Syawal saksi kelahiran tokoh agung Imam al-Bukhari

Syawal saksi kelahiran tokoh agung Imam al-Bukhari

Kompleks Imam Al-Bukhari yang turut menempatkan makamnya di Samarkand, Uzbekistan sentiasa menjadi tumpuan para pengunjung dari seluruh dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila bulan Syawal menjelma, tidak ramai yang menyedari Allah SWT mengurniakan kepada umat Islam seorang tokoh agung yang begitu masyhur dalam bidang periwayatan hadis Rasulullah SAW, iaitu Imam al-Bukhari.

Bersempena dengan kehadiran Syawal ini, saya ingin membawa para pembaca menelusuri biografi tokoh terkemuka ini agar kita dapat mengenali beliau dengan lebih dekat, seterusnya menzahirkan rasa kagum untuk jasa besarnya dalam memelihara dan menyampaikan hadis Rasulullah SAW.

Kelahiran sang imam

Insan bertuah dalam sejarah Islam ini bernama Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah. Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 12 Syawal 194 hijrah seperti yang dinyatakan oleh Fadhilat al-Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya‘qubiyy iaitu bersamaan 23 Julai tahun 810 Masihi di Bukhara, Uzbekistan.

Ada juga sumber yang menyatakan beliau lahir pada 13 Syawal 194 hijrah. Namun tarikh ini menurut laman web www.muqawwim.com berlaku pada hari Sabtu dan bukannya hari Jumaat sedangkan catatan sejarah menyatakan Imam al-Bukhari lahir pada hari Jumaat kedua bulan Syawal tahun 194 hijrah iaitu setelah solat Jumaat selesai dilaksanakan.

Beliau lebih dikenali dengan panggilan al-Bukhari yang bermaksud ‘orang Bukhara’. Ini kerana Imam Muhammad bin Ismail lahir dan membesar di Bukhara, Uzbekistan. Dari sudut bangsa dan agama, datuk nenek moyang al-Imam al-Bukhari pada asalnya adalah orang-orang Parsi yang menganut agama Majusi.

Namun Allah memberikan cahaya keimanan kepada keluarga beliau dengan memilih moyang beliau yang bernama al-Mughirah bin Bardizbah menjadi orang yang mula-mula sekali memeluk agama Islam daripada keturunan beliau.

Al-Mughirah diislamkan oleh gabenor Bukhara ketika itu yang bernama al-Yaman al-Ju‘fiyy. Al-Ju‘fiyy bermaksud orang yang berketurunan seorang lelaki yang bernama Ju‘f bin Sa‘d yang berasal daripada keturunan Madzhij yang bersambung dengan keturunan Arab Qahton.

Oleh kerana itulah Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari turut juga dikenali dengan panggilan al-Ju‘fiyy sebagai mengenang kisah pengislaman moyang beliau di tangan al-Yaman al-Ju‘fiyy selain beliau turut bergelar Abu ‘Abdillah yang biasanya menjadi gelaran sesiapa sahaja yang bernama Muhammad.

Ibu bapa corakkan hidup

Bapa Imam al-Bukhari yang bernama Ismail bin Ibrahim adalah seorang tokoh ulama hadis di Bukhara ketika itu. Beliau keluar dari Bukhara untuk menuntut ilmu sehingga beliau pernah mendengar hadis Rasulullah secara langsung daripada tokoh-tokoh besar dalam ilmu hadis ketika itu seperti al-Imam Malik bin Anas (93-179 Hijrah), al-Imam Abdullah bin al-Mubarak (118-181 hijrah), al-Imam Hammad bin Zaid (wafat pada 179 hijrah) dan al-Imam Abu Mu‘awiyah al-Dharir (113-195 hijrah).

Saat al-Imam Ismail bin Ibrahim dalam keadaan sakit yang membawa kepada kematiannya, ayahanda Imam al-Bukhari ini ada menyebut kepada seorang ulama besar di dalam mazhab Hanafi yang bernama Ahmad bin Hafs al-Bukhari al-Hanafi (150-217 hijrah) saat al-Imam Ahmad bin Hafs al-Hanafi mengunjunginya: “Saya tidak mengetahui ada di dalam harta saya satu dirham pun daripada sumber yang haram atau satu dirham pun daripada sumber yang diragui”.

Saat sang ayah meninggal dunia, Imam al-Bukhari masih lagi kanak-kanak lalu anak yatim yang diasuh oleh seorang ibu solehah yang taat kepada Allah SWT. Para ulama meriwayatkan Imam al-

Bukhari sewaktu kecilnya pernah kehilangan deria matanya sehingga tidak lagi mampu untuk melihat.

Sang ibu yang penyayang ini terus berdoa kepada Allah tanpa jemu agar Allah mengembalikan semula penglihatan anaknya. Lalu pada satu malam, sang ibu bermimpi bertemu dengan Nabi

Ibrahim lalu baginda bersabda kepada sang ibu: “Allah benar-benar telah mengembalikan penglihatan anakmu dengan sebab banyaknya doamu untuknya”.

Lalu saat sang ibu terjaga daripada tidurnya, beliau mendapati Imam al-Bukhari sudah dapat melihat semula. Maka tidak hairanlah beliau muncul selepas itu sebagai seorang ulama besar yang terus mekar namanya sehingga ke akhir zaman.

Semangat menuntut ilmu sejak kecil

Ibu Imam al-Bukhari menginginkan anaknya menjadi seperti almarhum suaminya yang wafat saat Imam al-Bukhari masih kecil. Lalu sang ibu menghantar anaknya ke sekolah (al-Kuttab). Semasa belajar di sekolah tersebut, Imam al-Bukhari menyedari ilmu hendaklah dihafal di dalam dada dan bukan sahaja dipelajari.

Lalu saat umurnya masih muda, Imam al-Bukhari sudah selesai menghafal karya-karya yang ditulis oleh al-Imam Abdullah bin al-Mubarak (118-181 hijrah).

Menurut al-Imam Yahya bin Ma‘in saat menceritakan perihal karya al-Imam Abdullah bin al-Mubarak; jumlah buku-buku beliau yang sudah disebarkan kepada orang ramai adalah 20,000 ribu atau 21,000.

Menurut al-Syeikh Zahid al-Kauthariyy; maksud jumlah 20,000 atau 21,000 itu adalah jumlah hadits Rasulullah. Menurut al-Syekh Muhammad Abu al-Huda al-Ya‘qubiyy pula; berkemungkinan jumlah yang dimaksudkan oleh al-Imam Yahya bin Ma‘in adalah jumlah helaian kertas bagi seluruh karya al-Imam Abdullah bin al-Mubarak.

Selain karya Abdullah bin al-Mubarak, Imam al-Bukhari juga menunjukkan kehebatan luar biasa apabila pada usia 16 tahun beliau telah menghafal kitab-kitab yang ditulis oleh Waki‘ bin al-Jarroh (129-197 hijrah).

Menurut catatan para ulama, al-Imam Waki‘ bin al-Jarroh telah menghasilkan karya yang pelbagai iaitu al-Tafsir, al-Zuhd, al-Sunan, Fadha’il al-Sohabah, al-Musnad, al-Musonnaf, al-Ma‘rifah Wa al-Tarikh dan Marwiyyat Waki‘ ‘An al-A‘mash.

Bayangkan bagaimana Imam al-Bukhari mampu menghafal sehingga 20,000 hadis atau ribuan halaman kitab hadis yang dicatat oleh Abdullah bin al-Mubarak serta karya-karya Waki‘ bin al-Jarroh, sedangkan ketika itu usianya baru mencecah 16 tahun.

Tajam akal sejak kecil

Imam al-Bukhari ada menceritakan kisah beliau yang sering menghadiri majlis ilmu seorang ulama hadis iaitu al-Dakhiliyy (tidak ditemuai sebarang biodata bagi al-Dakhiliyy) saat al-Imam al-Bukhari berusia 11 tahun. Pada satu hari ketika al-Dakhiliyy sedang membacakan hadis Rasulullah SAW kepada orang ramai, beliau telah berkata saat meriwayatkan satu hadis berdasarkan hafalan beliau:

“Hadis ini telah diriwayatkan daripada Sufyan, daripada Abu al-Zubayr (Muhammad bin Muslim bin Tadrus), daripada Ibrahim (al-Nakho‘iyy)” lalu Imam al-Bukhari menegur al-Dakhili dengan berkata: “Sesungguhnya Abu al-Zubayr tidak meriwayatkan hadis daripada Ibrahim”.

Maka al-Dakhili terus memarahi Imam al-Bukhari mungkin kerana menyangka kanak-kanak ini ingin mengganggu majlis periwayatan hadis. Lalu beliau yang masih berusia 11 tahun ketika itu terus berkata kepada sang guru:

“Lihatlah kitabmu jika ia ada bersamamu sekarang.” Lalu al-Dakhili mengambil bukunya dan meneliti catatan di dalamnya. Setelah itu, beliau bertanya kepada Imam al-Bukhari, “Bagaimana sanad yang betul, wahai anak kecil?”

Maka Imam al-Bukhari menjawab, “Sanad yang tepat ialah al-Zubayr, iaitu anak kepada ‘Adiyy, yang meriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha‘i.”

Maka al-Dakhili pun mengambil pena dan terus membetulkan sanad yang tercatat di dalam bukunya. Beliau berkata kepada Imam al-Bukhari “Kamu betul”.
(Bersambung)

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN