Projek Padi Halalan Tayyiban transformasi zakat dan pesawah

Projek Padi Halalan Tayyiban transformasi zakat dan pesawah

Seorang pelawat dari Sepanyol menghayati tanaman padi di Kampung Ewa sementara pesawah melandak iaitu proses rumput dItonyoh dan dibenamkan ke dalam sawah untuk jadi baja hijau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beras adalah antara lapan komoditi makanan utama yang disenaraikan di bawah dasar keterjaminan makanan negara 2030. Bagi menegaskan kepentingan industri padi beras negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Projek Pembangunan Padi Lima Musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda, Kedah pada Mac 2025.

Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan sistem pengairan dan pemulihan Empangan Pedu bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian. Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuhkan bekalan makanan negara serta memperkenalkan pertanian pintar menerusi teknologi moden dan sistem pengairan yang lebih cekap.

Usaha-usaha ini menunjukkan iltizam kerajaan untuk menjadikan industri padi dan beras sebagai tunjang utama kepada keterjaminan makanan negara. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) Beras negara kepada 80 peratus menjelang tahun 2030 serta mengurangkan kebergantungan import menerusi peningkatan hasil padi.

KPKM turut menggalakkan transformasi subsektor padi dan beras negara menerusi kaedah pertanian pintar dan pengurusan tanaman yang cekap serta meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dalam pengeluaran padi di samping meningkatkan nilai tambah serta pendapatan pesawah ke arah taraf hidup yang lebih baik.

Bagi menyahut kesemua cabaran itu, sekumpulan kecil 10 orang pesawah, dua daripada mereka berumur 20 tahun dan selebihnya berumur antara 29 hingga 67 tahun daripada Pertubuhan Amal Masyarakat Prihatin (PAMP) Langkawi mengorak langkah meneroka penanaman pelbagai jenis padi di bawah Model Zakat Padi Halalan Tayyiban di sawah seluas lima relung di Kampung Ewa, Pulau Langkawi.

“Kesemua 10 orang ahli PAMP itu bermula kosong, sifar pengetahuan dan tiada pengalaman menanam padi.

“Mereka mengikuti kursus intensif tiga hari di Sri Lovely Organic Rice Farm merangkumi asas agroekologi padi, pengurusan tanah terbiar, kaedah organik tanpa racun kimia sintetik dan integrasi sistem semula jadi,” kata Dr. Mahamad Hakimi Ibrahim, bekas Profesor Teknologi Persekitaran di Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Beliau merupakan seorang daripada tiga orang penasihat teknikal dan pemantau projek perintis Model Padi Zakat Halalan Tayyiban di bawah Ecopro Training Centre.

Dua penasihat lain ialah pakar padi organik negara, Kapten Zakaria Kamantasha dari Sri Lovely Organic Rice Farm dan Musthaqim Zaini, pengasas PAMP Langkawi. Sebagai Ketua Pelaksana Projek Padi Organik Kampung Ewa, Musthaqim turut menjadi pesawah yang mengambil bahagian dalam projek perintis itu.

Menurut Dr. Mahamad Hakimi, projek perintis ini bukan setakat projek pertanian bagi mengatasi masalah ekonomi tetapi satu usaha dengan kerjasama Exco Pertanian Negeri Kedah untuk mengembalikan maruah dan kemandirian pesawah sebagai pengeluar makanan dengan menjadikan pembayaran zakat mal sebagai tujuan utama penanaman padi tersebut.

“Pesawah menyasarkan, model itu akan membantu mereka mengurangkan kos input iaitu benih, baja dan racun perosak yang kian meningkat; kesan perubahan iklim seperti banjir dan musim kemarau yang tidak menentu; pendapatan rendah di bawah paras kemiskinan bagi sebahagian pesawah kecil dan menggalakkan minat generasi muda untuk mewarisi pekerjaan ini daripada generasi sebelumnya.

“Kehidupan pesawah di Malaysia seringkali tersekat dalam satu kitaran yang tidak adil. Mereka menanam padi, makanan ruji negara, namun masih terpaksa membeli beras untuk keluarga sendiri. Beban hutang input, kos operasi yang tinggi, dan harga pasaran yang tidak menentu sering kali menghakis hasil titik peluh mereka,” katanya.

Dr. Hakimi berkata, model itu mencontohi amalan Sri Lovely Organic Rice Farm di Sik, Kedah.

Sri Lovely juga berperanan sebagai penasihat teknikal dan membimbing dari aspek amalan penanaman organik, kawalan kualiti dan pensijilan, piawaian pasaran premium dan strategi pemasaran dan rangkaian pembeli bagi memastikan projek ini bukan sekadar tanaman organik tetapi mencapai piawaian pasaran sebenar dan mampu menjana lebihan bernilai tinggi.

Menurut Dr. Mahamad Hakimi, Model Padi Zakat Halalan Tayyiban yang rintis oleh PAMP Langkawi hadir sebagai langkah transformasi. Projek ini bukan sekadar menanam padi, tetapi membina ekosistem pertanian yang berlandaskan ibadah, agroekologi regeneratif, dan pembangunan komuniti.

“Model itu membawa pendekatan pertanian organik dan penyelesaian teknikal yang praktikal kepada peserta yang kebanyakan tidak mempunyai pengalaman menanam padi,” katanya.

Dr. Mahamad Hakimi menjelaskan, padi ialah medium zakat kerana ia termasuk dalam kategori tanaman yang wajib dizakatkan apabila cukup nisab dan haul. Dalam zaman sekarang padi sering ditukar kepada wang sebelum diagihkan, maka projek ini memulihkan sunah zakat tanaman dengan menunaikannya dalam bentuk padi atau beras sebenar.

“Pendekatan ini mempunyai beberapa impak penting. Pertama, pesawah menikmati hasil tanaman sendiri sebelum mengagihkan lebihan, membina kemandirian dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran.

“Kedua, asnaf yang terlibat bukan sekadar penerima bantuan, tetapi dilatih menjadi pengeluar aktif. Ketiga, komuniti memperoleh keselamatan makanan dalam bentuk fizikal, bukan sekadar angka kewangan.

“Konsep halalan tayyiban menjadi prinsip asas projek ini. Halalan merujuk kepada kesahihan sumber, bebas riba, dan telus dalam transaksi. Tayyiban pula menekankan aspek keselamatan dan kebaikan di mana tanah dipulih secara regeneratif, bebas racun sintetik, air bersih, biodiversiti terpelihara, dan hasil yang memberi manfaat kepada kesihatan manusia.

“Pendekatan ini menjadikan setiap langkah pertanian bukan sahaja sah dari segi syariah, tetapi juga berkelanjutan dari segi ekologi dan kesihatan komuniti. Pesawah, peserta projek, dan komuniti dapat melihat hubungan langsung antara ibadah, produksi makanan, dan kelestarian alam,” jelas beliau.

Menurut Dr. Mahamad Hakimi, projek perintis itu dimulakan pada pertengahan 2025. Tapak projek ialah sawah terbiar seluas lima relung yang tidak diusahakan selama enam tahun.
Penyediaan tanah melibatkan audit kesuburan, penilaian sumber air, latihan lapangan, serta pembelajaran fikah zakat tanaman.

Beliau berkata, projek ini dirancang diperluaskan secara berperingkat sehingga 100 relung, dengan tanah disewakan oleh penduduk kampung melalui kerjasama kerajaan negeri.
Sokongan Dzowahir Ab. Ghani, Exco Pertanian Kedah, serta kerjasama dengan jabatan-jabatan negeri memastikan kesinambungan projek dan selaras dengan agenda pembangunan pertanian rasmi

Katanya, selain Exco Pertanian Kedah, projek perintis itu turut digerakkan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Jabatan Parit dan Saliran Kedah manakala Lembaga Zakat Negeri Kedah melantik PAMP Langkawi sebagai amil zakat. PAMP sebagai pelaksana projek, lantikan itu memastikan aspek syariah dan pengurusan zakat dipatuhi sepenuhnya

“Kerjasama kepimpinan seperti ini memastikan projek bukan hanya berlandaskan niat, tetapi juga mendapat sokongan teknikal dan strategik,” katanya sambil menambah, strategi kelestarian termasuklah penubuhan Tabung Benih Warisan iaitu 10 hingga 20 peratus hasil tuaian disimpan sebagai stok benih masa hadapan.

Dr. Mahamad Hakimi menyatakan, para pesawah itu turut mengamalkan teknik padi salibu bagi mempercepat kitaran tuaian tanpa menanam semula. Ia menjimatkan kos dan memperbanyakkan bilangan tuaian. Pernah dilaporkan, teknik salibu membolehkan pokok padi yang sama dituai antara tiga hingga empat kali setahun.

Katanya, pemprosesan padi dengan mesin beras mini dilakukan di Kampung Ewa sendiri, mengekalkan nilai tambah, memastikan tiada manipulasi berat padi, dan mengoptimumkan penggunaan dedak sebagai makanan ternakan. Hasil padi organik dijual pada harga premium, memberi pendapatan yang lebih adil kepada pesawah.

Menjawab kepada soalan kepada bagaimana model itu membantu kalangan asnaf, beliau berkata, maanfaatnya berlapis. Padi yang ditanam di Kampung Ewa menghasilkan beras organik halalan tayyiban berteraskan pendekatan lestari tanpa input kimia berbahaya, maka asnaf menerima beras organik premium sebagai zakat, bukan beras biasa, tetapi makanan lebih sihat dan berkualiti.

“Peserta asnaf yang terlibat dalam model itu pula menghasilkan beras premium dan lebihan hasil dijual pada harga pasaran premium kepada rangkaian sedia ada termasuk hotel, restoran hijau, kedai organik dan pasaran luar negara.

“Apabila lebih ramai pesawah menyertai Model Zakat Padi Halalan Tayyiban, penawaran meningkat mengakibatkan harga lebih stabil dan mampu milik walaupun harga berubah mengikut pasaran premium,” katanya.

Menurut Dr. Mahamad Hakimi, Model Padi Zakat Halalan Tayyiban membawa perubahan nyata. Pesawah kini menikmati hasil sendiri, zakat diagihkan dalam bentuk beras. Mereka tidak bergantung kepada subsidi kerajaan, hutang input berkurangan dan komuniti memperoleh stok keselamatan makanan manakala nilai padi dikembalikan kepada pengeluar sebenar.

Katanya, selain itu, projek perintis itu menyatukan aqidah, syariah, ekologi, dan ekonomi komuniti. Padi ditanam sebagai ibadah, zakat menjadi mekanisme pembangunan, dan prinsip halalan tayyiban diterapkan dari benih hingga agihan. Pesawah bukan lagi mangsa sistem, tetapi menjadi penentu nilai dan pemegang maruah pengeluaran makanan.

“Sebagai kesimpulan, Model Padi Zakat Halalan Tayyiban bukan sekadar projek pertanian, ia menghidupkan zakat dalam bentuk hasil sebenar, membina ekosistem makanan halal dan tayyib, serta memulihkan maruah pesawah dan memperkasakan komuniti secara lestari.

“Projek perintis ini membuktikan transformasi boleh bermula dari sawah kecil dengan niat yang betul, kepimpinan berintegriti dan sistem yang jelas,” kata Dr. Mahamad Hakimi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN