumber kitab sejarah dan manaqib yang menceritakan pertemuan Nabi Khidir dengan para sahabat r.a, tabiin, tabi tabien dan lain-lain ulama terkenal.

Ia seperti yang dicatatkan oleh pentahkik kitab Ithmid al-Ayn karangan Sheikh Abdullah al-Ghumari r.h. Ulama lain termasuk Ibn al-Solah, al-Suyuthi, Ibn Atha’iLlah, Ibn Hajar al-Haytami dan lain-lain lagi.

Di satu sisi, ada ulama yang berpendapat bahawa Nabi Khidir a.s sudah wafat. Ia juga disokong kuat oleh beberapa sarjana hadis.

Bahkan ada segelintir orang berpendapat kisah-kisah pertemuan ulama dengan Nabi Khidir adalah dongeng. Ini walaupun diriwayatkan oleh ulama-ulama besar dan diakui kesarjanaan mereka dalam ilmu periwayatan hadis seperti Imam al-Nawawi dan Imam al-Suyuhi.

Kalau dilihat daripada sekian pendapat, sebenarnya status hidup atau tidak Nabi Khidir ini adalah perkara yang masuk di dalam perbahasan khilafiyyah yang sepatutnya setiap sarjana menghormati kaedah ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Ini kerana apa pun hujah yang digunakan, semuanya menerima untuk ditafsir dengan berbagai tafsiran sesuai dengan metodologi masing-masing.

Lebih menarik, ulama terkenal yang selalu dijadikan sumber oleh sarjana yang menolak Nabi Khidir masih hidup iaitu Sheikh Ibn Taymiyyah (w. 728H/1328M) pernah berfatwa bahawa Nabi Khidir masih hidup.

Walaupun beliau dianggap memiliki dua pendapat dalam isu ini, ia tetap tidak menafikan fatwa beliau seperti berikut: “Ditanya: Apakah Khidir hidup sampai sekarang? Beliau (Ibn Taymiyyah r.h) menjawab: Ada pun hidupnya Khidir maka beliau hidup”. (Majmu’ al-Fatawa: 4/338)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H/1449M) di dalam kitab al-Ishabah (2:330) meriwayatkan sebuah athar yang sahih tentang karamah pertemuan Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (w. 101H/720M) dengan Nabi Khidir. Ia adalah bukti Nabi Khidir masih hidup setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW dengan sanad yang sahih.

Apapun, ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah memasukkan pengalaman rohani seperti ini adalah bahagian daripada perkara yang mencarik adat dan mungkin terjadi.

Batasan menolak dakwaan pertemuan seseorang dengan Nabi Khidir hanya boleh ditolak secara pasti ketika ia berisi membatalkan perkara yang pasti di dalam agama seperti menghalalkan yang diharamkan secara ijmak.

Contohnya, kalau ada si polan mendakwa dia sudah tidak lagi berkewajipan melakukan solat fardu lima waktu kerana dikhabarkan oleh Nabi Khidir bahawa dia sudah terangkat daripada beban hukum syariat; maka jelaslah si polan ini pendusta lagi boleh gugur imannya. Allahu a’lam!

  • PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Felo Kehormat IKIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN