INDUSTRI perhotelan negara masih kekal relevan meskipun berdepan lambakan penginapan alternatif seperti platform tempahan dalam talian terkenal dan inap desa yang semakin berkembang.
Walaupun platform berkenaan menawarkan harga lebih murah dan fleksibiliti, ia turut membawa pelbagai risiko kepada pengguna.
Antara isu utama ialah ketiadaan kawal selia yang jelas terhadap sebahagian pengusaha sehingga menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan, kualiti perkhidmatan dan perlindungan pengguna.
Mengulas mengenai isi ini, Pengarah Urusan Geo Resort & Hotel, Chow Ling Tze berkata, berbeza hotel, ia perlu mematuhi pelbagai peraturan termasuk sijil keselamatan kebakaran, pemeriksaan berkala, latihan kecemasan serta penyediaan pasukan tindak balas kecemasan (ERT).

Katanya, latihan keselamatan seperti latihan kebakaran dan latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) turut menjadi keutamaan dalam operasi hotel bagi memastikan kesiapsiagaan kakitangan menghadapi sebarang kecemasan.
Prosedur ini dilaksanakan secara berkala dan mengikut piawaian ditetapkan, sekali gus membolehkan tindakan pantas serta teratur diambil sekiranya berlaku insiden tidak diingini melibatkan tetamu.
Selain itu, amalan keselamatan dan kebersihan juga sentiasa diperkasa melalui pelbagai latihan serta audit dalaman yang ketat. Ia merangkumi aspek pengendalian makanan, sanitasi ruang, serta pematuhan kepada garis panduan kesihatan awam, yang semuanya bertujuan menjamin kesejahteraan dan keselesaan tetamu sepanjang penginapan mereka.
“Pendekatan menyeluruh ini menjadi antara perbezaan utama antara perkhidmatan hotel dan penginapan sewa kediaman. Hotel beroperasi dengan sistem, latihan profesional serta pemantauan berterusan, manakala penginapan sewa lain lebih bergantung kepada pengurusan individu pemilik, yang mungkin tidak mempunyai tahap latihan keselamatan dan standard operasi yang sama.

“Namun, bagi aplikasi penginapan atau inap desa, tidak semua pengusaha mematuhi perkara ini. Ada yang tidak berlesen, tidak membayar cukai dan beroperasi tanpa garis panduan jelas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, situasi itu mewujudkan persaingan tidak seimbang kepada industri hotel yang terikat dengan pelbagai keperluan pematuhan undang-undang.
Malah, pengguna juga berdepan risiko ditipu termasuk tempahan dibatalkan pada saat akhir, lokasi atau kemudahan tidak seperti diiklankan serta kegagalan menghubungi pemilik premis.
“Saya sendiri pernah berdepan pengalaman buruk ketika menginap di Geneva melalui aplikasi tempahan penginapan itu apabila tempahan tidak dapat digunakan kerana pemilik gagal dihubungi,” katanya.
Keselesaan jadi taruhan utama di Geo Resort & Hotel
Dalam masa sama, Ling Tze menegaskan, hotel menawarkan jaminan pengalaman lebih selamat dan menyeluruh kepada pengunjung. Ia sesuatu yang sukar ditandingi penginapan tidak berlesen.
Di Geo Resort & Hotel, katanya, setiap aspek direka berasaskan pengalaman sebenar sebagai tetamu hotel.

“Antara keistimewaan utama ialah tilam dan bantal yang ditempah khas (custom-made) sebagai ‘signature’ hotel kami. Ramai pelanggan beri maklum balas ia setanding hotel lima bintang,” katanya.
Selain itu, sistem tekanan air mandian turut menjadi kelebihan tersendiri apabila direka dengan tiga saluran paip bagi memastikan aliran air sentiasa stabil dan kuat.
Di banyak hotel lain, tekanan air tidak konsisten kerana hanya menggunakan satu saluran. Di sini, walau bila-bila masa mandi, tekanan air kekal sama. Ini pengalaman kecil tetapi sangat penting kepada tetamu,” katanya.
Tambah beliau, reka bentuk hotel berinspirasikan konsep kolonial yang bersifat ‘evergreen’ turut memberi identiti tersendiri selain kekal relevan merentas masa.
Konsep kolonial ini lebih klasik dan tahan lama. Ia memberi suasana elegan serta selesa kepada pengunjung berbanding reka bentuk terlalu futuristik.
Strategi kekal berdaya saing
Mengulas cabaran industri, Ling Tze mengakui segmen hotel bajet paling terkesan akibat persaingan dengan inap desa yang menawarkan harga jauh lebih rendah tanpa perlu menanggung kos pematuhan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkenalkan garis panduan asas yang lebih ketat bagi mengawal selia operasi inap desa.

“Ia tidak boleh dibiarkan terlalu bebas. Perlu ada garis panduan supaya aspek keselamatan, cukai dan kapasiti penginapan dapat dikawal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin industri perhotelan akan terus bertahan dengan pendekatan strategik termasuk mempelbagaikan perkhidmatan.
Katanya, hotel kini tidak boleh lagi bergantung kepada jualan bilik semata-mata, sebaliknya perlu menawarkan kemudahan tambahan seperti bilik mesyuarat, pakej acara serta restoran halal.
“Di hotel kami, kemudahan seperti bilik mesyuarat dan restoran menjadi sumber penting untuk kelangsungan operasi,” ujarnya.
Lokasi strategik, suasana eksklusif
Selain itu, lokasi Geo Resort & Hotel yang tidak terlalu jauh dari Kuala Lumpur serta persekitaran nyaman di tanah tinggi menjadi daya penarik utama.
“Cuaca sejuk, suasana tenang dan tidak sesak memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung. Kawasan ini juga semakin berkembang dengan pelbagai kemudahan,” katanya.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, Chow berkata, kejayaan dalam industri itu banyak didorong oleh sikap tidak takut mencuba dan belajar daripada kesilapan.
“Tiada yang mustahil. Kita perlu berani mencuba dan belajar daripada kesilapan. Dari situlah kita jadi lebih baik,” katanya.
Daripada akauntan ke hotelier
Bermula tanpa latar belakang dalam industri perhotelan, Ling Tze kini muncul sebagai antara usahawan wanita yang berjaya mengemudi operasi hotel bertaraf empat bintang melalui gabungan disiplin kewangan, pengalaman operasi dan kepimpinan berasaskan teladan.
Ia berdasarkan lebih dua dekad pengalaman merentas bidang peruncitan, pembangunan perniagaan dan hospitaliti.
Beliau memulakan kerjaya pada 1998 sebagai pengurus kedai di sebuah syarikat jenama pakaian terkenal sebelum mengembangkan pengalaman dalam operasi runcit dan pengurusan pelanggan, seterusnya terlibat dalam pembangunan dua jenama serantau.
Walaupun memiliki Ijazah Perakaunan, Chow tidak meneruskan kerjaya sebagai akauntan secara formal. Namun, latar belakang akademik itu menjadi asas penting dalam membentuk pendekatan pengurusan beliau, khususnya dalam kawalan kos dan optimum keuntungan.
Minat lama jadi realiti
Minat terhadap bidang hospitaliti sebenarnya telah lama berputik, malah beliau pernah bercita-cita melanjutkan pengajian dalam pengurusan hospitaliti di Switzerland. Namun, kekangan kewangan ketika itu mendorongnya memilih laluan perakaunan.
Takdir kemudian menemukan beliau dengan industri tersebut apabila suaminya, Leong, membangunkan hotel pertama mereka di Kuala Lumpur, sekali gus membuka ruang untuk beliau menceburi bidang pengurusan hospitaliti.
Bermula dengan pengurusan operasi harian hotel tersebut bersama ahli keluarga, pengalaman itu menjadi titik tolak penting sebelum hotel berkenaan dijual pada 2018.
“Daripada situlah saya belajar banyak perkara, termasuk kesilapan yang akhirnya menjadi panduan untuk projek seterusnya,” katanya.
Bangunkan hotel beridentiti sendiri
Berbekalkan pengalaman tersebut, pasangan itu kemudian membangunkan Geo Resort & Hotel yang menawarkan kemudahan lebih lengkap termasuk bilik mesyuarat dan dewan besar.
Jika suaminya mengetuai aspek reka bentuk, struktur dan konsep pembangunan, Chow pula memikul tanggungjawab penuh dalam pengurusan operasi merangkumi standard perkhidmatan, tadbir urus kewangan, prestasi pasukan dan pengalaman pelanggan.
Pendekatan beliau berteraskan keseimbangan antara kecemerlangan perkhidmatan, kecekapan kos dan pertumbuhan mampan.

Antara strategi utama yang diamalkan termasuk memberi fokus kepada pengalaman pelanggan, memperkukuh disiplin kewangan, membentuk pasukan kerja pelbagai kemahiran serta mempelbagaikan sumber pendapatan melalui penganjuran acara dan tempahan korporat.
Kepimpinan berasaskan teladan
Dalam aspek kepimpinan, Ling Tze percaya penglibatan secara langsung adalah kunci untuk membina kepercayaan dan kesetiaan dalam kalangan kakitangan.
“Sebagai ketua, kita perlu turun padang, tunjuk contoh dan sentiasa belajar. Dari situlah kita dapat hormat daripada pasukan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembelajaran berterusan termasuk menilai amalan terbaik hotel antarabangsa dengan mengalaminya sendiri sebagai tetamu sebelum menyesuaikannya dengan operasi hotel miliknya.
Pendekatan itu membolehkan beliau memperhalusi setiap aspek perkhidmatan daripada susun atur bilik hingga kepada aliran operasi bagi memastikan pengalaman pelanggan sentiasa berada pada tahap optimum.










