Rezeki Allah itu luas di muka bumi - Utusan Malaysia

Rezeki Allah itu luas di muka bumi

DR. ZAKIR Naik antara pendakwah yang berjaya melunakkan hati orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam melalui sesi dialog perbandingan agamanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya memeluk Islam pada Ogos 2005 dan 2006/07 saya bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah majalah hiburan berbahasa Cina.

Tugas saya sebagai eksekutif jualan adalah mencari pengiklan untuk mengiklankan produk dan servis mereka di dalam majalah tersebut. Majoriti pelanggan saya adalah syarikat arak terkemuka antarabangsa.

Suatu hari, seorang rakan sekerja yang juga eksekutif jualan bertanya kepada saya, “Eh bro, you sebagai muslim boleh jual iklan arak meh?” lalu saya menjawab, “Eh! kenapa tak boleh pula. Bukannya aku minum. Minum je haram ma!”

Tersentap saya pada waktu itu tetapi dalam benak hati saya berkata: “Dia ni cakap begitu supaya aku blah dan dia boleh take over customer dan ambil komisen aku. Banyak cantik muka”.

Namun Allah jentik hati saya. Dan persoalannya tadi menyebabkan saya kurang selesa. Saya belum belajar agama lagi setakat tahu solat lima waktu, berpuasa dan bayar zakat.

Saya sengaja solat asar di sebuah masjid di Kepong dan selepas solat saya bertanya kepada Imam: “Ustaz, saya ni mualaf baru masuk Islam setahun dua. Bolehkah saya terlibat dalam sebuah majalah yang ada iklan arak dan pelanggan saya majoritinya adalah syarikat arak. Tapi saya tak minum la ustaz.”

Imam itu menjawab, “Alhamdulilah anda saudara baharu. Dalam Islam ada 10 golongan yang dilaknat kerana arak. Yang memerah, yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.”(Hadis Jami’ at-Tirmidzi: 1295).

“Apapun, Firdaus tak perlu berhenti lagi tetapi cari kerja lain yang halal, tiada syubhat dulu barulah berhenti. Walaupun mungkin gajinya kurang dari apa yang Firdaus dapat, yang penting rezeki itu halal, berkat dan jauh dari syubhat”.

Apakah saya berpuas hati? Haha.. Tidak. Sebagai mualaf yang masih belum belajar banyak tentang Islam lagi. Saya pergi bertanya lagi kepada imam di masjid lain. ‘Fatwa Shopping’ la katakan.

DITAWAR NAIK GAJI JIKA KEKAL

Namun saya kecewa. Saya pergi kepada dua imam di dua masjid menemui jawapan dan nasihat yang hampir sama. Esoknya saya berjumpa dengan bos saya, Andrew dan saya memberitahu kepadanya dalam dialek Kantonis: “Andrew, saya nak berhenti”.

Kenyataan saya itu mengejutkan Andrew lalu dia bertanya, “Kenapa? Gaji tak cukup ke? Tak apa saya naikkan gaji lagi”.

Waktu tu riak wajah saya kerana dah berbulan saya minta naik gaji tetapi tak dapat tetapi bila saya kata nak berhenti terus kata nak naikkan gaji saya. Tetapi saya memberitahu kepadanya: “Bukan pasal gaji Andrew. Tetapi kerana saya dah memeluk Islam dan sebagai Muslim saya bukan sahaja tak boleh minum arak tetapi tak boleh terlibat dengan arak hatta tolong iklan pun”.

REAKSI ANDREW?

“Ohhh. Itu macam senang nak settle. You tak banyak handle customer arak lo. You handle customer yang halal sahaja la. Ok?” Saya jawab;

“Errr. Andrew, masalahnya S*****e penuh dengan iklan arak dan klien arak antara penyumbang terbanyak kepada pendapatan S*****e. Takkan Andrew tak mahu terima lagi iklan arak kerana nak saya terus kerja untuk Andrew?”

Kali ini Andrew akur tetapi saya memintanya membenarkan saya terus bekerja sehingga saya dapat kerja lain dan Alhamdulilah beliau izinkan. Ini bukan keputusan yang senang kerana waktu itu isteri saya sarat mengandung anak pertama dan saya ada keluarga, rumah sewa dan kereta serta menanti kelahiran anak sulung.

Kurang seminggu, alhamdulilah Allah bukakan jalan. Saya dapat tawaran kerja di syarikat majalah yang menganjurkan Malaysia Career & Training Fair setiap tahun di sebuah pusat beli-belah dengan tawaran gaji yang lebih baik.

Inilah janji yang disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (at-Talaq:2-3)

Saya memeluk Islam kerana yakin kebenaran Islam dan dada terasa lapang selepas membuat keputusan keluar daripada syubhat. Saya tidak sanggup bersekongkol dengan syarikat arak.

Saya bertanya kepada diri saya, bagaimana kerana asbab iklan dari klien saya, saudara seagama saya meminumnya? Mungkin ahli keluarga saya tidak terkesan tetapi bagaimana dengan saudara saya yang lain? Bukankah semua yang beriman itu bersaudara?

Bagaimana saya boleh tutup sebelah mata hanya kerana saya mendapat komisen jualan iklan? Syukur kepada Allah memberi kelapangan kepada saya untuk membuat keputusan yang sukar itu. Alhamdulilah.

Baginda SAW memberi panduan yang cukup jelas berkaitan isu halal, haram dan syubhah dalam sabdanya yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu telah jelas dan yang haram pun telah jelas pula. Sedangkan di antaranya ada perkara syubhat (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahui (hukum)-Nya. Barangsiapa yang menghindari perkara syubhat (samar-samar), maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Barang siapa yang jatuh ke dalam perkara yang samar-samar, maka ia telah jatuh ke dalam perkara yang haram. Seperti penggembala yang berada di dekat pagar larangan (milik orang) dan dikhawatirkan ia akan masuk ke dalamnya. Ketahuilah, bahwa setiap raja memiliki larangan (undang-undang). Ingatlah bahwa larangan Allah adalah apa yang diharamkan-Nya.

Suka saya ingatkan diri saya dan sahabat semua satu peringatan Allah SWT andai kita takut menjadi miskin dan papa kedana apabila meninggalkan suatu pekerjaan kerana syubhah atau haram.

Allah berfirman yang bermaksud; “…dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 28)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×