Muzakarah Pakar IKIM perhalusi konsep berfikir tepati al-Quran, sunnah - Utusan Malaysia

Muzakarah Pakar IKIM perhalusi konsep berfikir tepati al-Quran, sunnah

MUZAKARAH PAKAR IKIM YANG DIJALANKAN SECARA DALAM TALIAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENDEFINISI semula konsep berfikir selari dengan al-Quran dan sunnah diperhalusi dalam Muzakarah Pakar On Developing the Islamic Mind oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Ia bertujuan mengorak langkah dalam usaha membuka perencanaan pembangunan pemikiran Islam meliputi konsep, kerangka dan garis panduan berfikir yang menepati al-Quran dan sunnah.

Masyarakat Muslim seluruh dunia menghadapi masalah dan cabaran berpunca daripada kegagalan cara fikir, penguasaan serta penghayatan mesej wahyu. Sehubungan itu, kejayaan, kemajuan dan pembangunan Muslim perlu bermula dengan peningkatan kemampuan menguasai kaedah berfikir dan menterjemahkan nas sebagai panduan hidup secara realistik.

Hasil muzakarah pakar ini, satu gagasan pembangunan pemikiran Islam telah dibentangkan dengan cetusan dan perincian tambahan daripada pakar bidang.

“Bagi membangunkan pemikiran Islam, konsep berfikir perlu terarah terhadap fungsi meningkatkan kemampuan intelektual dan kebijaksanaan selari dengan saranan al-Quran dan sunnah.

“Cabaran pemikiran merupakan cabaran sepanjang zaman yang dirakamkan al-Quran sebagai ingatan dan peringatan agar manusia sentiasa berfikir dan bertindak berdasarkan panduan yang

Allah berikan serta sentiasa berada di landasan dan sempadan yang telah digariskan,” kata IKIM dalam kenyataan baru-baru ini.

Muzakarah itu disertai oleh pakar dan pemikir dari pelbagai latar belakang yang telah lama berkecimpung dan menerokai aspek pemikiran terutamanya daripada perspektif sebenar agama mewakili institusi penyelidikan, pengajian tinggi, pentabdiran dan perubatan yang dilaksanakan secara maya melalui Zoom pada 8 Disember lalu.

Turut serta ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies Malaysia (IAIS), Profesor Datuk Dr. Mohammad Hashim Kamali, Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Prof. Dr. Rosnani Hashim dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi Ismail.

Mengulas lanjut, ajaran Islam menyeru agar berfikir dan melakukan tajdid serta islah dalam kehidupan agar lebih baik daripada sebelum ini.

Namun dalam aspek menerbitkan hukum-hakam fekah, muzakarah berpandangan berfikir dalam konteks ijtihad hanya khusus untuk mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan sebagai mujtahid sahaja dan bukan dibenarkan sewenangnya kepada orang awam yang tiada kelayakan.

Tambahnya, terma-terma sandaran al-Quran berkaitan pemikiran seperti aql, ulin-nuha, hikmah, qalb, lubb, fiqh merupakan saranan dan asas menyarankan agar manusia berijtihad (berfikir) menggunakan akal fikiran dan tidak hanya ikut (taqlid) semata-mata.

“Usaha perlu digerakkan untuk membentuk budaya berfikir dalam kalangan masyarakat Muslim bagi mengelakkan pemikiran daripada terus dikongkong oleh kecenderungan, ideologi atau ikut-ikutan semasa yang merugikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN