Seni adalah jiwa dan jiwa adalah seni. Jiwa yang tidak berseni dan seni yang tidak berjiwa adalah seni yang mati dan jiwa yang mati.’
Itu antara ungkapan sering didengari dalam menggambarkan betapa seni itu ‘hidup’ dan terpancar pada setiap huruf seni khat atau kaligrafi Islam.
Kaligrafi adalah salah satu kesenian unggul dalam Islam. Menghargai Karya agung dari al-Quran untuk kekal utuh dalam sanubari, Muzium Kesenian Islam Malaysia mempelawa orang ramai menyaksikan pameran berasaskan artifak, ‘Pengenalan kepada Kaligrafi Islam’.
Pameran itu bertujuan meningkatkan kecintaan orang ramai terhadap legasi seni ini sekali gus menangani kekurangan pemahaman mengenai sejarah dan tamadun Islam.
Menurut kuratornya, Izuan Fadzli Mohammad, pameran berasaskan artifak ini adalah pameran sementara bertema khas bagi melengkapi 12 galeri tetap di muzium berkenaan. Ia berlangsung sehingga penghujung Disember ini.
“Pengenalan kepada Kaligrafi Islam ini memberikan pencerahan kepada orang ramai berhubung satu lagi elemen penting dalam perkembangan sejarah dunia Islam merangkumi Semenanjung Iberia di barat sehingga ke Asia Tenggara dan seterusnya China di Timur.
“Paling utama kita nak fokus pada seni islam kaligrafi dengan memberikan pengetahuan secara jelas tentang bagaimana sesuatu yang asas (tulisan) berkembang menjadi satu karya seni,” katanya kepada Utusan Malaysia.

HIASAN
Sejak kurun ke-15, seni kaligrafi ini menjadi elemen hiasan bukan sahaja membabitkan keagamaan, tetapi turut melibatkan seni dan kraftangan yang mencerminkan budaya berinspirasikan Islam mengikut peredaran masa.
Gaya-gaya khat utama seperti Kufi, Naskh, Thuluth, Muhaqqaq, Rayhani, Tawqi, Riqa’, Nasta’liq, Diwani dan Maghribi, berkembang dari penulisan manuskrip seperti al-Quran dan kitab keagamaan, menjadi satu elemen hiasan yang menjadi dambaan dunia terutamanya golongan orientalis untuk pelbagai medium seperti kerja kayu, seni pertukangan logam, tekstil, barang kemas, senjata dan sebagainya.
Melalui artifak-artifak dipamerkan, penulis teruja melihat aplikasi seni khat yang dilakukan kepada pelbagai barangan yang tidak disangka akan diukir dengan seni berkenaan. Antaranya barangan kemas seperti gelang tangan, arca dan senjata tradisional.
Sesungguhnya lakaran seni untaian tulisannya begitu menarik bukan sahaja menambahkan keindahan pada sesuatu barangan, malah turut membawa makna positif. Kata-kata semangat, doa dan sebagainya antara menarik tumpuan mata.
Antaranya, fabrik ada yang menampilkan elemen kaligrafi berbentuk kuntuman bunga. Motif itu dipercayai dihasilkan kesan pengaruh Arab ke tanah Melayu sejak kurun ke-16.
Elemen hiasan dalam seni Islam lain ialah tulisan khat, geometri, tumbuh-tumbuhan dan juga perwakilan figura.

BUKAN ISLAM
Pengunjung dapat melihat beberapa artifak yang dihasilkan oleh orang bukan Islam yang mempunyai ciri-ciri kaligrafi Islam yang diukir pada barangan seperti pinggan, pasu dan sebagainya.
Ternyata, kesenian kaligrafi Islam sungguh masyhur pada ketika itu sehingga mendapat permintaan tinggi dalam dunia perdagangan sekali gus menarik minat orang bukan Islam untuk turut serta meraikan tulisan kitab suci itu.
TERADAPTASI MENGIKUT PERUBAHAN
Seni khat adalah khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam dan perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia.
Ia menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keislamannya.
Kesenian ini terus berkembang dan menyerap secara perlahan-lahan ke dalam gaya seni tempatan, sesuai dengan persekitaran dan bahan tempatan. Ia sekali gus terus melebarkan pengaruhnya dan mengagumkan dunia dengan keaslian, keindahan dan kehalusannya
Galeri Dunia Melayu yang terletak di tingkat satu muzium berkenaan menyajikan artifak batik bersurat yang terdiri daripada dua jenis iaitu kaligrafi dan pseudo-kaligrafi.
Batik bersurat kaligrafi dibuat mempunyai makna islamik untuk digunakan pada upacara keagamaan atau keraian manakala pseudo-kaligrafi pula berfokus kepada tujuan perdagangan dan tidak mempunyai sebarang makna kerana permintaan daripada golongan bukan Islam.
“Permintaan yang sangat tinggi dalam industri perdagangan pada ketika itu telah mewujudkan variasi ini agar boleh disesuaikan dengan pelbagai budaya pengguna.
“Ia juga bertujuan menjaga kesucian Islam kerana ayat-ayat al-Quran tidak boleh sewenangnya diletakkan di pelbagai wadah kerana dibimbangi akan dilangkah atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya,” tambah Izuan.
Ketaksuban orang barat terhadap seni Islam lebih jelas terpancar apabila mereka mula menggunakan sendiri seni khat pada barangan walaupun tulisan itu tidak mempunyai makna tertentu kerana sekadar diukir untuk mencantikkan barangan.










