Bersatu tempuh saat sukar

Bersatu tempuh saat sukar

ISRAEL melancarkan serangan udara dengan menyasarkan sebuah bangunan di Beirut, Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Letak ke tepi dahulu meriam perang dan pena tajam dalam medan politik negara. Pakai satu baju rasmi bercorak bendera Malaysia untuk sama-sama berganding bahu membawa bahtera minyak Malaysia menempuh selat Hormuz yang dipenuhi periuk api berbahaya berikutan perang cetusan si bodoh dari Amerika dan Israel.”

Sehingga hari ini, perang yang dijana kerakusan, kebodohan serta keangkuhan dua individu perosak dunia, Donald Trump dan Benjamin Nentanyahu masih berterusan di Asia Barat. Angkara mereka berdua telah meninggalkan kesan mendalam ke segenap pelusuk dunia. Ini sebabnya Nabi Musa AS pernah merayu kepada Allah agar angkara sesetengah manusia bodoh tidak memangsakan orang lain. Firman Allah:

Dan Nabi Musa memilih 70 orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa (kerana perbuatan biadab dan bodoh mereka mahu melihat Allah secara fizikal), Nabi Musa merayu dengan berkata:

“Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersamaku sebelum ini. Adakah engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaan-Mu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun (Al-A’raf 7:155).
Kisah apa di sebalik ayat ini? Gunung Tur dilanda gempa berikutan gelagat dan permintaan bodoh 70 orang pengikut Nabi Musa AS mahu melihat Allah setelah mereka tahu Nabi Musa akan menerima kitab Tawrat di sana.

Sambaran api perang ini sudah menelan ramai korban insan tidak bersalah serta mengubah landskap Timur Tengah dengan gelojak geopolitik yang tidak menentu.

Berikutan penutupan Selat Hormuz, banyak negara dunia menerima kesan negatif akibat daripada kenaikan harga minyak dunia. Malaysia tidak terkecuali dalam krisis tenaga ini. Cuma kedudukan Malaysia lebih stabil berbanding negara jiran lain.

Hal ini diakui Rajiv Batra, seorang penganalisis ekonomi dunia yang juga mewakili JP Morgan, sebuah syarikat antarabangsa yang menawarkan berbagai khidmat kewangan serta perbankan.

Rajiv memberi pandangan selain China dan Malaysia, negara-negara Asia lain terdedah kepada kesan ekonomi kerana kejutan masalah tenaga dunia.”

Benar! Dunia sekarang sedang mengalami detik sukar berikutan perang ini. Di Filipina, Presidennya, Ferdinand R. Marcos Jr. mengisytiharkan darurat tenaga. Banyak stesyen minyak ditutup.

Tambah menarik, senator Robi Padilla mendesak kerajaan Filipina agar mengaktifkan semula tuntutun terhadap Sabah yang kaya dengan minyak.

Perkara sama turut berlaku di Negara ASEAN yang lain seperti Thailand dan Indonesia. Indonesia sendiri sedang keresahan berikutan keenganan Iran memberi laluan selamat kepada kapal Tangki mereka di Selat Hormuz. Keenganan Iran itu dipercayai akibat tindakan Indonesia yang menyertai Lembaga Keamanan di Gaza tajaan Donald Trump.

Berbeza dengan Malaysia, Iran menjamin laluan selamat kepada kapal tangki Malaysia untuk melalui Selat Hormuz kerana beranggapan Malaysia ialah negara ‘berjiwa sejuk’ dalam polisi antarabangsanya dan dianggap teman rapat Iran sejak sekian lama.

Tidak boleh dinafikan, kestabilan ini berkait rapat dengan kebijaksanaan para pemimpin kita bermain politik di pentas dunia tanpa mengira dalam kem mana mereka bernaung. Perdana Menteri serta pemimpin pembangkang sama-sama punyai peranan tersendiri dalam hubungan antarabangsa melibatkan Malaysia dan Iran.

Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abdul Hadi Awang memang sedia harum dalam dunia Islam sehingga Iran sedia ‘memberi muka’ kepada Malaysia. Situasi ini wajib disyukuri oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kem politik mana mereka berdaftar.

Dalam konteks padang politik Malaysia, penyokong semua parti yang terlibat dalam liga politik negara perlu bijak beraksi.
Ada masa kita menendang bola ke arah gol lawan, ada masa kita berhenti rehat untuk memberi laluan kepada penaja liga mengurus stadium yang mungkin terdedah kepada kerosakan dan isu penyelengaraan.

Jika perlu, semua peserta liga dan para penyokongnya bangun bersama memastikan stadium kekal selamat serta kondusif. Itulah analogi kepada sebuah pengurusan negara. Penting untuk kita melihat Malaysia dalam kaca mata burung yang lebih besar. Jauhi sikap suka membangkang apa sahaja yang datang dari pihak lawan walaupun isu yang dibangkang langsung tidak relevan.

Membangkang sebarang keputusan kerajaan yang dilihat tidak mampan atau tidak adil, sangat diperlukan sebagai suatu proses semak imbang yang baik. Pun begitu, jangan pula menjadi kaki bangkang yang tidak habis alasan membangkang walaupun inisiatif kerajaan sudah mengambil kira maslahah semua pihak.

Inilah masanya umat Islam Malaysia tanpa mengira kem politik mempraktikkan sikap bantu membantu demi kebaikan semua sebagaimana firman Allah:

Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haram itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong bantu membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong bantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah

Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)(al-Ma’idah 5:2).

Ayat ini diturunkan sejurus perjanjian Hudayabiah. Asalnya pada tahun ke 6 Hijri, Rasulullah SAW dengan rombongan sahabat mahu masuk menunaikan umrah di Mekah. Malangnya mereka dihalang Musyrikin Mekah sehingga termeterai perjanjian Hudaybiah.

Antara isi perjanjiannya, mereka hanya dibenarkan masuk ke Mekah pada tahun 7 Hijri. Dalam perjalanan pulang ke Madinah, rombongan sahabat yang sedang sedih, kecewa dan luka hati dek terhalang masuk ke Mekah terserempak dengan sekumpulan Jemaah Musyrikin luar yang mahu ke Mekah.

Lantas ada segelintir sahabat berhasrat menghalang rombongan tersebut sebagai sasaran pelepas geram. Berikutan itu, Allah menurunkan ayat di atas (Tafsir Ibn Kathir).

Inilah sikap Islam yang adil. Jangan zalimi orang lain kerana kita pernah dizalimi. Allah juga menuntut agar orang beriman bertolong bantu melakukan kebaikan.

Dalam konteks krisis tenaga global ini, semua rakyat Malaysia perlu melancarkan genjatan senjata politik buat seketika. Sokong inisiatif kerajaan yang cuba mengawal impak negatif akibat perang ini.

Jika perlu menegur, pastikan salurannya betul dan bukan hanya melepas geram kepada pihak yang berbeza bendera politik sahaja.

Ayuh kita sama-sama berdoa agar Malaysia boleh menempoh krisis perang ini dengan jaya dan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang karam atau luka terkena impaknya.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN