Menghargai legasi kewartawanan Adibah Amin

Menghargai legasi kewartawanan Adibah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADIBAH Amin merupakan satu nama yang tidak asing dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan tanah air.

Kini berusia 90 tahun, karya-karyanya, khususnya kolum beliau dalam akhbar New Straits Times (NST) bertajuk As I Was Passing merupakan antara tulisan yang paling diingati pembaca.

Adibah juga sinonim dengan lakonannya sebagai Cikgu Bedah dalam filem komedi arahan Othman Hafsham, Adik Manja.

Namun, selepas diserang strok pada 2008, Adibah kini terlantar dan tidak lagi mampu bercakap. Sejak itu, beliau dijaga sepenuhnya oleh adiknya, Fadzilah yang kini berusia 87 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fadzilah berkata, kakaknya merupakan seorang yang gemar menulis dan membaca selain memiliki bakat dalam bidang lakonan.

Berbeza dengan ibunya, Allahyarham Tan Sri Zainon Munshi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain, Fadzilah menyifatkan kakaknya sebagai seorang ‘workaholic’ yang tidak tahu berehat.

“Ibu saya dulu bekerja kuat, tetapi dia tahu berehat. Adibah pula tidak begitu. Kadang-kadang kalau turun pukul 3 pagi, masih nampak lampu biliknya menyala.

“Masa jadi wartawan pula, kita tahu kerja di pejabat memang banyak tekanan. Tapi dia tetap terus bekerja,” katanya.

Mulakan kerjaya sebagai guru

Sebelum dikenali sebagai wartawan di The Star dan New Straits Times, Adibah memulakan kerjayanya sebagai seorang guru pada tahun 1958.

Ketika itu, Adibah yang berusia 22 tahun ditempatkan di Malay Girls’ College, Kuala Lumpur (kini Kolej Tunku Kurshiah).

Pada tahun 1970, beliau dilantik sebagai Guru Besar di Sekolah Seri Puteri sebelum meneruskan khidmat sebagai pensyarah di Maktab Bahasa (kini Institut Bahasa), Kuala Lumpur.

Menurut Fadzilah, ketika berkhidmat di Maktab Bahasa itulah kakaknya mula merasakan dunia pendidikan bukan lagi medan yang ingin diterokainya untuk jangka panjang.

“Semasa di Maktab Bahasa, dia rasa dia tak mahu lagi jadi guru. Cita-cita lamanya memang nak jadi wartawan kerana dia memang suka menulis.

“Mengajar itu dia buat dengan baik, tetapi jiwa dia tetap pada penulisan,” katanya.

Fadzilah berkata, menjadi wartawan merupakan cita-cuta kakaknya sejak kecil. Malah, Adibah pernah ‘cuba-cuba’ memohon sebagai wartawan ketika beliau berusia 13 tahun.

“Tetapi, pada waktu itu, permohonan kakak ditolak oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail yang ketika itu bekerja di Utusan Melayu. Alasannya, kakak terlalu muda,” katanya.

“Kali kedua Adibah berpeluang bertemu Abdul Samad adalah ketika ketika itu berkhidmat di New Straits Times bagi memohon peluang dalam bidang kewartawanan,” katanya.

Pernah dikritik

Namun, pertemuan tersebut tidak bermula dengan pujian. Sebaliknya, Adibah dikritik kerana dianggap tidak mempunyai ‘semangat’ untuk menjadi wartawan.

“Bila dia jumpa Abdul Samad dan minta kerja, Abdul Samad kata, ‘Nak jadi wartawan dengan kereta buruk macam ini? Macam mana nak pergi temu bual orang?’

“Dia juga kata Adibah tidak mempunyai semangat seperti mak kami (Ibu Zain). Saya rasa itu semua hendak ‘uji’ sahaja,” katanya.

Abdul Samad kemudiannya meminta Adibah menjalani ujian penulisan sebagai syarat kemasukan.

“Kakak saya menulis satu makalah dalam bahasa Inggeris. Bila ditunjukkan kepada editor, mereka terkejut.

“Mereka kata kakak saya sudah menulis satu ‘clean copy’, hampir tidak perlu pembetulan,” katanya.

Rai legasi Adibah

Bagi meraikan legasi Adibah, satu majlis penghormatan khas untuk beliau akan diadakan pada 12 April 2026 di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran naskhah As I Was Passing: Legacy Edition selain bertujuan mengumpul dana bagi menampung kos penjagaan serta rawatan beliau.

Majlis makan malam amal itu menawarkan sumbangan bermula RM5,000 bagi satu meja.

Semua hasil kutipan akan disalurkan sepenuhnya untuk kebajikan beliau selain menubuhkan satu anugerah sastera sebagai usaha meneruskan legasi perjuangan Adibah dalam bidang penulisan dan kewartawanan. Orang ramai yang berminat untuk membuat sumbangan boleh menghubungi melalui emel di [email protected]UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×