Kompleks Falak Al-Khawarizmi bukan sekadar lihat anak bulan - Utusan Malaysia

Kompleks Falak Al-Khawarizmi bukan sekadar lihat anak bulan

Seorang pengunjung mencuba 'Virtual Reality' (VR) yang terdapat di Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMPLEKS Falak Al-Khawarizmi yang terletak di Tanjung Bidara, Masjid Tanah dibangunkan kerajaan negeri Melaka sejak 2002 kini sudah berusia hampir 20 tahun. Ia terkenal sebagai salah satu lokasi mencerap hilal di negara ini.

Malah, bukan sekadar untuk melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa dan hari raya semata-mata, kompleks yang diletakkan di bawah Jabatan Mufti Melaka itu sebenarnya tempat yang bermanfaat untuk orang ramai mendalami ilmu astronomi mengenai jasad cakerawala.

Umum mengetahui, kompleks itu sebenarnya menyediakan pelbagai kemudahan menarik seperti balai cerap, pusat latihan, lawatan galeri interaktif, galeri astronomi Islam, galeri sistem suria dan bilik kuliah serta aktiviti pelancongan.

Bagi menarik minat dan seiring perkembangan semasa, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut berkongsi kepakaran membangunkan Galeri Falak berkonsep interaktif pertama dalam negara.

Konsep itu mampu menarik pelancong dan mesra pengguna dengan hanya memerlukan telefon pintar untuk mengakses aplikasi yang disediakan di Galeri Falak dengan menggunakan Augmented Reality (AR), Visual Reality (VR) dan hologram.

Apa yang menarik, Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan lokasi terbaik untuk mempelajari ilmu falak bagi mengkaji asal usul, pergerakan dan sifat objek samawi serta alam semesta selain pengunjung dapat juga mendalami ilmu falak syarie di situ.

“Ilmu falak syarie mengkaji dalam ruang lingkup sama tetapi mempunyai matlamat yang akhirnya mengesakan tuhan pencipta alam, melihat kebesarannya serta mempunyai kaitan rapat dengan amal ibadat umat Islam,” ujar Pegawai Sains Balai Cerap, Nor Nazmi Razalim.

AMALAN IMKANUR RUYKYAH CERAP HILAL

Selain cerapan hilal, pengunjung turut berpeluang melihat cerapan matahari waktu siang dan melihat cerapan langit waktu malam, sekali gus memperlihatkan kebesaran Allah SWT.

“Kaedah mencerap hilal dilakukan sebagai amalan sunnah Rasulullah SAW dan Malaysia mengamalkan imkanur rukyah atau rukyah dan hisab bagi penentuan awal bulan Islam, cara yang sama juga digunakan bagi tujuan penyusunan kalendar Islam.

“Contohnya, meskipun tarikh bermula awal Ramadan dan 1 Syawal telah dicatatkan dalam kebanyakan kalendar tahun Masihi serta hijrah, namun cerapan hilal adalah kaedah yang pernah digunakan Nabi SAW dan ia adalah sunnah nabi dengan cara rukyah mencerap hilal,” kata Nor Nazmi.

Jelas beliau, mencerap hilal mempunyai hikmah membentuk akhlak mulia dan membangunkan manusia supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.

Katanya, menerusi pemerhatian dan kajian, mencerap hilal memberi inisiatif untuk lebih mengenal tuhan yang mencipta alam ini yang mana seruan kepada mengenal tuhan bermula dengan arahan memberi perhatian dan merenung kepada alam semesta.

“Ilmu falak selari dengan pendidikan Islam yang berasaskan kepada mengenal tuhan, alam dan mengenal diri selain berkait rapat dengan ibadat dan kehidupan manusia.

“Ibadat yang dilaksanakan dalam batas tertentu ditentukan melalui fenomena alam cakerawala seperti pergerakan bulan, bumi dan matahari. Lebih menarik objek-objek yang dilihat ketika mencerap hilal secara tidak langsung dapat menyaksikan kebesaran Allah SWT yang mencipta dan mengatur perjalanan alam,” katanya.

 

KOMPLEKS Falak Al-Khawarizmi yang menempatkan Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka.

MENDEKATKAN SAINS ANGKASA

Ujar Nor Nazmi, lawatan ke balai cerap adalah salah satu usaha mendekatkan sains angkasa kepada masyarakat. Ia supaya bidang itu tidak dianggap asing dan mampu menarik minat golongan muda untuk meneroka dan bertambah minat terhadap pelajaran sains.

Kompleks itu sentiasa mengalu-alukan kedatangan orang ramai dan membenarkan pelawat merasai pengalaman sebenar berada dalam balai cerap.

“Sudah pasti ia akan menjadi pengalaman manis bagi penggemar ilmu falak dan astronomi kerana dapat melihat serta menambah ilmu pengetahuan mengenai planet, bintang, bulan matahari dan sebagainya.

“Sejak kompleks ini dibina ia juga sering menjadi rujukan balai cerap negeri lain bagi mengembangkan ilmu falak dan astronomi,” katanya.

Malah, Kompleks Falak Al-Khawarizmi juga sering menjadi lokasi untuk kem mahupun kursus sama ada pelajar sekolah ataupun agensi kerajaan dan swasta.

Sementara itu, Pengurus kompleks tersebut, Norazmi Hussin berkata, fasiliti lengkap termasuk penginapan yang selesa dan tempat yang lapang tersedia di lokasi ilmu astronomi dan falak itu yang sering menjadi tumpuan sebelum Covid-19.

Katanya, antara kelebihan kepada peserta adalah walaupun sibuk berkursus namun pada masa sama mereka dapat merasai dan menambah pengetahuan dalam bidang astronomi selain melihat cerapan langit, matahari serta bulan.

“Peluang seperti ini jarang terdapat di tempat lain biarpun objektif mereka datang untuk mengikuti kursus syarikat dan sebagainya, tetapi ada pengisian lain yang mereka boleh lakukan di sini untuk berkongsi ilmu yang mereka dapat.

“Kursus atau kem astronomi melibatkan pelajar sekolah turut dianjurkan sebelum ini kerana bidang itu berkaitan dengan sains dan agama. Selain itu, tempat ini juga dihidupkan dengan aktiviti pelajar-pelajar tahfiz Pulau Besar yang dipindahkan ke sini,” ujarnya.

KEPAKARAN TEKNOLOGI MAKLUMAT UTeM

Kewujudan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Melaka mampu membantu agensi berkaitan menggunakan kepakaran teknologi maklumat dan teknikal secara bersama dalam memartabatkan pendidikan ilmu falak di Malaysia, kata Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim.

Beliau berkata, UTeM komited untuk berkongsi kepakaran yang dimiliki mereka demi kepentingan dan pembangunan bersama dalam merentas disiplin ilmu.

Katanya, UTeM berkongsi kepakaran dengan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memartabatkan pendidikan ilmu falak syarie sekali gus berjaya menaik taraf Galeri Falak dan Teleskop Robotik di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara.

“Kejayaan ini telah dilaksanakan oleh sekumpulan tenaga pakar dari UTeM menerusi Jawatankuasa Teknikal Falak UTeM di bawah Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) bersama Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).

“Kejayaan ini sekali gus menjadikan Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan satu-satunya Kompleks Falak di Malaysia yang menggunakan konsep media interaktif dalam memberikan pendidikan falak kepada pengunjung,” ujarnya.

Dr. Raha Abdul Rahim (dua kanan) melawat Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi di Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×