Kebenaran Rasulullah SAW di mata Heraklius (Siri 3)

Kebenaran Rasulullah SAW di mata Heraklius (Siri 3)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Surat yang diutus oleh Rasulullah SAW kepada Heraklius telah menggoncang keimanan sang raja yang sudah mengetahui sebelum ini rasul terakhir bakal diutuskan kepada manusia sebagai penyempurna risalah seluruh para nabi dan rasul sebelum baginda.

Namun, keyakinan ini sangat bergelora dek kerisauan sang raja akan kehilangan takhta dan kedudukannya sebagai penguasa Kerajaan Rom.

Inilah satu contoh hidup yang kadangkala keyakinan dan kepercayaan boleh dikhianati oleh seseorang apabila dunia baginya adalah segala-galanya.

 

Ganjaran pahala dua kali ganda vs beban dosa rakyat
Dalam perutusan warkah bersejarah yang diutuskan kepada Heraklius, Rasulullah SAW turut menawarkan janji kemuliaan sekiranya menerima Islam, di samping memberikan peringatan yang tegas:

Pertama: pahala dua kali ganda : Heraklius dijamin mendapat ganjaran berganda kerana beliau sudah beriman dengan ajaran kebenaran Nabi Isa AS pada asalnya, dan bakal menyambung keimanan tersebut kepada Nabi Muhammad SAW. Selain itu, beliau mendapat pahala kebaikan atas peranannya memimpin rakyat Rom menuju kebenaran.

Kedua: tanggungan dosa golongan arisiyyin : Sekiranya Heraklius berpaling dan menolak dakwah Islam, beliau bakal menanggung dosa seluruh rakyatnya atau pengikutnya (golongan arisiyin-para peladang/rakyat bawahan). Sebagai seorang raja, keputusan beliau menghalang kebenaran akan menyebabkan rakyat di bawah naungannya turut terhalang daripada mendapat hidayah. Warkah berkenaan ditutup dengan petikan ayat al-Quran daripada Surah Ali-Imran ayat 64 yang menyeru ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) supaya kembali kepada kalimah sama, iaitu tidak menyembah melainkan Allah SWT, tidak mempersekutukan-Nya, dan tidak menjadikan sesama manusia sebagai tuhan selain Allah.

 

Hiruk-pikuk di Istana Baitulmaqdis

Sebaik sahaja warkah Rasulullah SAW selesai dibacakan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Rom di hadapan para pembesar empayar, majlis rasmi tersebut tiba-tiba menjadi gempar. Saidina Abu Sufyan menceritakan perisytiharan Heraklius yang kelihatan cenderung mempertahankan kebenaran risalah Islam telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar Kristian Rom.

Suasana istana bertukar kecoh dengan pembesar-pembesar Rom mula meninggikan suara, berdebat dengan nada marah, serta mempertikaikan tindakan Heraklius yang seolah-olah tunduk kepada perutusan seorang Nabi dari Tanah Arab. Melihat keadaan yang semakin tidak terkawal, rombongan pedagang Mekah yang diketuai oleh Saidina Abu Sufyan segera diperintahkan untuk keluar daripada majlis tersebut.

 

Urusan anak lelaki Abu Kabsyah sudah menjadi besar
Saidina Abu Sufyan dan rakan-rakannya keluar dari perkarangan istana diiringi kesedaran baharu yang amat terkesan di jiwa mereka.

Beliau yang ketika itu merupakan musuh utama Islam telah meluahkan satu kenyataan cukup bermakna: “Sesungguhnya telah menjadi besar urusan anak lelaki Abu Kabsyah! Dia kini ditakuti oleh raja orang-orang berkulit kuning (Maharaja Rom).” Penggunaan gelaran ‘anak lelaki Abu Kabsyah’ oleh masyarakat Arab Mekah ketika itu adalah gelaran yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW berasaskan nasab susuan Baginda.

Abu Kabsyah ialah gelaran bagi Saidina al-Harith bin ‘Abdul ‘Uzza yang merupakan suami kepada Saidatina Halimah al-Sa‘diyyah daripada Bani Sa‘d yang merupakan ibu susuan Rasulullah SAW.

Dalam kenyataan tersebut, Saidina Abu Sufyan mengakui satu hakikat politik dan rohani yang besar. Sebelum ini, perseteruan dan penentangan terhadap ajaran Islam hanya dianggap sebagai isu dalaman kabilah Arab Mekah.

Namun apabila kuasa besar dunia seperti empayar Rom, turut menampakkan rasa gentar dan mengiktiraf kebenaran dakwah Baginda, ia menjadi bukti jelas yang Islam bukanlah satu gerakan kecil, sebaliknya risalah sejagat yang bakal menguasai pentas dunia.

 

Nasab susuan, keagungan Baginda

Mengamati sejarah susuan Rasulullah SAW, penulisan hadis ini turut membuka jendela untuk umat Islam mengenali insan-insan mulia di sekeliling Baginda. Selain Saidatina Halimah al-Sa‘diyyah dan suaminya, Rasulullah SAW juga mempunyai adik-beradik susuan yang turut menerima hidayah Islam kemudiannya.

Mereka adalah Saidina Abdullah bin al-Harith, Saidatina al-Shayma’ binti al-Harith dan Saidatina Asiyah binti al-Harith.

Malah, sebelum menyusu dengan Saidatina Halimah, Rasulullah SAW pernah disusukan oleh Tsuwaibah al-Aslamiyyah, bekas hamba perempuan kepada Abu Lahab.

Thuwaibah telah dimerdekakan oleh Abu Lahab pada hari Isnin keputeraan Rasulullah SAW kerana gembira atas kelahiran anak saudaranya, Muhammad SAW.

Disebabkan gembira dengan kelahiran Nabi SAW, ada riwayat dari mimpi ahli Saidina ‘Abbas bin ‘Abdul Muttolib yang azab Abu Lahab diringankan pada setiap hari Isnin.

Hal ini memberikan pengajaran mendalam: jika seorang kafir dan musuh ketat Islam seperti Abu Lahab pun mendapat manfaat atas kegembiraannya terhadap kelahiran Rasulullah SAW, betapa besarnya pula ganjaran dan rahmat Allah SWT buat umat Islam yang sentiasa mencintai, memuliakan dan berselawat ke atas Baginda SAW setiap hari.

Maka, tidak hairanlah apabila al-Hafiz Muhammad bin Nasiruddin al-Dimasyqi yang merupakan guru al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani di dalam kitabnya Mawrid al-Sodi Fi Mawlid al-Hadi saat mengungkapkan kisah keringanan azab Abu Lahab telah berkata:

“Jika si kafir ini telah datang celanya, dan telah celaka kedua-dua tangannya, di dalam neraka kekal sentiasa, Telah datang bahawa dia pada siang Isnin sentiasa diringankan azabnya, dek gembira terhadap Ahmad [dilahir jua], Maka apakah pula sangkaan terhadap seorang hamba, yang seumur hidupnya kerana Ahmad terus bergembira, dan [akhirnya] meninggal dunia dalam tauhid [pada yang Esa]”?

 

Benih hidayah dalam jiwa Abu Sufyan
Peristiwa dialog di istana Heraklius ini menjadi titik perubahan minda yang amat kritikal buat Saidina Abu Sufyan.

Beliau mengakui sejak dari hari kejadian di Baitulmaqdis itu, jiwanya mula dihinggapi perasaan yakin agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW pasti akan zahir dan beroleh kemenangan di atas muka bumi.

Walaupun perseteruan tentera musyrikin Mekah dan umat Islam di Madinah masih berlarutan menerusi beberapa siri konflik selepas itu, keyakinan tersirat yang ditanam menerusi jawapan Heraklius kekal terpahat di dalam hati Abu Sufyan.

Kepercayaan ini akhirnya memandu beliau untuk melepaskan segala keangkuhan sehingga Allah SWT membukakan pintu hatinya untuk memeluk Islam secara tulus ikhlas pada malam sebelum pembukaan Kota Mekah.

Beliau akhirnya melafazkan syahadah di hadapan Rasulullah SAW, di khemah Baginda yang kini ditandai dengan pembinaan sebuah masjid yang diberi nama Masjid al-Fath.

Ia terletak di Marruz Zohron atau kini di wilayah al-Jumum, Mekah al-Mukarramah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×