RAIFAL tempur merupakan antara senjata utama yang digunakan secara meluas dalam pertempuran.
Ia bukan hanya dipakai oleh anggota infantri dan pasukan khas, malah turut melibatkan pasukan keselamatan termasuk polis dan agensi kawalan sempadan.
Raifal mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakannya mengikut jenis termasuk panjang, berat, saiz peluru dan reka bentuk berbanding senjata lain seperti mesingan atau pistol.
Senjata ini direka untuk pertempuran jarak dekat hingga sederhana dengan membolehkan anggota yang mengoperasikannya mampu membuat tembakan secara pantas.
Sejarah penggunaan raifal tempur dikatakan bermula secara meluas pada penghujung perang dunia kedua antara raifal tempur terawal buatan Jerman STG 44 sekitar tahun 1943 hingga 1945.
Manakala, senjata Russia AK-47 pula dihasilkan Mikhail Timofeyevich pada 1947.
Penggunaan raifal tempur telah mencatatkan perkembangan yang pesat selepas daripada itu antaranya raifal tempur M16 buatan Amerika Syarikat (AS).
Berikut adalah beberapa jenis raifal tempur yang dikategorikan sebagai cukup ‘berbisa’ dan seringkali digunakan secara meluas di seluruh dunia:
1. AK 47
Senjata buatan Russia ini menggunakan saiz peluru 7.62×39 millimeter (mm) dengan kemampuan menembak sama ada separuh automatik dan automatik.
Setiap kelopak mampu memuatkan 30 butir peluru dan boleh ditembak kira-kira 600 butir seminit.
Hampir 100 juta raifal AK telah dihasilkan dengan separuh daripadanya dibuat di luar Russia di bawah lesen pengeluar antaranya China, Bulgaria Korea Utara dan Pakistan.

• Berat: 3.8 kilogram (tanpa peluru)
• Panjang: 870 mm
• Panjang laras:415 mm
• Jarak efektif: 300 sehingga 400 meter
2. M16
M16 buatan AS ini berkaliber 5.56×45 mm dengan direka berasaskan senjata Colt AR-15.
Ia digunakan secara meluas tentera AS dan lebih 80 negara sejak era Perang Vietnam.
Terdapat beberapa varian antaranya M16A2 dan M16A4.
Menggunakan sistem penyejukan udara atau air-cooled, beroperasi dengan sistem gas, menggunakan kelopak berkapasiti 30 butir.
Senjata ini mampu menembak antara 700 ke 900 butir seminit.

Ciri-ciri:
• Berat: 2.52 kilogram
• Panjang: 1,006 mm
• Panjang laras : 508 mm
• Jarak efektif: 300 meter
3. Steyr AUG
Steyr AUG pertama diperkenalkan pada 1977 oleh syarikat persenjataan dari Austria iaitu Steyr Mannlicher.
Steyr AUG merupakan senjata raifal tempur jenis Bullpup yang mempunyai sistem kelopak dipasangkan di bahagian belakang penggenggam tangan dan menggunakan peluru berkaliber 5.56 x 45 mm.
Terdapat pelbagai jenis Steyr AUG antaranya, Steyr AUG A3; Steyr AUG M203 dan Styer AUG 9 mm.Pernah memasuki perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum digantikan dengan raifal M4.

Ciri-ciri:
• Berat: 3.8 kilogram (tanpa peluru)
• Panjang:690 mm hingga 790 mm
• Panjang laras 407 mm
• Jarak efektif: 450 hingga 500 meter
4. SAR 56
Senjata buatan Turkiye ini menggunakan sistem gas piston dan berkaliber 5.56x45mm, memberikan prestasi tinggi serta kawalan yang baik ketika menembak.
Mudah dikendalikan melalui stok boleh laras dengan lima posisi serta sokongan pipi untuk kestabilan lebih baik.
Dari segi reka bentuk, SAR 56 dilengkapi dengan laras stok panjang yang boleh ditanggalkan serta genggaman hadapan yang disokong untuk meningkatkan keselesaan penggunaan.
Ia juga boleh dikunci untuk keselamatan apabila tidak digunakan dan mempunyai ciri sesuai untuk kegunaan taktikal seperti kumpulan pemegang dua sisi. Mampu menembak antara 600 hingga 750 butir seminit.
Ciri-ciri:
• Berat: 3.49 kilogram
• Panjang: 880mm
• Panjang laras: Antara 150 hingga 406 mm (bergantung pada versi senjata)
• Jarak efektif: 400 meter
5. FN SCAR
Senjata raifal FN SCAR (Raifal Serangan Tempur Pasukan Operasi Khas) ialah keluarga raifal serangan automatik yang menggunakan sistem gas piston lejang pendek.
Ia dibangunkan pengeluar Belgium FN Herstal pada tahun 2004. Direka dengan konsep modular untuk memenuhi keperluan Komando Operasi Khas Tentera AS (SOCOM).
Terdapat dua versi raifal ini iaitu FN SCAR-L (Light) dengan menggunakan peluru 5.56×45 mm NATO dan SCAR-H (Heavy): menggunakan peluru 7.62×51 mm NATO.
Pasukan khas di negara ini termasuk 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara pengguna senjata FN SCAR.
Ciri-ciri:
• Berat: 3.29 kilogram (SCAR-L), 3.58 kilogram (SCAR-H)
• Panjang: 720 mm hingga lebih 1,000 mm, bergantung kepada jenis dan laras digunakan.
• Panjang laras: 254 mm sehingga 500mm (bergantung pada versi senjata)
• Jarak efektif: 300 hingga 800 meter (bergantung pada versi senjata)
6. ARX 200
ARX200 ialah raifal tempur berkaliber 7.62×51 mm yang dibangunkan oleh Beretta. Versi yang disebut ini merupakan prototaip ARX200 DMR (Designated Marksman Rifle).
Ciri-ciri:
• Berat:4.5 kilogram (tanpa peluru)
• Panjang: 900 mm
• Panjang laras: 406 mm
• Jarak efektif: 600 hingga 800 meter
7. MPT 55
Senjata raifal MPT direka untuk memenuhi keperluan Angkatan Tentera Turki.
Senjata ini dibangunkan untuk menggantikan raifal lama seperti Heckler & Koch G3 dan HK33 yang sudah menghampiri akhir hayat perkhidmatan.
Prototip awal dibina pada tahun 2008 dikenali sebagai Mehmetçik-1 dalam kaliber 5.56×45 mm NATO.
Namun, Tentera Turkiye mahukan senjata berkaliber 7.62×51 mm NATO kerana mempunyai kuasa hentaman dan jarak lebih jauh.
Ciri-ciri:
• Berat: 3.3 hingga 3.5 kilogram
• Panjang: 900 mm (stok dibuka) / 670 mm (stok boleh lipat )
• Panjang laras: 368 mm
• Jarak efektif: 400 hingga 500 meter
8. M4
M4 Carbine merupakan raifal tempur yang dibangunkan AS pada era 1980an. Ia merupakan versi lebih pendek dan ringan daripada M16A2.
Senjata ini digunakan secara meluas tentera AS dan secara beransur-ansur menggantikan M16 dalam unit tempur Tentera Darat AS (sekitar 2010) serta Kor Marin AS (sekitar 2016).
M4 juga digunakan oleh lebih 60 negara di seluruh dunia dan sering dianggap sebagai salah satu senjata paling penting dalam abad ke-21.
Senjata ini telah melalui lebih 90 pengubahsuaian untuk meningkatkan kebolehsuaian, ergonomik dan modulariti.
Antara varian dan aksesori utama termasuk M4A1 (mod tembakan automatik penuh), SOPMOD kit (tambahan aksesori optik) dan pemasangan pelancar bom tangan seperti M203 atau M320 serta senjata bawah laras lain.
M4 turut digunakan pakai sebagai antara senjata utama bagi anggota ATM.
Ciri-ciri:
• Berat: 2.9 kilogram
• Panjang: 757 mm (stok dibuka) / 840 mm (stok senjata ditarik keluar maksimum)
• Panjang laras: 368 mm
• Jarak efektif: 500 meter
9. AR15
AR-15 ialah raifal separuh automatik ringan yang berasaskan reka bentuk Colt AR-15.
Direka oleh Eugene Stoner.Raifal jenis AR-15 menjadi antara senjata yang paling diminati dan dalam masa sama menjadi senjata paling dibenci di AS berdasarkan laporan The New York Times.
Ini kerana penggunaannya dalam beberapa kejadian tembakan rambang.
Raifal ini sangat modular dan boleh ditukar laras dengan tambahan pelbagai aksesori.
Menggunakan kaliber 5.56×45 mm NATO.
Ciri-ciri:
• Berat: Antara 2.7 sehingga 3.5 kilogram (bergantung model)
• Panjang: 780 sehingga 840 mm (bergantung stok)
• Panjang laras: 406 mm
• Jarak efektif: 400 sehingga 600 meter
10. HK416
HK416 ialah raifal tempur berkaliber 5.56×45 mm NATO yang direka dan dihasilkan syarikat Jerman Heckler & Koch.
Walaupun reka bentuknya berasaskan senjata AR-15 atau M4, ia menggunakan sistem gas piston lejang pendek.
HK416 digunakan secara meluas pasukan khas dan unit elit di seluruh dunia termasuk komando Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ciri-ciri:
• Berat: Antara 3 hingga 3.9 kilogram (tanpa peluru, bergantung versi)
• Panjang: 690 hingga 900 mm (bergantung stok dan konfigurasi)
• Panjang laras: 264 hingga 508 mm
• Jarak efektif: 500 hingga 600 meter










