Sindrom Mayer‑ Rokitansky‑ Küster‑Hauser (MRKH) adalah keadaan genetik yang menyebabkan wanita dilahirkan tanpa rahim atau faraj yang lengkap.
Kes ini jarang berlaku walaupun ciri fizikal dan perkembangan seksual lain adalah normal.
Kebanyakannya hanya disedari apabila seseorang tidak mengalami haid ketika remaja.
Hakikatnya, bukan mudah bagi pesakit MRKH meneruskan kehidupan apabila menyedari diri mereka tidak sempurna secara fizikal.
Situasi ini tentunya mencetuskan rasa rendah diri, keresahan dan ketidakpastian tentang masa depan.
Ramai menghadapi dilema dalam membina keyakinan diri, hubungan sosial dan rancangan keluarga.
Buktinya, kajian kolaboratif yang diterajui Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati lebih satu per tiga wanita MRKH di negara ini mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan.
Hasil kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa 2025 menerusi artikel bertajuk ‘Prevalence of Anxiety and Depression in Women with Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH) Syndrome in Malaysia’.
Penemuan terbaharu ini sekali gus memberi gambaran jelas tentang cabaran kesihatan yang dihadapi oleh pesakit MRKH di negara ini.
Mengulas lanjut, seorang daripada penyelidiknya, Dr. Loh Sweet Yi Esther berkata, kajian tersebut melibatkan 77 wanita MRKH di seluruh Malaysia dengan purata umur sekitar 29 tahun.

Kebanyakan mereka menerima diagnosis ketika berumur kira-kira 20 tahun.
“Keputusan kajian mendapati kira-kira empat daripada 10 peserta mengalami simptom kebimbangan, manakala tiga daripada 10 mereka dikesan murung.
“Ini menunjukkan sebahagian besar wanita MRKH berdepan tekanan emosi serius,” katanya yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Kajian itu turut melibatkan seorang lagi Pakar O&G, Dr. Khailiyana Khairudin di samping Prof. Dr. Ani Amelia Datuk Zainuddin dan Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani (Pakar Ginekologi Pediatrik & Remaja).
Penyelidik lain ialah, Prof. Dr. Shamsul Azhar Shah (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) dan Prof. Madya Dr. Tuti Iryani Mohd Daud (Pakar Psikiatri).
Kumpulan B40 lebih berisiko
Menurut Dr. Esther, apabila seseorang mengetahui mereka tidak mempunyai rahim, kesannya bukan sahaja dari segi fizikal, malah memberi impak sangat mendalam terhadap perasaan dan keyakinan diri.
Berdasarkan kajian itu, wanita MRKH daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) lebih mudah mengalami kemurungan berbanding yang berpendapatan tinggi.
Malah, peserta yang menunjukkan simptom kebimbangan juga cenderung kemurungan secara serentak.
Kajian ini turut mendapati kebimbangan dan kemurungan adalah tinggi dalam kalangan wanita MRKH di Malaysia.
Prevalens kebimbangan yang direkodkan adala sebanyak 37.7 peratus manakala prevalens kemurungan adalah 32.5 peratus dalam kalangan wanita yang didiagnosis dengan sindrom tersebut.
Keputusan ini sejajar dengan beban psikologi ketara dialami pesakit susulan simptom MRKH seperti kemandulan dan disfungsi seksual.

Sebagai perbandingan, dalam populasi umum Malaysia, prevalens kebimbangan dan kemurungan masing-masing hanya sekitar 1.7 peratus dan 1.8 peratus, jauh lebih rendah berbanding wanita MRKH dalam kajian ini.
Sokongan emosi
Justeru, jelasnya, pesakit MRKH bukan sahaja memerlukan rawatan perubatan, tetapi juga sokongan emosi dan kaunseling.
Ia penting bagi membantu mereka menyesuaikan diri dan membina kehidupan yang positif.
Sokongan emosi bukan sekadar mendengar keluhan atau memberi nasihat, tetapi membantu pesakit menerima keadaan mereka, membina kekuatan diri dan mengekalkan kesejahteraan mental.
Ia juga memberi peluang kepada pesakit untuk berkongsi pengalaman, mengurangkan rasa terasing dan belajar cara menguruskan tekanan.
“Apabila diagnosis dibuat, pesakit memerlukan penerangan yang jelas, sokongan keluarga dan bantuan emosi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pemeriksaan kesihatan emosi dibuat secara berkala kepada pesakit MRKH.
Dalam masa sama, sokongan psikologi perlu disediakan sebagai sebahagian daripada penjagaan mereka.
“Kajian ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pesakit dengan keadaan jarang berlaku seperti MRKH memikul beban perasaan yang sering tersembunyi.
“Ekosistem sokongan dan empati adalah kunci utama untuk kesejahteraan menyeluruh mereka,” katanya.
Kajian pertama
Setakat diketahui, ini merupakan antara kajian pertama di Malaysia dalam menentukan prevalens kebimbangan dan kemurungan wanita MRKH.
Kebanyakan kajian yang pernah diterbitkan mengenai kesan psikologi MRKH didominasi pengkaji Barat, manakala hanya sebahagian kecil sahaja diterbitkan di Asia.
Perkembangan ini membuka laluan bagi penyelidikan lanjutan mengenai pesakit MRKH di Malaysia.
Malah, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran awam di samping mempromosikan pemahaman, penerimaan dan mengurangkan stigma terhadap wanita MRKH.
Apatah lagi, kajian terdahulu mendapati remaja Malaysia jarang berbincang tentang kesihatan reproduktif dengan ibu bapa, sekali gus menyumbang kepada diagnosis MRKH di tahap lewat.
Hal itu kerana, topik berkaitan seksual dan haid masih dianggap tabu antara ibu bapa dan anak di negara ini.
Kelewatan rawatan turut dipengaruhi oleh kekurangan pendidikan seks berkualiti dan rasa malu untuk berjumpa doktor.










