Akil baligh awal tanda gangguan hormon pada kanak-kanak

Akil baligh awal tanda gangguan hormon pada kanak-kanak

PERTUMbuhan kanak-kanak yang terlalu cepat perlu dipantau kerana ia boleh menjadi tanda masalah hormon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peningkatan ketinggian atau berat badan yang ketara dalam kalangan kanak-kanak sering dianggap sebagai petanda positif oleh ibu bapa.

Mereka biasanya mengaitkannya dengan kesihatan yang baik dan tumbesaran normal kanak-kanak.

Namun, pertumbuhan yang terlalu cepat sebenarnya memerlukan pemantauan, kerana ia boleh menjadi tanda awal masalah hormon atau kesihatan lain.

Pakar pediatrik, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, tumbesaran terlalu cepat dalam kalangan kanak-kanak merujuk kepada peningkatan berat badan dan ketinggian yang berlebihan serta berlaku secara mendadak.

“Keadaan ini dapat dikenal pasti melalui carta tumbesaran apabila berlaku lonjakan ketara yang melepasi garisan peratusan (percentile). Sebagai contoh, seorang kanak-kanak mungkin berada pada tahap 50 peratus bagi ketinggian pada usia tiga tahun, namun meningkat kepada 90 peratus pada usia empat tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tidak semestinya masalah hormon

Menurut Dr. Yong Junina, pertumbuhan tinggi atau saiz badan yang mendadak tidak semestinya berpunca daripada masalah hormon.

Pengambilan nutrisi berlebihan juga boleh menyebabkan tumbesaran terlalu cepat, terutamanya jika kalori harian anak melebihi keperluan tubuh.

Selain itu, beberapa keadaan perubatan tertentu turut boleh mempengaruhi tumbesaran.

Sebagai contoh, Prader-Willi syndrome boleh menyebabkan berat badan berlebihan, manakala Marfan syndrome dikaitkan dengan ketinggian yang melebihi biasa.

Dari sudut hormon, antara yang mempengaruhi tumbesaran ialah hormon pertumbuhan, estrogen dan testosteron.

Hormon pertumbuhan dirembeskan oleh kelenjar pituitari di dalam otak dan terdapat pada kanak-kanak lelaki serta perempuan.

Estrogen pula terdapat pada kanak-kanak perempuan, manakala testosteron pada kanak-kanak lelaki.

Punca hormon berlebihan

Punca utama hormon berlebihan yang boleh menyebabkan tumbesaran cepat termasuk ketumbuhan atau tumor pada bahagian otak yang menghasilkan hormon pertumbuhan.

Selain itu, hormon yang merangsang kelenjar seperti ovari dan testis untuk mengeluarkan estrogen atau testosteron juga boleh menyumbang kepada pertumbuhan yang pesat.

Ibu bapa boleh membezakan tumbesaran normal dan tidak normal dengan merujuk kepada carta tumbesaran.

“Kadar tumbesaran yang normal biasanya mengikuti graf peratusan (percentile) secara konsisten, manakala tumbesaran tidak normal ditandai dengan lonjakan mendadak yang melepasi garisan lebih tinggi pada carta tersebut,” jelasnya.

Tanda awal

Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan berat badan atau ketinggian secara mendadak, serta kemunculan tanda akil baligh seperti pembesaran payudara.

Perubahan fizikal lain juga boleh menjadi petunjuk, termasuk jari yang panjang dan tirus, keanjalan anggota badan yang berlebihan (hyperextensibility), serta lelangit mulut yang tinggi.

Akil baligh awal turut diakui sebagai satu daripada petunjuk gangguan hormon.

Tumbesaran kanak-kanak biasanya dipantau semasa lawatan imunisasi dan sekiranya terdapat sesuatu yang tidak normal, ia akan dikesan dan diperiksa dengan lebih lanjut.

Ibu bapa disarankan membawa anak berjumpa doktor sekiranya mendapati perubahan mendadak pada berat atau ketinggian bagi mendapatkan kepastian dan rawatan awal jika perlu.

Faktor genetik

Faktor genetik turut memainkan peranan penting dalam tumbesaran kanak-kanak.

Ibu bapa yang tinggi cenderung mempunyai anak yang tinggi, namun kadar pertumbuhan biasanya masih berada dalam julat normal.

Bagi menilai sama ada tumbesaran masih dalam julat normal, doktor akan merujuk carta tumbesaran dan memplotkan ukuran berat serta tinggi.

Graf “growth velocity” turut digunakan untuk mengira kadar peningkatan ketinggian.

Masalah hormon biasanya dikenal pasti melalui ujian darah, yang mungkin perlu dilakukan pada waktu tertentu dan diambil beberapa kali untuk melihat julat bacaan terendah dan tertinggi, kerana hormon seperti hormon pertumbuhan dan kortisol mempunyai nilai normal yang berubah mengikut masa.

Sekiranya dikesan awal, masalah hormon berlebihan boleh dirawat atau dikawal.

Namun, kesan jangka panjang bergantung kepada punca. Contohnya, ketumbuhan pada kelenjar pituitari boleh membesar, menyebabkan tekanan dalam otak dan menjejaskan penglihatan.

Dari segi emosi, kanak-kanak yang jauh lebih tinggi atau berat berbanding rakan sebaya mungkin berasa tertekan kerana kelihatan berbeza, malah berisiko diejek oleh rakan, saudara-mara atau jiran, sekali gus menjejaskan keyakinan diri.

Dalam sesetengah kes, tumbesaran terlalu cepat boleh menyebabkan kanak-kanak berhenti membesar lebih awal kerana hormon estrogen atau testosteron mempercepatkan penutupan plat pertumbuhan tulang, menjadikan ketinggian akhir lebih rendah berbanding rakan sebaya.

Rawatan dan pemantauan

Rawatan bagi kanak-kanak yang mengalami tumbesaran terlalu cepat bergantung kepada punca yang dikenal pasti.

Jika melibatkan ketumbuhan, rawatan akan diberikan untuk mengawal atau menghapuskan ketumbuhan tersebut.

Pemakanan juga penting kerana pengambilan kalori berlebihan boleh menyumbang kepada peningkatan berat dan ketinggian, terutama bagi kanak-kanak bawah dua tahun.

Kanak-kanak disarankan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala setiap tahun bagi memastikan tumbesaran normal.

“Sekiranya ibu bapa berasa risau, mereka digalakkan mendapatkan pemeriksaan doktor. Jika tiada masalah, tidak perlu bimbang, namun jika terdapat isu kesihatan, ia boleh ditangani pada peringkat awal,” katanya.

Dr. Yong Junina menegaskan ibu bapa perlu peka terhadap perubahan anak seperti pakaian cepat menjadi kecil, perubahan fizikal dan emosi terlalu awal, pertumbuhan rambut di ketiak atau kemaluan, pembesaran payudara, serta perubahan suara.

Tanda lain termasuk gangguan penglihatan dan sakit kepala yang kerap, yang mungkin berkait dengan ketumbuhan pada kelenjar pituitari.

Beliau berkata, berkhatan tidak mempunyai kaitan dengan hormon, walaupun ada kes kanak-kanak menunjukkan tanda baligh selepas prosedur tersebut, sedangkan sebenarnya berpunca daripada barah otak.

Ujarnya, tidak semua kes berpunca daripada hormon kerana faktor genetik dan keadaan lain juga perlu diteliti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN