Menjilat bibir punca bibir kering

Menjilat bibir punca bibir kering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai individu yang mengalami masalah bibir kering dan merekah tanpa menyedari tabiat menjilat bibir sebenarnya boleh memburukkan lagi keadaan.

Walaupun tindakan itu sering dilakukan untuk melembapkan bibir yang kering, ia hanya memberi kelegaan sementara sebelum bibir menjadi lebih kering dan mudah merekah.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, masalah bibir kering bukan sahaja berpunca daripada cuaca panas atau sejuk, malah boleh disebabkan oleh tabiat harian, kekurangan nutrien, alahan terhadap produk kosmetik, kesan sampingan ubat-ubatan serta jangkitan tertentu.

Menurutnya, bibir lebih mudah mengalami kekeringan berbanding bahagian kulit lain kerana tidak mempunyai kelenjar minyak atau sebaceous gland yang menghasilkan minyak semula jadi untuk mengekalkan kelembapan.

“Bibir sentiasa terdedah kepada persekitaran luar, sebab itu ia lebih mudah menjadi kering. Selain faktor cuaca, punca yang paling kerap kita lihat di Malaysia ialah tabiat menjilat bibir.

“Ramai menyangka menjilat bibir boleh melembapkannya, sedangkan air liur hanya memberi kesan sementara. Apabila ia tersejat, bibir menjadi lebih kering dan enzim dalam air liur pula boleh merosakkan lapisan pelindung bibir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Punca bibir kering

Menurut Dr. Hamidah, bibir kering bukan sahaja berpunca daripada faktor luaran, malah turut dipengaruhi keadaan dalaman tubuh seperti kekurangan pengambilan air dan nutrien penting.

Kekurangan vitamin B12 dan zink boleh menjejaskan kesihatan bibir, selain penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti ubat selesema dan ubat jerawat yang turut menyebabkan bibir menjadi lebih kering.

Katanya, sesetengah individu juga mengalami keadaan tersebut kerana bernafas melalui mulut ketika tidur akibat resdung, polip hidung atau masalah struktur gigi, sekali gus menyebabkan bibir kehilangan kelembapan secara berterusan.

Alahan terhadap bahan dalam pelembap bibir, gincu atau ubat gigi seperti pewangi dan bahan pengawet juga boleh menyebabkan bibir menjadi sensitif.

“Dalam sesetengah kes, bibir kering juga boleh berpunca daripada jangkitan virus seperti Herpes Simplex Type 1 atau jangkitan kulat yang memerlukan rawatan khusus,” katanya.

Dr. Hamidah berkata, gincu jenis tahan lama atau yang dilabel sebagai smudge-proof dan smudge-resistant mengandungi formulasi yang direka untuk melekat lebih lama pada bibir, namun boleh menarik kelembapan daripada permukaan bibir.

“Jika mahu menggunakan gincu seperti ini, sapukan pelembap bibir terlebih dahulu bagi membantu melindungi lapisan bibir dan mengurangkan risiko kekeringan,” katanya.

Beliau turut menyarankan orang ramai memilih pelembap bibir yang mengandungi bahan humectant seperti asid hyaluronik dan gliserin untuk membantu menarik kelembapan ke dalam kulit.

Pilih produk yang mengandungi emollient seperti ceramide, shea butter dan minyak jojoba kerana ia membantu mengunci kelembapan serta membaiki lapisan pelindung bibir.

Elakkan pelembap bibir yang mengandungi menthol, camphor atau eucalyptus kerana walaupun memberikan rasa sejuk, bahan-bahan tersebut boleh menyebabkan bibir menjadi lebih kering dan merengsa.

Penggunaan skrub bibir

Mengenai amalan skrub bibir, beliau berkata ia boleh diamalkan, namun perlu dilakukan dengan cara yang betul menggunakan bahan yang halus dan tidak terlalu kasar.

“Tidak perlu dilakukan terlalu kerap. Bagi mereka yang kerap memakai gincu, sekali atau dua kali seminggu sudah memadai, manakala individu lain hanya perlu melakukannya beberapa kali dalam sebulan.

“Selepas melakukan skrub, sapukan produk yang mengandungi bahan pemulih seperti ceramide bagi membantu memulihkan lapisan pelindung bibir serta mengembalikan kelembapannya,” jelasnya.

Beliau tidak menggalakkan penggunaan skrub bibir buatan sendiri yang menggunakan garam atau gula dapur sekiranya tahap kebersihannya tidak terjamin, terutama apabila bibir sudah mengalami luka atau jangkitan.

Menurutnya, penggunaan pelembap bibir setiap hari tidak menjadi masalah jika digunakan apabila perlu, namun pengguna tidak seharusnya terlalu bergantung kepada produk tersebut sehingga bibir tidak lagi mampu mengekalkan kelembapan secara semula jadi.

Kesilapan yang sering dilakukan ialah mengopek kulit bibir yang menggelupas dan hanya menambah penggunaan pelembap bibir tanpa mengenal pasti punca sebenar masalah seperti kurang minum air, kekurangan nutrien atau alahan terhadap produk yang digunakan.

Perlu segera jumpa doktor

Individu yang mengalami bibir kering dan merekah perlu mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya keadaan tidak sembuh selepas dua minggu walaupun sudah meningkatkan pengambilan air dan menggunakan pelembap bibir.

“Kalau bibir masih tidak sembuh selepas dua minggu, atau terdapat luka, pendarahan, rekahan di sudut bibir, bengkak, tompok putih, ulser atau rasa pedih ketika makan dan memberus gigi, segera dapatkan pemeriksaan doktor.

“Kita perlu pastikan ia bukan berpunca daripada jangkitan virus seperti Herpes Simplex Type 1, jangkitan kulat atau penyakit lain yang memerlukan rawatan khusus,” katanya.

Ujar Dr. Hamidah, Herpes Simplex Type 1 pada bibir adalah perkara biasa dan tidak semestinya berkaitan dengan penyakit kelamin seperti yang sering disalah tafsir oleh orang ramai.

Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan orang ramai supaya minum air secukupnya, mengamalkan pemakanan seimbang, memilih produk penjagaan bibir yang sesuai serta mengelakkan tabiat menjilat bibir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN