Azammuddeen semai cinta alam guna video pendek

Azammuddeen semai cinta alam guna video pendek

Azamuddeen bukan sekadar mahu menghiburkan, tetapi juga mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesedaran terhadap kepentingan memelihara biodiversiti tempatan turut mendorong lahirnya generasi pendidik alam yang menggunakan platform digital untuk menyampaikan ilmu kepada orang ramai.

Perkara ini membuka ruang kepada kemunculan pendidik digital yang bukan hanya fokus berkongsi maklumat namun mendidik masyarakat secara santai dan berteraskan fakta serta pengalaman di lapangan.

Antara yang tampil dengan pendekatan ini ialah Muhammad Azamuddeen Mohammad Nasir atau lebih dikenali sebagai @AnakUmiSukaHutan.

Katanya, perasaan ingin tahu terhadap sekelilingnya sejak berusia empat tahun akhirnya berkembang menjadi minat yang mendalam terhadap sains.

“Saya suka meneroka kawasan sekitar rumah kampung sewaktu kecil. Dekat bawah rumah kampung ada macam-macam haiwan yang saya cari seperti kala jengking, serangga dan belalang,” katanya.

Azamuddeen mahu mengetengahkan kepelbagaian biodiversiti Malaysia kepada semua masyarakat.

Pengalaman awal itu secara tidak langsung membentuk cara pandangnya terhadap alam semula jadi sekali gus menjadi titik awal kepada minat mendalam yang dibawanya hingga hari ini

Apa yang membezakan kandungannya dengan pencipta lain ialah fokus terhadap spesies tempatan yang jarang diketengahkan.

“Dalam apa jua video yang saya hasilkan, saya mahu ketengahkan ilmu terlebih dahulu sebelum berkongsi. Niat saya bukan sekadar menghiburkan, tetapi mendidik,” katanya.

Azamuddeen berkata, kebanyakan kandungan berkaitan hidupan liar yang mudah ditemui di internet serta lebih tertumpu kepada spesies luar negara.

Keadaan itu membuatkan dia berasa perlu memperkenalkan khazanah biodiversiti Malaysia kepada masyarakat.

“Budak-budak kenal beruang kutub, kanggaru dan armadillo tetapi ramai yang tak kenal beruang matahari atau spesies tempatan kita sendiri,” katanya yang juga pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam Ekologi dan Genetik Ikan Hutan Paya Gambut.

Selain menggunakan bahasa Melayu, setiap video turut diselitkan nama saintifik dan penerangan berasaskan fakta bagi memperkenalkan spesies selain menggalakkan masyarakat berfikir secara saintifik.

Isteri Jadi Pendorong Dunia Kandungan

Walaupun mempunyai pengetahuan luas dalam bidang alam sekitar, Azamuddeen mengakui dirinya seorang yang pemalu dan tidak gemar berada di hadapan kamera.

Katanya, individu yang banyak mendorong dia menceburi media sosial ialah isterinya sendiri yang turut memperkenalkan aplikasi TikTok serta mengajarnya cara merakam, menyunting dan memuat naik video.

“Sejujurnya saya memang tidak minat pada kamera atau gajet namun apabila saya melihat format video pendek di platform tersebut saya rasa ia merupakan medium yang sesuai untuk menyampaikan ilmu secara ringkas dan santai,” ujarnya.

Haiwan Liar Bukan Ancaman Utama

Cabaran sebenar dalam menghasilkan video di hutan atau paya gambut bukanlah terletak pada haiwan liar namun bagi memastikan peralatan elektronik tidak rosak akibat terkena air.

“Saya sudah biasa dengan hutan jadi tidak ada masalah sekiranya bertembung dengan haiwan liar kerana saya sudah mengikuti pelbagai latihan termasuk ikhtiar hidup, pertolongan cemas dan rawatan kecemasan gigitan ular.

“Namun yang saya fikirkan ialah keselamatan kru dan rakan yang mengikuti saya sewaktu masuk ke hutan kerana kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku sewaktu di hutan atau paya gambut oleh itu saya sentiasa berjaga-jaga dan sedia memberikan pertolongan,” katanya.

Dia juga turut menggunakan platform media sosial bagi membetulkan pelbagai mitos yang masih dipercayai masyarakat hari ini.

“Saya pernah jelaskan dalam video yang katak puru tidak boleh menyemburkan atau mengarahkan air kencingnya ke mata manusia seperti yang sering diperkatakan. Apabila haiwan itu membuang air, ia berlaku secara semula jadi dan bukan bertujuan menyerang manusia,” katanya.

Kebanyakan kepercayaan tidak mempunyai asas saintifik serta pelbagai fenomena alam yang sering dikaitkan dengan perkara mistik hakikatnya mempunyai penjelasan biologi yang mudah difahami.

“Saya bukan hendak menafikan kewujudan perkara ghaib namun kita juga perlu memahami alam melalui ilmu pengetahuan juga,” katanya.

Melahirkan Generasi Pencinta Alam

Usaha mendidik masyarakat tidak terhenti di media sosial apabila dia turut menubuhkan Kelab Anak Kita.

Katanya, idea tersebut datang daripada isterinya yang melihat potensi aktiviti penerokaan alam untuk kanak-kanak.

“Program itu memberi peluang kepada peserta mengenali biodiversiti secara langsung melalui aktiviti lapangan.

“Malah, peserta bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa juga turut digalakkan menyertai program ini,” katanya.

Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan malah ada ibu bapa yang sanggup memandu lebih sejam setengah semata-mata untuk menyertai satu sesi penerokaan alam bersama anak-anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN