PETALING JAYA: Restoran Cina Tung Yuen yang terletak di Mardhiyyah Hotel, Shah Alam kembali memperkenalkan promosi All You Can Eat Dim Sum ‘Ho Chiak’ yang ditawarkan kepada pengunjung sejak April lalu.
Menawarkan 35 pilihan menu termasuk hidangan stim, bergoreng dan pencuci mulut, pakej ini memberi peluang kepada penggemar dim sum menikmati pelbagai variasi rasa dalam satu sesi santai bersama keluarga atau rakan-rakan.
Antara menu yang mencuri perhatian adalah Dim Sum Udang Kristal yang tampil dengan kulit lutsinar lembut bersama isi udang yang segar dan padat. Rasanya lebih menyerlah apabila dicicah bersama dua jenis sos istimewa yang disediakan sesuai dengan citarasa tempatan.
Bagi penggemar dim sum goreng, Bebola Otak-Otak Serai Goreng Rangup antara menu yang memberikan kelainan tersendiri menerusi gabungan rasa tempatan dalam gaya hidangan moden.
Sebaik sahaja digigit, bahagian luar bebola ini terasa rangup dan keemasan, sementara tekstur di dalamnya pula lembut dengan isi otak-otak yang padat dan sedikit berjus. Aroma serai yang digunakan turut memberikan haruman wangi yang menaikkan lagi selera tanpa terlalu kuat.
Gabungan rasa pedas ringan, lemak dan sedikit berempah menjadikan dim sum ini lebih menarik untuk dinikmati ketika masih panas. Teksturnya yang rangup di luar tetapi lembut di dalam menjadikan setiap suapan terasa seimbang dan tidak muak.
Satu lagi menu yang sering menjadi pilihan pengunjung ialah Pau Telur Masin Berkrim. Roti bun yang lembut dipadankan dengan inti telur masin berkrim, menghasilkan gabungan rasa lemak dan sedikit masin yang seimbang.
Bagi penggemar hidangan bertekstur rangup, Bebola Ubi Keledek antara pilihan yang menarik untuk dicuba. Bahagian luarnya garing ketika digigit, manakala isi di dalam pula lembut dengan rasa manis yang tidak keterlaluan.
Selain itu, pengunjung turut boleh menikmati pilihan lain seperti Siu Mai Ayam Tradisional, Siu Mai Ayam Lada Hitam, Siu Mai Udang Bunga dan Ladu Telur Masin serta beberapa hidangan istimewa seperti Otak Otak Siew Mai, Lobak Merah Siew Mai dan Pau Mini Sambal Petai yang diinspirasikan daripada cita rasa Malaysia.
Untuk pencuci mulut pula, terdapat lima pilihan disediakan dengan antara yang paling menyegarkan ialah Soya Manis Sejuk dengan Kulat Putih dan Longan yang sesuai dinikmati selepas menikmati hidangan panas dim sum.
Promosi itu ditawarkan pada harga RM59 seorang dan percuma bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun serta dihidangkan setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang.-UTUSAN










