Sheikh Sya’rawi tokoh tafsir moden - Utusan Malaysia

Sheikh Sya’rawi tokoh tafsir moden

ALLAHYARHAM Sheikh Sya’rawi adalah tokoh ulama tafsir al-Quran yang tiada tolok bandingnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sheikh Muhammad Mutawali Sya’rawi ialah seorang tokoh ilmu tafsir yang mempunyai keunikan tersendiri dalam menafsir al-Quran.

Satu kelebihan yang dikurniakan kepadanya adalah cara pengajarannya mendapat sambutan luar biasa di seluruh negara arab termasuklah Libya, Sudan, Arab Saudi di mana 10 malam terakhir Ramadan, rancangan tafsirnya dalam televisyen mendapat sambutan seluruh masyarakat arab.

Tokoh ini dilahirkan pada 15 April 1911 di satu perkampungan pedalaman Mesir. Mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar. Pada mulanya beliau tidak berminat mendalami ilmu agama.

Ketika ayahnya membuat tawaran untuk menyambung pengajian di Universiti al-Azhar, Sheikh Sya’rawi memberi syarat kepada ayahnya mesti membelikan sejumlah kitab dalam bidang tafsir, ulum al-Quran, lughah, hadis dan lain-lain dengan tujuan melemahkan kehendak ayahnya.

Namun ayahnya seorang yang cerdik dan mengetahui helah anaknya. Beliau membeli semua buku yang diminta oleh anaknya dengan berkata: “Sesungguhnya ayah tahu semua buku tersebut bukan sukatan pengajian untuk kamu di al-Azhar tetapi aku belikan juga untuk kamu kerana mahukan kitab tersebut menjadi bekalan supaya kamu mendapat ilmu”.

Sheikh Sya’rawi menyambung pengajian dalam fakulti bahasa Arab pada 1937. Selepas menamatkan pengajian, beliau berkhidmat sebagai guru di beberapa daerah di Mesir seperti di Tanta, Zaqaziq dan Iskandariah.

Bukan sekadar itu, khidmat ilmunya juga ditagih di Arab Saudi iaitu pada 1950 sebagai pensyarah di Universiti Ummu al-Qura dan juga di Algeria.

Pada tahun 1963 berlaku pertelingkahan Mesir dan Arab Saudi. Ini menjejaskan kontrak tenaga kerja kedua-dua negara. Sejurus pulang ke Mesir, Sheikh Sya’rawi ditugaskan berkhidmat di pejabat Sheikh Azhar yang diterajui oleh Sheikh Hasan Makmun.

Jawatan terakhir beliau ialah Menteri Wakaf Mesir pada November 1976 hingga Oktober 1978. Perkara pertama yang dilakukan semasa memegang jawatan itu ialah menubuhkan Bank Islam di Mesir iaitu Bank Faisal. Cadangan ini diluluskan oleh Parlimen Mesir.

Sheikh Sya’rawi meninggal dunia pada 17 Jun 1998. Antara muridnya yang tersohor ialah Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Katanya: “Pada hari ini telah meninggal dunia guru kami seorang tokoh al-Quran, seorang ahli tafsir yang berkaliber iaitu Imam Sheikh Muhammad Mutawali Sya’rawi.

“Beliau seorang yang alim rabbani, murabbi yang telah menerangi akal, hati dengan iman dan ilmu Islam. Seorang yang menjadi tonggak dakwah dan pembawa bendera hidayah kepada umat ini di zaman moden ini,” katanya.

Sheikh Qaradawi menegaskan, Sheikh Sya’rawi adalah seorang imam yang berjaya ‘dilahirkan’ oleh Universiti al-Azhar. Kesan pengajarannya dalam kehidupan tidak akan dilupakan.

Sesiapa yang mendalami ilmu tafsir pasti akan berjumpa dengan siri pengajaran Sheikh Sya’rawi yang mempunyai keistimewaan dalam memahami al-Quran, mengeluarkan permata al-Quran, pandangannya tentang hakikat I’jaz dengan pancaindera ruhiah yang tidak mampu ditandingi orang lain.

Seperkara yang menarik ialah catatan Sheikh Qaradawi tentang pengajaran Sheikh Sya’rawi dalam subjek balaghah iaitu sastera arab.

Subjek ini antara yang kurang diminati pelajar kerana sukar difahami dek penuh dengan kata-kata pujangga yang menggunakan uslub majaz, isti’arah, kinayah dan lain-lain.

 

KEILMUAN TINGGI

Namun Sheikh Sya’rawi mengajar subjek balaghah dengan keilmuannya yang tinggi dan menghuraikan semua perkara tersebut dalam bahasa yang mudah difahami dan senang dihadam.

Selain itu perkara yang menarik juga ialah kedua-dua tokoh ini berbeza pandangan politik. Sheikh Qaradawi berpihak kepada Ikhwan dan Sheikh Sya’rawi cenderung kepada parti Wafd.

Walaupun begitu Sheikh Qaradawi menyanjung tinggi gurunya dan menghormatinya meskipun beliau pernah dimarahi Sheikh Sya’rawi ketika bertanya satu soalan.

Kemuliaan Syeikh Sya’rawi pula ialah mengetahui kepintaran muridnya Sheikh Qaradawi dalam menjawab soalan peperiksaan dan memberinya markah penuh.

Pada akhir usianya, ketokohan Sheikh Sya’rawi dan sumbangannya dalam ilmu tafsir mendapat pernghargaan kerajaan Dubai. Sheikh Qaradawi turut hadir dan memberi ucapan menghargai keilmuan gurunya dengan memberi ucapan pujian kepada Sheikh Sya’rawi.

Sheikh Qardawi telah memberi nasihat amat penting memuliakan ulama. Beliau berkata: “Dan aku mengherdik kepada umat Islam yang tidak memuliakan ulama sebagaimana yang dilakukan oleh sekularime dan markisme terhadap cerdik pandai mereka. Tetapi kita muliakan ulama kita”.

Semua tafsiran Sheikh Sya’rawi dibukukan sebanyak 24 jilid. Peninggalan yang dikira sebagai saham yang berterusan pahalanya.

KATA-KATA SHEIKH SYA’RAWI YANG DITULARKAN

* Harta adalah sebahagian daripada rezeki tetapi ketahuilah bahawa rezeki amat luas. Ada rezeki kesihatan, rezeki dapat anak, rezeki dapat makanan, rezeki keberkatan dan semua nikmat daripada Allah adalah rezeki bukan hanya duit sahaja.

• Kemanisan yang aku rasa bersama al-Quran itulah yang aku mahu kongsi dengan orang ramai.

• Senyum atau senyap. Senyum untuk menyelesaikan masalah dan senyap untuk masalah yang dihadapi berlalu pergi.

• Orang yang mempunyai ayah tidak akan berasa keluh kesah bagaimana dengan orang yang mempunyai Allah.

• Sesungguhnya al-Din adalah kalimah yang mewakili kelakuan yang diamalkan. Apabila ucapan berpisah dengan kelakuan maka dakwah akan lenyap.

• Kemurungan memenuhi hati kita mengikut kadar banyak kekotoran pada mushaf kita.

• Orang yang memberi ingatan kepada kamu tentang solat adalah orang yang amat sayang kepada kamu.

• Jangan beribadah kepada Allah kerana mahukan Dia memberi tetapi ibadahlah kepada Allah untuk reda-Nya kerana jika Dia reda pemberian-Nya amat dahsyat.

• Kita amat biasa dengan nikmat sehingga apabila kita ditanya tentang keadaan kita, kita menjawab tidak ada apa yang baharu. Adakah kita sedar bahawa kesihatan yang baik adalah nikmat yang mencurah-curah.

• Apabila kita tidak mampu membacakan kepada mereka berkaitan Islam maka wajib paling kurang ialah menunjukkan mereka tingkah laku islam.

 

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN