Bagi sesetengah orang perubahan kerjaya yang drastik sering dianggap sebagai satu langkah berisiko dan penuh ketidakpastian.
Terutama sekali apabila ia melibatkan peralihan daripada laluan stabil kepada bidang yang sama sekali berbeza daripada latar belakang asal.
Namun bagi Syed Shahrizal Syed Othman, keberanian menukar haluan hidup menjadi permulaan berjaya dalam perniagaan dan bidang kreatif.
Katanya, minat terhadap perniagaan timbul apabila dia menceburi bisnes kecil-kecilan dari rumah dengan menghasilkan kek sewaktu pandemik Covid-19 bermula.
“Pada waktu itulah perniagaan berkembang dengan sangat pesat selain saya turut memperoleh lesen penghantaran makanan dan menerima tempahan yang tidak putus-putus sehingga awal pagi.
“Pengalaman itu membuka mata saya yang dunia perniagaan mampu menjadi sumber rezeki yang lebih stabil jika diusahakan sepenuh hati,” katanya.

Beralih bidang
Dia terlebih dahulu membina kerjaya dalam bidang kejuruteraan mekanikal sebelum melangkah ke dunia penerbangan sebagai kru kabin.
Hampir 16 tahun dalam dunia itu dia tidak pernah terfikir untuk berhenti kerana percaya itulah kerjaya yang akan diceburinya hingga bersara.
Baginya, meninggalkan dunia penerbangan yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya bukanlah keputusan mudah.
Namun Syed Shahrizal percaya setiap cabaran yang bakal dihadapinya pasti ada jalan penyelesaian jika dia menghadapinya dengan positif dan sabar.
“Berniaga bukan mudah. Kalau kerja makan gaji mungkin lapan jam sahaja tetapi bila berniaga, 24 jam kepala fikir pasal bisnes.
“Yang penting jangan cepat mengalah dan jangan fikir setiap masalah itu penamat,” ujarnya.
Jual kek
Perjalanannya sebagai usahawan tidak bermula dengan belon sebaliknya dia terlebih dahulu membina jenama Kek Wan yang dihasilkan dari rumah secara sambilan.
“Ketika itu saya tidak masuk apa-apa kelas membuat kek. Semuanya saya belajar sendiri menerusi platform Youtube, saya ikut satu per satu langkah yang diajar sehinggalah saya yakin kek yang dihasilkan boleh dijual,” ujarnya.
Walaupun perniagaan kek semakin mendapat sambutan, dia mula menyedari cabaran menguruskan produk yang memerlukan ketelitian tinggi.
Selain mengambil masa panjang, bahan mentah juga turut mudah rosak jika tidak disimpan dengan baik serta setiap tempahan perlu disiapkan dalam tempoh tertentu.
Dalam masa sama, ramai pelanggan mula bertanya sama ada dia turut menyediakan dekorasi belon untuk melengkapkan tempahan kek. Oleh itu, permintaan tersebut telah membuka ruang kepada cabang perniagaan baharu.
“Pada awalnya, saya tawarkan pakej kek bersama dekorasi belon alang-alang saya masih bekerja sebagai kru kabin ketika itu. Jadi, saya ambil peluang untuk dapatkan bekalan belon yang berkualiti dari luar negara
“Namun semakin lama, permintaan terhadap dekorasi belon jauh lebih banyak berbanding tempahan kek saya sehingga memaksa saya untuk mengambil keputusan fokus pada bisnes belon sahaja,” ujarnya.

Anjur kelas
Syed Shahrizal akui pernah menyangka proses mengikat belon sebagai kerja yang mudah dan ringkas namun ia tidak semudah yang disangkakan apabila menerima tempahan besar yang perlu menggunakan ratusan belon helium.
“Saya ingat senang sahaja. Bila cuba buat sendiri, rupanya tidak semudah disangka. Masa itu saya sedar kalau mahu serius, saya perlu berguru,” katanya.
Sejak itu, dia aktif mengikuti pelbagai kelas profesional bagi meningkatkan kemahiran.
Malah sehingga kini, dia masih menghadiri kelas untuk mempelajari teknik dan trend baharu.
Satu daripada identiti yang melonjakkan namanya ialah penghasilan bunga belon tiga dimensi yang kelihatan lebih semula jadi berbanding rekaan biasa.
Sentuhan itu bukan sahaja mendapat perhatian pelanggan tempatan malah turut menarik minat penggiat industri dari luar negara.
Syed Shahrizal turut membuka kelas di bawah kendaliannya bagi berkongsi ilmu dengan individu atau usahawan yang ini menjadikan dekorasi belon sebagai pendapatan mereka.
“Sekarang ini permintaan untuk mengikuti kelas datang dari pelbagai negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Brazil, Kanada dan Venezuela. Malah saya turut merancang untuk buat kelas fizikal di London dalam masa terdekat,” katanya.
Pencapaian itu membuktikan keberaniannya mengubah haluan kerjaya membuahkan hasil.









